-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Thursday, March 18, 2010

FASAL 6 : BEKAS KASIHAN RASULULLAH صلى الله عليه وآله وسلم TERHADAP UMATNYA.

بسم الله الرحمن الرحيم
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وسلم
- al Syafaqah -


     Pada fasal ini, dengan izinNya, saya akan menyambung perbahasan bab yang lalu mengenai
 Sebab ke-3 mencintai Rasulullah iaitu: Kerana Pengorbanan dan Sumbangan Baginda  صلى الله عليه وآله وسلم  Terhadap Kita.

     Di sini saya mendatangkan beberapa athar dan sejarah yang menunjukkan kasih sayang, kerinduan, serta prihatinnya Baginda صلى الله عليه وآله وسلم   terhadap umatnya.

     Meskipun umatnya sendiri leka dan tidak pernah untuk mengingatinya, tetapi Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  sentiasa bersungguh-sungguh mengembeling tenaga dan mendoakan kesejahteraan tiada lain  melainkan untuk kebahagiaan dan bagi manfaat dunia akhirat kita. Betapa murninya hatimu, ya Rasulallah صلى الله عليه وآله وسلم!
Moga kita diberi inayah dan taufiqNya, amin.

…………………..

•    Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bergembira apabila umatnya terlepas dari musibah dan bala.

Abdullah bin Mas’ud berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  bersabda :

‘Sesungguhnya aku tahu penghuni neraka yang terakhir keluar. Dia adalah seorang lelaki yang keluar dari sana dalam keadaan merangkak. Kepadanya dikatakan: ‘‘pergilah dan masuklah ke dalam syurga.’’








 




Maka orang itu pun pergi untuk masuk ke dalam syurga. Lantas dia mendapati orang-orang telah mengambil semua tempat (yang disediakan). Maka dia kembali seraya berkata, ‘‘ Wahai Tuhanku! Orang-orang itu sudah mengambil semua tempat (yang disediakan). Maka dikatakan kepadanya,  ‘‘ Apakah kamu masih ingat pada masa yang pernah kamu berada di dalamnya (iaitu dunia)? ’’ Dia menjawab, ‘‘Ya.’’ Dikatakan kepadanya, ‘‘Berangan-anganlah.’’

Maka orang itu  pun berangan-angan. Maka dikatakan kepadanya, ‘‘Sesungguhnya disediakan bagimu sebagaimana yang kamu angankan dan ia sepuluh kali ganda dunia. ’’ Kemudian  orang itu berkata, ‘‘Adakah Kamu memperolok-olokkan aku, sedangkan Kamu adalah Raja?’’

 Abdullah ibn Mas’ud berkata : ‘Sesungguhnya aku melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ketawa (tersenyum) hingga nampak gigi gerahamnya.’’ 
(Mukhtasar Syamail Muhammadiah, oleh Syeikh Abdul Majid al Syarnubi, Bab Cara Perbicaraan Rasulullah.)  

     Saya berkata: lihatlah, betapa girangnya Baginda صلى الله عليه وآله وسلم melihat seorang umatnya selepas dikeluarkan dari neraka, dikurnia pula dengan sebesar-besar nikmat yang tak pernah digambarkannya, iaitu memiliki syurga seluas 10 kali ganda bumi. Subhanallah!

     Persis seorang ayah yang melihat anaknya keluar dari penjara selepas meringkuk disana selama berpuluh tahun lamanya. Selepas itu, anak itu dengan belas ihsan pemerintah, dilepaskan, malah dikurniakan nikmat-nikmat dari perbendaharaan kerajaan kepadanya. Alangkah seronok perasaan si ayah! Pertama kerana anaknya dilepaskan dari seksaan penjara. Kedua kerana diberikan kurniaan pemerintah. Maka sebagaimana si ayah, begitulah perasaan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم malah lebih dari itu lagi!   


•    Kesungguhan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berjihad adalah untuk hidayah umat.

     Peperangan Badar berlaku pada 2H, menyaksikan pertempuran hebat, dimana pihak Muslimin akan bergelut dengan musyrikin yang mempunyai jumlah askar yang jauh lebih ramai serta kelengkapan perang dan kenderaan yang mencukupi. Melihat situasi ini Baginda tidak putus-putus berdoa kepadaNya. Tidak lain untuk kejayaan bagi Muslimin. Antara doa Baginda yang masyhur:
اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد بعدها في الأرض

‘‘Ya Allah! Jika Engkau membinasakan kumpulan ini, maka tiada sesiapa akan menyembahmu lagi di atas muka bumi ini!’’

Kemudian Baginda meneruskan rintihan doa kepadaNya ,
اللهم انجز لي ما وعدتني اللهم نصرك!

‘‘Ya Allah, tunaikanlah janjiMu padaku, Ya Allah berikanlah pertolongan!’’

      Lalu Baginda mengangkat kedua belah tangannya ke langit, hingga jatuh selendang dari bahunya yang mulia.  Maka Saiduna Abu Bakar pun mendekati Rasulullah, menenangkannya  dan berasa begitu kasihan melihat keadaan  kesungguhan Rasulullah berdoa.(Sirah Nabawiyah, oleh al Allamah Abu Hasan al Nadawi) 

       Mari kita lihat sekali lagi kisah ini dengan lebih mendalam, Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tidak berperang untuk kepentingan keluarganya, atau kerana harta Baginda dinodai atau kerana diri Baginda disakiti.


      Tetapi Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم benar-benar mahu memenangi peperangan ini dan begitu takut jika musuh dapat menguasainya semata-mata kerana mahukan Risalah Islamiah itu diterima oleh umatnya, sama ada jauh mahupun dekat, yang hidup dizamannya atau untuk generasi yang akan menyusul kemudian-iaitu kita! 

•    Belas kasihan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kepada orang yang menyakitinya.

      Contoh terbaik bagi situasi ini adalah peristiwa pemergian Nabi ke Taif.  Segalanya berlaku semenjak kewafatan Saiduna Abu Talib, ayah saudara Nabi, penentangan kuffar terhadap Nabi semakin ketara dan menjadi-menjadi.

      Bersama Zaid bin Harithah, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengambil keputusan ke Taif memandangkan ia bukanlah tempat asing bagi Baginda, kerana ketika kecil Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم disusukan di perkampungan Bani Saad yang berhampiran dengan Taif.

       Sesampainya disana, Rasulullah menemui pemimpin-pemimpin Taif dari suku Thaqif, mengajak mereka kepada Allah.

      Malangnya, mereka menolak dakwah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dengan cara yang teruk, dan mempermainkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . Lebih dari itu. orang-orang bodoh dan hamba mereka turut mencaci dan menempelak Nabi malah melontarkan batu ke arah Nabi Muhammad dan Zaid. Lalu Baginda berselindung disebalik batang tamar dan duduk.

Sesungguhnya tentangan yang dirasai di Taif adalah lebih perit dari tentangan musyrikin Makkah!

      Orang-orang Taif telah bersedia di jalan-jalan beratur dua barisan. Maka tidaklah Baginda mengangkat kakinya yang mulia untuk mula berjalan, melainkan kesemua mereka tidak bersepakat membaling batu kerah keduanya, hingga melukai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan Zaid. Sedih perasaan Nabi tak terbendung lagi. Lalu Baginda mengadu harapnya pada yang Esa, mengadu kelemahannya, mengadu perlindungan, memohon keampunanNya-sedangkan Baginda suci dari dosa, memohon redhaNya…

     Lalu Allah mengutuskan kepada Rasulullah malaikat penjaga gunung, memohon izin Rasulullah, menawarkan khidmat menghempap penduduk Taif dengan gunung Akhsyaban. Tetap dengan tenang dan lembut, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menjawab:
بل أرجو أن يخرج من أصلابهم من يعبد الله وحده لا يشرك به شيئا

‘‘ (Tidak) bahkan aku harap, akan keluar dari keturunan-keturunan mereka (penduduk Taif) generasi-generasi yang menyembah Allah semata-mata, dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu.’’

•    Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم Tamakkan Kebaikan Terhadap Umat

Allah Taala berfirman:


‘‘Sungguh Telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi Penyayang terhadap orang-orang mukmin. ’’ (al Taubah: 128)

     Qadhi Iyadh al Yahsubi berkata; sebahagian ulama berpendapat bahawa diantara kurniaan Allah terhadap Nabi Muhammad ialah Allah mengurniakan Baginda dua namaNya dari nama-namaNya yang mulia; iaitu al Rauf dan al Rahim (yang belas kasihan dan yang penyayang.)

     Di antara tanda belas kasihannya kepada umatnya ialah Nabi tidak sentiasa melazimi beberapa perkara kerana ditakuti akan difardhukan dan ia membebankan umatnya. Contohnya bersugi ketika hendak solat.
لو لا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك مع كل وضوء

‘‘Jika kerana bukan disebabkan kekhuatiranku bahawa ia akan menyusahkan umatku, maka aku pasti akan menyuruh mereka bersiwak pada setiap wudhu’ ’’

     Begitu juga halnya dengan tegahan Nabi dari melakukan puasa berterusan (wisal) dan lain-lain agar ia tidak memberatkan  dan membebankan umat.

     Sesungguhnya Baginda صلى الله عليه وآله وسلم akan memendekkan solat berjamaah, jika terdengar tangisan kanak-kanak, agar tidak merisaukan hati si ibu yang menjadi makmumnya.. selawat dan salam ke atasmu ya Rasulallah!


•    Kerinduan Baginda Kepada Umat Akhir Zaman.

Dikhabarkan oleh al Hafiz Abu Abdul Rahman Ahmad ibn Syuaib al Nasaie di dalam kitabnya; Wafat Sayyidina Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم :
قال صلى الله عليه وآله وسلم : أيها الناس أنتم رأيتموني وسيأتي بعدكم أقوام يؤمنون بي ولم يروني، وا شوقاه لرؤية إخواني، قالوا: ألسنا إخوانك يا رسول الله ؟ قال: لا أنتم أصحابي، يتمنى أحدهم لو أنه عنده الدنيا لينفقها حتى يراني، فبلغوهم السلام  عني من آمن منهم
...

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم : wahai sekalian manusia, sesungguhnya kamu melihatku (secara langsung denganku dan beriman denganku.) Akan datang kelak, pada akhir zaman selepas kamu kaum-kaum yang beriman denganku tetapi tidak pernah melihatku (sebagai mana kamu.) Oh alangkah rindunya bertemu dengan saudara-saudaraku! Para sahabat bertanya: bukankah kami ini saudara-saudaramu, wahai Rasulallah? Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Tidak, kamu sahabat-sahabatku.’’

‘‘Saudara-saudaraku itu, masing-masing berangan-angan jika mereka memiliki dunia  seisinya akan dinafkahkan semuanya jika ia dapat memenuhi impian mereka iaitu melihatku
…’’
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وسلم تسليما كثيرا


Rujukan.
-    Mukhtasar Syamail Muhammadiah, oleh Syeikh Abdul Majid al Syarnubi
-    Al Syifa’ oleh Qadhi Besar Iyadh al Yahsubi
-    Wafat Sayyidina Muhammad oleh al Hafiz Abu Abdul Rahman Ahmad ibn Syuaib al Nasaie.
-    Al Sirah al Nabawiyah oleh  al Allamah Abu Hasan Ali al Nadwi

  

0 ulasan:

Post a Comment

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan