-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Thursday, March 18, 2010

Fasal 10 Puji-pujian Kepada Rasul Yang Agung (2) صلى الله عليه وآله وسلم

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الذي جعل محمدا رحمة للعالمين، مدحه بما لم يمدح به غيره من الأنبياء والمرسلين، والصلاة والسلام على سيدنا محمد صاحب الكمال، خير من تضرب له أكباد المطي وتشد إليه الرحال، وعلى آله وصحبه خير صحب وآل





Pada bab yang lalu, saya telah mengupas sedikit jawapan bagi hukum memuji Nabi  صلى الله عليه وآله وسلم. Hasilnya, kita mendapati bahawa ia adalah sunat muakkad dan ia telah wujud semenjak zaman Rasulullah lagi. Dalam bab ini, In sya Allah saya  akan menyambung perbincangan, dengan menjawab soalan yang telah diutarakan dibawah: 

1)    Bagaimanakah makna hadith ‘Jangan kamu memujiku, seperti kaum Kristian memuji Nabi Isa?’

2)    Siapakah ulama’ yang mengarang puji-pujian terhadap Rasulullah?

- Al Haqir-
…………………………………..



Soalan 1

Mungkin kedapatan sesetengah individu akan bertanya; jika memuji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم itu dibolehkan dalam syara’, maka mengapakah  terdapat hadith seolah-olah ia melarang kita melakukannya, seperti hadith  Saiduna Umar yang berbunyi:
لا تطروني كما أطرت النصارى ابن مريم

‘‘ Jangan kamu memuji aku seperti kaum Kristian memuji Nabinya Isa ibn Maryam (dengan menyamakannya kedudukannya dengan Tuhan.) ’’ (Riwayat Bukhari)

Malah, sebahagian pihak yang lebih ekstrim memahami makna hadith, bahawa ia bukan sahaja tegahan total dari memuji Rasulullah, malah menganggap bahawa segala puji-pujian kepada Rasulullah itu, adalah puji-pujian yang melampau yang dikeji dalam syariat yang menjurus pelakunya ke arah syirik. Mereka juga melabelkan, barang siapa yang memuliakan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dari makhluk yang lain telah melakukan perkara bidaah yang sesat dan menyalahi Sunnah Rasulullah.    



Jawapan 1

Menjawab persoalan ini, Guru kami Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki  رضي الله عنه  berkata :

Kefahaman ini adalah kefahaman yang salah yang menunjukkan ke atas pandangan tertutup orang yang berkata. Sebenarnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم melarang memuji Baginda sebagaimana pujian Kristian ke atas Nabi Isa, dengan pujian ; anak Tuhan.

Maknanya, sesiapa yang memuji Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan mensifatkannya seperti yang disifatkan puak Kristian, maka mereka sudah menjadi seperti mereka (kufur.)

Tetapi, adapun orang yang memuji dan memuliakan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tanpa menafikan sifat-sifat kemanusiaan ke atas Rasulullah, beri’tiqad bahawa Baginda adalah hamba Allah dan RasulNya, serta menjauhi dari pegangan kaum Kristian, maka tidak syak lagi bahawa dia adalah manusia yang mempunyai sesempurna tauhid dan iman.













I’tiqad   Para   Pemuji  Rasulullah  صلى الله عليه وآله وسلم. 

Adalah molek untuk saya teruskan perbicaraan dengan mengutarakan pegangan serta I’tiqad orang yang mengagungkan Baginda; untuk menerangkan pada kita, betapa sempurnanya iman mereka pada hak Allah dan Rasul.

Bahawa sesungguhnya kami dan kesemua orang yang mengalunkan nasyid memuji ke hadrat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم,

1.    Beri’tiqad  bahawa Baginda صلى الله عليه وآله وسلم adalah manusia. Sebagai manusia maka haruslah baginya mendapat sakit yang mana tidak mengaibkan dan menyebabkan orang menjauhkan diri daripadanya.

2.    Beri’tiqad bahawa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم itu adalah Hamba Allah, yang tidak memiliki kuasa untuk memberi manfaat dan menurunkan mudharat. Juga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  tidak mempunyai kuasa menghidupkan dan mematikan.

3.    Beri’tiqad bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم itu, telah menyampaikan Risalah dan amanah, menasihati umat, berjihad fi sabilillah hinggalah berpindah ke alam Baqa’.

4.    Beri’tiqad bahawa walaupun Baginda صلى الله عليه وآله وسلم   telah wafat, tetapi kemuliaan dan kedudukannya disisi Allah tetap kekal (sebagai semulia-mulia hambaNya) tanpa syak lagi disisi ahli iman. Walaupun begitu besar kedudukan dan betapa agung darjatnya, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  itu tetap hambaNya, yang tidak memberi manfaat dan mudharat melainkan dengan izinNya. 


Al Muhaddith Sayyid Muhammad al Maliki رضي الله عنه berkata lagi:

Alhamdulillah, dengan kurniannya sesungguhnya kami mengetahui hak yang wajib bagi Allah dan hak yang wajib bagi Rasul tanpa pelampauan dan berlebih- lebihan seperti menyamakan kedudukan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم   dengan sifat Ketuhanan dalam memberi  manfaat dan mudharat semata-mata dengan kuasanya, juga seperti mengatakan bahawa Baginda memiliki kuasa pentadbiran sendiri yang mutlak dan lain-lain sifat yang tidak layak bagi Nabi.

Adapun pelampauan yang membawa erti berlebihan dalam mengasihi Rasulullah dan bersangatan dalam ketaatan kepadanya adalah amat dikehendaki dan dianjurkan. Ini berdasarkan hadith: 

‘‘ Jangan kamu memuji aku seperti kaum Kristian memuji Nabinya Isa ibn Maryam.’’

Maksudnya adalah memuji, mengagung dan membesarkan Baginda  selagi tidak seperti yang dilakukan musyrikin itu adalah dipuji.

Jika hadith  ini tidak membawa maksud sedemikian maka hadith ini bermaksud larangan total pujian ke atas Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Seperti yang sedia maklum, kefahaman sebegini hanya keluar dari mulut sejahil-jahil orang Islam. Hal ini kerana Allah Taala sendiri memuliakan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم   di dalam Al Quran dengan setinggi-tinggi pujian. Maka wajiblah kita memuliakan orang yang dibesar dan dimuliakan Allah, serta mengajak orang lain memuliakannya. Ya, wajiblah kita agar tidak menyifatkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم   dengan sifat-sifat Ketuhanan tanpa syak.

Sesungguhnya al Madaih al Nabawiyyah itu, terkumpul di atas hakikat-hakikat dan prinsip-prinsip yang jelas   serta kaedah-kaedah yang terang, bak kemunculan cahaya matahari di tengah hari. 



Soalan 2 : Siapakah ulama’ yang mengarang puji-pujian terhadap Rasulullah?

Jawapan

Terdapat ramai ulama’ silam mahupun kontemporari yang dikurniakan ilham oleh Allah untuk memuji sebaik-baik makhlukNya Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم   .

Antara mereka ada yang mengarang kitab Sirah samada berbentuk Syair atau Nathar (teks). Diantaranya yang masyhur ialah Maulid al Barzanji oleh Sayyid Jaa’far ibn Hasan al Barzanji رضي الله عنه,  dan Mukhtasar fi Sirah al Nabawiyah al Hafiz Abdul Rahman ibn Ali al Daibai’e رضي الله عنه.

Sebahagian mereka mengumpulkan   selawat dan salam ke atas Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم , seperti yang dilakukan oleh kitab-kitab karangan Syeikh Yusuf ibn Ismai’l al Nabhani رضي الله عنه, antaranya kitab al Salawat al Thana’ a’la Sayyid al Anbiya’ dan Syeikh al Jazuli رضي الله عنه melalui kitab al Dalail al Khairat.

Sebahagian yang lain dengan menulis cara menggubah syair dan Qasidah. Di antaranya yang paling popular ialah Qasidah Burdah oleh Saiduna Kaab ibn Zuhair Qasidah Burdah oleh Saiduna Kaab ibn Zuhair dan Qasidah Burdah oleh al Imam Abu Abdullah Muhammad ibn Said al Busiri رضي الله عنه. 

Sebahagian yang lain menuliskan perbahasan-perbahasan ilmiah yang mendalam mengenai Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم . Antaranya ialah karangan terbaik Qadhi Iyadh ibn Musa al Yahsubi رضي الله عنه iaitu al Syifa’ dan kitab al Zakhair al Muhammadiah tulisan al Muhaddith Dr. al Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani  رضي الله عنه. 

Memadailah kitab-kitab ulama’ mu’tabar ini menjadi ikutan dan sandaran  kita dalam mengambil sebab-sebab dan wasilah untuk mendekatkan diri padaNya dengan memperbanyakkan puji-pujian ke atas kekasihNya Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.

Firman Allah Taala :


    Puji-pujian kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم itu boleh terhasil dengan pelbagai cara, antaranya dengan memperbanyakkan bacaan Salawat, menghadiri Majlis Maulid, mentelaah Kitab-kitab Sirah Nabi dan lain-lain.
Moga Allah mentaufiqkan kita. Amin


وصلى الله على خير خلقه  سيدنا محمد وعلى آله في كل لمحة ونفس عدد ما وسعه علم الله

Rabi’ al Anwar 1431H
-Al Haqir-


  

0 ulasan:

Post a Comment

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan