-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Monday, October 19, 2009

Mengenang Tokoh Imam Ahli Sunnah Abad ke-21


بسم الله الرحمن الرحيم
وصلىّ الله على سيّدنا محمّد سيد الأولين والآخرين وعلى آله الطاهرين وأصحابه الطيبين وسلّم

Inilah: Ringkasan Sejarah Imam Ahli Sunnah Abad Ke-21 :
Samahah Al Imam al Allamah, al Hasib, al Nasab,  Alim yang beramal dengn ilmunya, yang membidangi semua ilmu, al Musnid, al Hujjah, al Ruhlah, al Mursyid, ustaz para ulama’, Syeikh kita:
‘‘SAYYID MUHAMMAD BIN ALAWI AL MALIKI رضي الله عنه ’’


…………….
Sempena memperingati ulang tahun kewafatannya yang ke-5, al haqir telah memohon kehadrat Yang Esa untuk mentaufikkan hambaNya ini, untuk mencoret sedikit sebanyak tentang al Imam  Muhammad al Maliki, yang tidak asing lagi dipersada ahli ilmu, dalam menegakkan tauhid yang khalis (benar) dan membetulkan salah faham tentang tasauf sehingga dinobatkan sebagai Imam (ketua) ulama Ahlli Sunnah Wal Jamaah abad ini.  
Mungkin namanya tidak masyhur  pada masyarakat Malaysia amnya,  bak rakan-rakan seperjuangannya seperti Dr Ali Jumah dan Dr Muhammd Said al Buti dan lain-lain, tetapi beliau hakikatnya adalah rujukan pada ulama' dunia Islam dan hujjahnya dalam memberi sandaran dalam ilmu-ilmu pokok agama dan apatah lagi cabangnya. 
  Siapalah diri ini hakikatnya untuk menggerakkan pena lalu mengorak kata-kata, tetapi sekadar untuk berkongsi ilmu dengan saudara seislam bagi mengingati orang yang amat berjasa dalam keberlangsungan  IMAN kita sehari- hari…
…………….
Awal Sirah dan Pendidikannya.
                As-Sayyid Muhammad Al-Hasani bin Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz, dilahirkan pada tahun 1946, di kota suci Makkah, dalam keluarga Al-Maliki Al-Hasani yang terkenal, keluarga Sayyid yang melahirkan ulamak tradisi.
Beliau dididik dari kecil dengan asuhan agama, telah menghafal al-Quran ketika usianya 7 tahun dan hafal “al-Muwattha`” pada usia 15 tahun. Pada usianya 25 tahun, beliau meraih gelar doktor ilmu hadits dengan keputusan  mumtaz (cemerlang) di bawah bimbingan ulama besar Mesir, Prof. Dr. Muhammad Abu Zahrah. Rehlah ilmiahnya cukup panjang dan luas di bawah bimbingan para ulama yang ‘amilin. Pada 2 Shafar 1421 / 6 Mei 2000 beliau telah dikurniakan dengan gelaran "ustadziyyah" atau "professor" daripada Universiti al-Azhar asy-Syarif.

Guru-gurunya رضي الله عنهم .
1.       Sayyid Alawi bin Sayyid Abbas al Maliki.
Bapa beliau merupakan guru pertama dan utama beliau, mengajar beliau secara peribadi di rumah dan juga di Masjidil Haram, di mana beliau menghafal Al-Quran sejak kecil. Dengan arahan bapanya, beliau juga turut mempelajari dan mendalami pelbagai ilmu turath Islam: Aqidah, Tafsir, Hadith, Feqh, Usul, Mustalah, Nahw dan lain-lain, di tangan ulamak-ulamak besar lain di Makkah serta Madinah.
Menjejaki cara salaf soleh beliau juga telah mengembara keserata bumi Allah yang luas, tidak lain melainkan untuk menuntut ilmu. Dalam perjalanan yang panjang itu beliau telah menemui barisan ulama’ yang kaya dengan ilmu dan taqwa didada. Kesemua mereka telah memberikan ijazah penuh kepada beliau untuk mengajar ilmu-ilmu ini kepada orang lain. Diantaranya ialah :

2.       Syeikh Hasan bin Muhammad al-Mashshat (Imam ulama Mekah ).
3.       Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani
4.       Syeikh Diya-al-Din Ahmad al-Qadiri
5.       Syeikh Hasan al-Sha‘ir, Syeikh al-Qurra (ketua para Qari) Madinah
6.       Al-Habib Umar bin Ahmad bin Sumayt, Imam Besar Hadramawt
7.       Syeikh As-Sayyid Muhammad Zabarah, Mufti Yaman
8.       Syeikh Abu-al-Yusr ibn Abidin, Mufti Syria
9.       Syeikh As-Sayyid al-Sharif Muhammad al-Makki al-Kattani, Mufti Maliki
10.   Syeikh As-Sayyid Muhammad al-Hafiz al-Tijani, Imam Hadith di Mesir
11.   Syeikh Hasanayn Muhammad Makhluf, Mufti Mesir
12.   Syeikh As-Sayyid Abd-Allah bin Al-Siddiq Al-Ghimari, Imam Hadith
13.   Syeikh As-Sayyid Abd-al-Aziz bin Al-Siddiq al-Ghimari, dan ramai lagi.  
Tulisan Beliau
Sayyid Muhammad merupakan seorang penulis produktif dan telah menghasilkan hampir seratus buah kitab. Beliau telah menulis dalam pelbagai topik agama, undang-undang, sosial serta sejarah, dan kebanyakan bukunya dianggap sebagai rujukan utama dan perintis kepada topik yang dibicarakan dan dicadangkan sebagai buku teks di Institusi-institusi Islam di seluruh dunia. Antaranya:


1) Mafahim Yajib an Tusahhah.

2) Huwa Allah
3) Zubdat al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an
4) Anwar al-Masalik fi al-Muqaranah bayn Riwayat al-Muwatta lil-Imam Malik
5) Muhammad (Sallallahu Alaihi Wasallam) al-Insan al-Kamil
6) Al-Qawa‘id al-Asasiyyah fi Usul al-Fiqh
7) Shifa’ al-Fu’ad bi Ziyarat Khayr al-‘Ibad
8) Hawl al-Ihtifal bi Zikra al-Mawlid al-Nabawi al-Sharif
9) Abwab al-Faraj
10) Al-Tali‘ al-Sa‘id al-Muntakhab min al-Musalsalat wa al-Asanid (Kumpulan Ijazah)

Pancaroba Seorang Dai’e
Sebagai ulama dan daie, perjalanan hidupnya juga dipenuhi onak dan duri ujian pancaroba seperti jejak para pendahulu beliau. Pada tahun 80-an, terjadi perselisihan besar antara beliau dengan beberapa ulama Wahhabi (semestinya tidak mengaku Wahhabi) yang didokong oleh Kerajaan Saudi. Beliau telah dituduh sesat, penyebar bid`ah dan khurafat (subhanAllah, jika ulama besar lagi keturunan asyraf yang mulia ini juga tidak terlepas daripada tohmahan dan tuduhan puak mubtadi` Wahhabi-Salafi itu, maka siapakah kita untuk terlepas daripada tuduhan mereka. Oleh itu, jangan gusar apabila dituduh sebagai sesat, syirik dan ahli bid`ah oleh puak-puak tersebut.)
Perselisihan tersebut semakin meruncing sehingga beliau diajak berdialog dengan Syaikh Sulaiman ibnu Mani` al-Wahhabi atas saranan Mufti Wahhabi ketika itu Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz al-Wahhabi (tanbih: berhati-hatilah dengan fatwa ulama Wahhabi ini) yang memang bermusuh dengan Habib Muhammad al-Maliki. Syaikh Ibnu Mani` kemudian menerbitkan dialognya dengan Habib Muhammad dalam bentuk buku dengan jodol “Hiwar ma`al Maliki li raddi munkaratihi wa dholalatihi” (Dialog bersama al-Maliki pada menolak kemungkaran dan kesesatannya).
Habib Muhammad pula menerbitkan bukunya yang terkenal, iaitu “Mafahim Yajibu an Tushahhah”. Kitab beliau ini telah mendapat pujian dan pengiktirafan oleh ramai ulama besar dari seluruh pelusuk dunia Islam (telah diterjemahkan ke bahasa Malaysia oleh Syeikh Muhammad Fuad. Sila hubungi koperasi al Sofa untuk maklumat lanjut ).
        Di antara ulama besar dunia yang memberikan taqridhz (pujian ) dan taqdim (pendahuluan) bagi kitab  Mafahim Yajibu an Tusahhah ialah:
1.       Syaikh Hasanain Makhluf
2.       Sayyid Abdullah Kanun al-Hasani
3.       Dr. Ahmad Umar Hasyim
4.       Syaikh Abdullah al-Ghumari
5.      Syaikh Abdul Aziz al-Ghumari
6.      Prof. Dr. Hasan Qaribullah, dan puluhan ulama lagi!

Selain daripada itu, ulama-ulama Mesir, Tunisia, Kuwait dan sebagainya telah membuat pembelaan mereka terhadap Habib Muhammad al-Maliki dengan lisan dan tulisan. Kezaliman terhadap beliau tidak berhenti setakat itu, tetapi beliau juga telah ditegah dan dikeluarkan dari mengendali halaqah turun temurun keluarga beliau dalam Masjidil Haram oleh gembung-gembung Wahhabi.
                 Semua ini dihadapi beliau dengan penuh kesabaran, setelah ditegah mengajar dalam Masjidil Haram, beliau mengajar di kediaman beliau di Syari` Alawi, Rushaifah, Makkah, kerana beliau berdakwah semata-mata kerana Allah s.w.t. dan Allah itu tidak mengambil tempat. Murid-murid yang memondok di situ ditanggung segala nafkah makan-minum mereka oleh beliau.





Pendekatan.
As-Sayyid Muhammad mengikuti dan menyelusuri tradisi arus utama dan majoriti Islam, jalan Ahlu Sunnah Waljamaah, jalan toleransi dan sederhana, pengetahuan dan kerohanian, serta kesatuan dalam kepelbagaian.

Beliau percaya kepada prinsip berpegang dengan empat mazhab yang masyhur, tetapi tanpa fanatik. Beliau mengajar rasa hormat kepada ulamak dan Awliyak agung yang lepas.

Beliau menentang sikap sewenang-wenangnya mengatakan Muslim lain sebagai Kafir dan Musyrik, yang telah menjadi tanda dan sifat utama sebahagian fahaman hari ini.
Beliau amat menentang dan kritis terhadap mereka yang digelar reformis (Islah) abad ke-20 yang dengan mudah ingin menghapuskan Islam generasi terdahulu menggunakan nama Islam yang suci.

Beliau juga memahami bahawa mencela kesemua Ash’ari, atau kesemua Hanafi, Syafi’e dan Maliki, kesemua sufi, seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian fahaman hari ini adalah sama dengan mencela keseluruhan Ummah Islam ribuan tahun yang lampau. Ia hanya merupakan sifat dan pendekatan musuh Islam, dan bukannya rakan.

Sayyid Muhammad juga amat mempercayai bahawa ulamak – ulamak Mazhab yang agung - mengikuti Sunni-Sufi - sejak beratus tahun yang lalu, adalah penghubung kita kepada Al-Quran dan Assunnah, dan bukanlah penghalang antara keduanya dengan kita, seperti yang dipercayai sesetengah pihak.
Kefahaman yang benar berkenaan Al-Quran dan Sunnah ialah kefahaman yang berasaskan tafsiran para ulamak agung Islam, dan bukan dengan sangkaan para ekstrimis zaman moden ini yang tidak berfikir dua kali sebelum mencela majoriti Muslim di seluruh dunia. Sayyid Muhammad juga berpendapat majoriti ummah ini adalah baik. Kumpulan-kumpulan minoriti yang fanatiklah yang perlu mengkaji semula fahaman ekstrim mereka.

Sayyid Muhammad merupakan pendukung sebenar Sufi yang berasaskan Syariah, Sufi para Awliya’ agung dan solehin ummah ini. Beliau sendiri merupakan mahaguru kerohanian di tingkat yang tertinggi, berhubungan dengan kebanyakan peraturan kerohanian Islam, melalui para Masyaikh Tariqah yang agung.

Beliau turut mempercayai bahawa membaca Zikir, samaada secara bersendirian atau berkumpulan, adalah bahagian penting dalam kerohanian seseorang. Semua pelajarnya dimestikan bertahajjud dan membaca wirid pagi dan petang.

Sayyid Muhammad juga beranggapan, ummat Islam perlu menggunakan segala hasil yang ada untuk meningkatkan taraf ummah mereka dari sudut kerohanian, masyarakat dan juga material, dan tidak membuang masa yang berharga dengan berbalah pada perkara-perkara kecil. Beliau percaya Muslim tidak seharusnya mencela satu sama lain dalam perkara yang telah diselisihkan oleh para ulamak. Mereka sebaliknya perlu berganding bahu bersama untuk memerangi apa yang telah disepekati sebagai kejahatan dan dosa.

Pandangan dan pendirian Sayyid Muhammad ini digambarkan dalam tulisannya yang terkenal, Mafahim Yajib An Tusahhah (Kefahaman Yang Perlu Diperbetulkan), sebuah buku yang mendapat penghargaan meluas di seluruh dunia Islam dan diiktiraf tinggi di lingkaran para ulamak.

Kewafatan رحمه الله 
Beliau telah meninggalkan kita pada hari Jumaat, 15 Ramadhan 1425H bersamaan 29 Oktober 2004 ketika berusia 60 tahun (bersesuaian dengan doanya untuk meninggal dunia pada bulan Ramadhan), di rumahnya di Makkah. Kematiannya amat mengejutkan.

Benar.. Ia adalah satu kehilangan yang besar.. Ucapan takziah diucapkan dari seluruh dunia Islam. Solat janazah beliau dilakukan di seluruh pelusuk dunia.Alhamdulillah, sebelum kewafatan beliau, Allah telah memperlihatkan kejayaan dakwah dan tarbiyah beliau dengan luntur   nya sedikit demi sedikit fahaman ekstrem Wahhabi ini dan beliau kembali mendapat pengiktirafan yang sewajarnya daripada Kerajaan Saudi. Beliau dimaqamkan di Jannatul Ma’ala dekat dengan      maqam nenda beliau Sayyidatina Khadijah ummul mu’minin رضي الله عنها. Mudah-mudahan      Allah meredhai beliau dan menjadikan tempat  kedudukannya Syurga      yang tertinggi bersama nendanya Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم


(Majlis Memperingati Kembalinya al Sayyid Muhammad ke Rahmatullah baru-baru ini)
..........................

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله  في كل لمحة ونفس عدد ما وسعه علم الله.

Rujukan :
-         Al Maliki Ulama’ Rabbani abad ke-21 oleh Syeikh Muhammad Fuad al Maliki.

-         Penerangan  oleh muridnya: Fakhruddin Owaisi Al-Madani, Terjemahan : Syed Abdul Kadir Aljoofre

-         www.Yayasansofa.blogsome.com
- http://madinatulilmi.com/?prm=galeri&album=Bersama%20Ulama%20dan%20Guru

10/20/2009 10:19:01 AM
ujang1230

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan