-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Friday, January 22, 2010

Pembelaan terhadap Mazhab al Asya’ri



IKTIQAD AHLI SUNNAH WAL  JAMAAH 3

-Pembelaan terhadap Mazhab al Asya’ri-

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة ةالسلام على أشرف المرسلين سيدنا محمد وآله وصحبه
……………………………………………………………………………………………


- PENDAHULUAN -

    Pada keluaran November 2009 yang lalu kita telah sama-sama membincangkan secara umum pendahuluan ringkas mengenai pelopor Ahli Sunnah wal Jamaah : al Imam Abu Hasan al Asyari, serta method-method pembawakannya yang mana telah disepakati dan diguna pakai oleh jumhur ulama’ Islam sejak zaman beliau sehinggalah kini.

    Padanya kita telah sama-sama mengutip kalam-kalam berharga dari para ulama yang menunjukkan tentang sanggaan dan persetujuan mereka pada mazhab ini. Justeru bagi sesiapa yang mengkehendaki ulasan lebih hendaklah kembali kepada lampiran lalu dan lampiran pada bulan November.

   Sedar atau tidak pihak-pihak berhaluan kiri akidah, (wahabi khususnya) telah cuba menggoncangkan singgahsana kerajaan Ahli Sunnah, dengan melontorkan lembing-lembing tohmahan kononnya: Mazhab Abu Hasan al Asya’ri terkeluar dari jalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
   
    Walaupun jika difikirkan dengan akal yang waras pendapat ini dapat ditolak dengan hujah mudah, tetapi kedapatan masyarakat umum, hatta yang berpelajaran tinggi  telah terpedaya dengan dakyah ini. Hal ini tidak lain  lantaran kekurangan pemahaman ilmu atau ketiadaan ilmu dan taqlid buta.  Justeru jika kumpulan elit pun telah terkesan sekumpulan yang bersembunyi disebalik pemakain ulama’ ini, tidak syak lagi, hal ini pasti menimbulkan keraguan dikalangan orang awam dan fitnah dikalangan orang yang mengetahuinya. 

       Pada kali  ini pula saya, al haqir dengan segala kelemahan yang saya ada, saya berusaha untuk menaqalkan kata-kata para ilmuwan tentang hujah-hujah mereka yang melawan puak-puak ini (moga-moga Allah mengurniakan kita hidayahNya).

      Cubaan yang berusaha menghilangkan kredibiliti al Asyari sebagai I’tiqad pegangan Rasulullah dan sahabat, telah lama bertapak di hati-hati orang yang telah disesatkan oleh sangkaan-sangkaan mereka yang tidak berlandaskan ilmu. Ya Allah pimpinlah kami ke jalanMu.
   
    Ketahuilah ini bukanlah ‘pembulian’ dan fitnah terhadap individu tertentu tetapi adalah pembelaan dan penjagaan terhadap gagasan kita yang suci murni AHLI SUNNAH WAL JAMAAH dari balingan lastik kanak-kanak kecil  wahabiah, maka mengertilah!

...........................

 I’tiqad al Asy’ari merupakan I’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah.

    Antara kekeliruan yang meracuni akidah umat Islam, ialah wujudnya desas-desus yang menyatakan bahawa akidah al Asyai’rah bukanlah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar. Mereka menyatakan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah ialah akidah yang dibawa ulama’ lain sedangkan ulama’ tersebut ialah orang yang membawa fahaman yang paling banyak bercanggah dengan akidah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah sehingga membawa kepada terbatalnya akidah seseorang muslim.  

    Tidak ada fakta yang tepat untuk meletakkan I’tiqad Al Asya’irah tidak sejajar dengan akidah Ahli Sunnah. Malahan penerima terhadap  fakta sesat ini hanya akan menghancurkan akidah umat Islam kerana akidah inilah yang dipegang oleh ulama’ yang menjadi rujukan utama umat Islam sama ada di dalam bidang Tafsir, Hadith, Feqah dan lain-lain. Semenjak dari dulu hingga ke hari ini semua ulama’ yang sependapat dengan akidah ini, sebagaimana yang dilihat melalui catatan-catatan di dalam kitab-kitab mereka dan lain-lain.

Ulama' dan al 'Asyairah

1.    Diantaranya, Qadhi Besar Tajuddin Abdul Wahhab Al Subki menyatakan dengan tegas bahawa kesemua ulama Hanafi, Syafie, Maliki dan Hanbali berada dibawah akidah  yang satu iaitu berada dibawah naungan Ahli Sunnah wal Jamaah yang beriman kepada Allah dengan jalan Syeikh Sunnah iaitu Abu Hasan al Asya’ri. Beliau menambah lagi dengan menyatakan : kesimpulannya akidah al Asya’ri ialah akidah yang mengandungi akidah Abu Jaafar al Thohawi yang diterima dan dipersetujui oleh ulama’ mazhab.

2.    Syeikh Muhammad al Arabi Al Tibban yang merupakan syeikh bagi  Mazhab Maliki di Masjid al Haram, Mekah menyatakan:

Ahli-ahli hadith terkemuka selepas zaman Abu Hasan hingga ke zaman ini merupakan pengikut mazhab al Asyairah, kitab-kitab tarikh  dan tabaqhat (kitab yang membahaskan mengenai ulama’ terkemuka) menuturkannya.’

3.    Syeikh Muhammad Amin yang masyhur dengan gelaran Ibnu Abidin al Hanafi berkata di dalam kitabnya Raddul Mukhtar ala Al Durr al Mukhtar bahawa Ahli Sunnah wal Jamaah ialah al Asyai’rah dan al Maturidiah.
إذا أطلق أهل السنة فالمراد به الأشاعرة والماتريدية

Ertinya: jika disebut Kaum Ahli Sunnah wal Jamaah maka maksudnya ialah orang-orang yang mengikut rumusan (kefahaman) Imam al Asya’ri dan Imam al Maturidi.

4.    Malah al Imam al Habib Abdullah bin Alawi al Haddad telah menggesa umat Islam agar berpegang erat dengan I’tiqad ini:
وكن أشعريا في اعتقادك إنه  ◊  هو المنهل الصافي عن الزيغ والكفر       

Ertinya: dan hendaklah kamu menjadi Asy’ari pada Aqidah kamu, kerana sesungguhnya ia adalah aliran yang bersih daripada penyelewengan dan kekufuran.  

......................

Tuduhan yang dilemparkan kepada Imam al Asyari, mazhab dan pengikutnya.

     Banyak desas-desus dan fitnah yang disemarakkan oleh golongan yang bertopengkan pakaian ulama’ terhadap Imam Abu Hasan al Asya’ri. Mereka menyatakan bahawasanya Imam Abu Hasan al Asya’ri dan pengikut-pengikutnya (yang kebanyakannya adalah ulama’ muktabar) telah terkeluar dari ruang lingkup aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

    Perlu kita ketahui bahawa dakwaan yang dianggap modinesasi dalam bidang aqidah ini bersalahan dengan ijma’ ulama’ yang selama ini memutuskan bahawa Ahli Sunnah ialah al Asyairah dan al Maturidiah. 
   
    Justeru apabila kita berpegang dengan pendapat ini, maka sudah tentu kesatuan umat Islam akan tergugat, kerana telah berkurun lama kita berpegang dengan fahaman al Asyairah ini.

    Malahan saya melihat pelajar-pelajar yang menuntut di beberapa buah universiti di timur tengah meminta ibu bapa dan keluarga mereka mengucapkan semula kalimah syahadah kerana menyangka bahawa mereka tidak beriman kepada Allah, kerana mengikut al Asyai’rah yang diajar oleh tuan-tuan guru di kampung-kampung (kononnya terkeluar dari fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah.)

Berdasarkan perkara ini guru kami, al Muhaddith Dr Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki berpendapat:

    ‘Kebanyakan umat Islam tidak mengetahui dan memahami mazhab al Asyai’rah…lantaran itu sebahagian mereka tidak berhati-hati meletakkan Asyai’rah di dalam kesesatan dan melemparkan tuduhan bahawa Asyai’rah telah terkeluar daripada agama Islam dan tergolong di dalam golongan mulhid (jauh dari kebenaran) di dalam menghuraikan sifat-sifat Allah.’’

Katanya lagi: “bagaimanakah mereka (pendakwa) menyamakan diantara golongan yang beriman dan golongan yang sesat, dan bagaimanakah mereka boleh menyamakan di antara golongan AhIi Sunnah dam pelampau Mu’tazilah yang merupakan golongan Jahmiyyah ( iaitu golongan sesat yang berpendapat tidak ada ikhtiyar bagi makhluk.)?! (Tidakkah Allahpernah berfirman:)”


Firman Allah Taala:
35. Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang Yang berdosa (yang kufur ingkar)?

     Tidakkah puak berhaluan songsang ini melihat dan mencontohi  ketua mereka Ibnu Taimiah dalam permasalahan ini? Beliau sendiri berkata: ulama’ ialah  golongan pembantu ilmu-ilmu agama, manakala al Asyairah ialah golongan pembantu usul agama.
(al Fatawa Juzuk 4.)
    ..............................

Pengikut Mazhab al Asya'irah
    Bak cahaya matahari ditengah hari, sesungguhnya tidak diragui lagi bahawa saf-saf ulama’ yang menyangga al Asyairah sebagai Ahli Sunnah adalah penghulu-penghulu manusia dan sumber rujukan di zamannya dan selepas itu, yang amat diperlukan samada dari kalangan ulama atau orang awam. Merekalah barisan ulama-ulama’ dalam pelbagai disiplin agama. Jika hadith maka memadalah jika mereka adalah tokoh yang bergelar:

1.    Syeikh Islam Ahmad bin Hajar al A’sqalani.
Syeikh yang mulia dan pakar Hadith yang masyhur, pengarang Fath al Bari Syarah bagi kitab Soheh Bukhari yang tak asing lagi.

2.    Imam Nawawi,
Syeikh Ulama Ahli Sunnah, pengarang kitab-kitab induk agama yang banyak, antaranya Syarah Soheh Muslim, Raudh al Solihin, al Azkar dan lain-lain.

    Cukuplah keberadaan mereka sebagai penyokong kuat A’syairah, bukti yang cukup ampuh tentang kebenaran jalan ini. Sesungguhnya kitab-kitab dan fatwa-fatwa mereka telah digunakan sejak zaman berzaman, malah dipersetujui oleh setiap ulama di setiap waktu tersebut

    Hukum-hakam di dalamnya juga diguna pakai oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira waktu dan tempat. Fikirkanlah wahai ikhwan, jika golongan al Asyairah ini dikira sesat maka kita sebenarnya telah menyesatkan jutaan umat Islam yang tidak berhak untuk mendapat celaan sebegini rupa.  

    Malah pada waktu yang sama mereka telah mencaci dan menghina kredibiliti ulama silam samada sedar atau tidak, sedangkan buku-buku mereka dijadikan rujukan dan sandaran setiap hari!
    
“Di manakah lagi  kebaikan yang kita harapkan sekiranya kita melemparkan tuduhan sesat dan menyeleweng daripada kebenaran kepada ulama’ besar kita dan salafussoleh?!”

    “Saya menyeru dengan ikhlas kepada setiap pendakwah dan orang yang beramal di dalam lapangan dakwah Islam, agar bertaqwa kepada Allah dalam urusan umat Muhammad. Sesungguhnya umat Nabi Muhammad sentiasa berada dalam kebaikan hingga hari Kiamat. Tidak ada kebaikan pada diri kita apabila kita tidak mengetahui kedudukan dan kelebihan ulama’ kita ”

Rujukan:
-Al Allamah al Allamah Muhammad Muhktar Atorid, Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah
-Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki, Imam Abu Hasan al Asy'ari

Wednesday, January 20, 2010

PENOLAKAN TERHADAP PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH




Arkib Utusan Malaysia 11 Jan 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

               SEMINGGU dua ini, negara amnya dan masyarakat Islam khasnya hangat membicarakan tentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam. Ruangan ini turut terpanggil untuk cuba menjernihkan fahaman dalam isu ini. Terutama apabila ada juga tokoh dan individu Islam yang mengeluarkan pandangan mempertahankan keputusan mahkamah tinggi baru-baru ini yang membenarkan satu penerbitan Kristian Katholik untuk menggunakan kalimah Allah.

             Apabila menimbangkan boleh atau tidak sesuatu itu dilakukan di sisi Islam, kaedah syarak menuntut kita mengenal-pasti hukum asal perkara tersebut serta turut memahami realiti sebenar atau situasi yang melatari sesuatu perbuatan atau isu. Dalam ruang yang terbatas ini, kami akan membentangkan beberapa hujah di sebalik pandangan yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama-agama selain Islam.


Dalil-dalil dan hujah-hujah ulama'

            Di dalam al-Quran sendiri terdapat beberapa ayat yang membawa larangan dan peringatan tentang menyalah-gunakan nama Allah. Allah SWT berfirman yang maksud-Nya:

Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya. Adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding dengan-Nya?  
(Maryam: 65)

Ayat ini ditafsirkan oleh para ulama dengan beberapa tafsiran:
1. Di dalam kitab Tafsir Hadaiq al Rauh wa al Raihan H: 187 ayat ini ditafsirkan dengan maksud: Adakah kamu mengetahui, wahai Muhammad! Bagi Tuhan Yang Maha Suci ada perkongsian pada namaNya (pada menamakan-Nya dengan lafaz al Jalalah atau dengan Tuhan tujuh petala langit dan bumi. Ayat istifham (soalan) ini didatangkan dengan tujuan ingkar, iaitu maknanya: Sesungguhnya Allah itu tidak ada baginya misal atau bandingan sehingga Dia boleh disekutukan dalam ibadah dan dari sini akan melazimkan nama ini tidak khusus bagi Allah. Apabila ternafinya sekutu bagi Allah, maka layaklah Allah itu di-Esakan dalam ibadah dan dikhususkan baginya.

2. Pendapat kedua mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang dinamakan dengan Allah selain Allah. Atau, nama yang lain dari nama yang Allah sendiri namakan bagi diri-Nya.

3. Pendapat ketiga mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang layak dengan kesempurnaan nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi Allah.

4. Pendapat keempat mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui nama yang lebih agung daripada nama yang unggul ini. Atau, nama-Nya diterbitkan dari sesuatu seperti nama-nama makhluk-Nya. Sesungguhnya Allah itu tiada satu pun yang menyerupai-Nya. Ia adalah nama yang hanya menunjukkan kepada Zat Tuhan yang tertegak pada-Nya sifat-sifat. Sama seperti isim alam yang lain yang menunjukkan kepada apa yang dinamakan tanpa diambil daripada mana-mana nama. Ia adalah nama yang diungguli oleh Allah, yang dikhususkan bagi diri-Nya dan disifatkan bagi Zat-Nya. Ia didahulukan dari nama-nama-Nya yang lain dan nama-nama-Nya yang lain bersandar kepada nama ini dan semua nama yang datang selepasnya adalah sifat bagi-Nya dan bersangkutan dengannya.



Nama-nama Allah

Nama-nama Allah SWT yang lain disifatkan sebagai nama-nama Allah SWT yang lain dan kebiasaannya hanya dikenali dengan disandarkan kepadanya (Allah). Oleh itu disebut, ia adalah nama-nama Allah dan tidak disebut ia adalah nama-nama al Sabur, al Ghafur, al Jabbar dan sebagainya. Demikian juga keIslaman seseorang itu tidak akan sempurna melainkan dengan menyebut nama yang satu ini. Ia tidak menerima sebarang gantian dan tidak disebut nama gantiannya yang lain.

Misalnya dengan mengucapkan dalam syahadah dengan kalimah, "Tiada Tuhan melainkan al Ghaffar, atau al Rahim atau al Jabbar dan sebagainya. Hanya yang digunakan dan disebut adalah, "Tiada Tuhan melainkan Allah". Inilah juga yang disebut oleh al-Quran dan hadis kerana ia adalah nama yang paling menunjukkan kepada hakikat makna Ilahiyyah dan dikhususkan baginya. Ia juga adalah nama yang tidak memerlukan kepada nama-nama yang lain untuk diperkenalkan tetapi nama-nama yang lain itu dikenali dengan disandarkan kepadanya.

Perkataan Allah itu sudah mencukupi bagi pertuturan dan zikir (sebutan) tanpa perlu disifatkan dan di takhalluq (disifatkan manusia dengan sifat-Nya).

Allah telah menegaskan di dalam Kitabnya yang mulia:  
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.
(al-A’raaf: 180)

Berdasarkan ayat di atas, terdapat beberapa pendapat ulama tentang maksud mulhid:

Berkata Mujahid: Mulhid ialah orang yang menamakan Allah sebagai bapa dan berhala-berhala mereka sebagai tuhan-tuhan dan seumpamanya.

Berkata Ibnu Abbas makna (Yulhidun) ialah mendustai.

Berkata Qatadah: Maknanya mensyirikkan Allah.

Berkata al Khattabi: Salah dalam menamakan Allah dan menyimpang dari nama-Nya yang sebenar adalah Mulhid. (Al Bahr al Muhit fi al Tafsir jld 5 H: 232)

Maksud ayat ini, Allah Yang Maha Suci, bukan yang lain-Nya, mempunyai nama-nama yang sebaik-baiknya dan seagung-agungnya bagi menunjukkan kepada sebaik-baik dan semulia-mulia nama-Nya. Merujuk kepada ayat-ayat di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa nama-nama Allah, apatah lagi kalimah Allah itu sendiri sebagai nama yang khusus bagi Allah SWT bukanlah boleh digunakan sewenang-wenangnya dan tanpa batasan.

Pelbagai hujah lain yang mendokong larangan penggunaan kalimah Allah ini datangnya dari pelbagai sudut termasuk bahasa, falsafah dan seumpamanya. Oleh kerana kesuntukan ruang, kami mengesyorkan dua tulisan yang memuatkan hujah-hujah ini secara lebih panjang. Ia boleh didapati dengan mudah di Internet iaitu makalah bertajuk ‘Antara Nama dan Hakikat’ oleh Md. Asham Ahmad serta makalah ‘Hujah Menolak Penggunaan Kalimah Allah oleh Kristian’ oleh Mohd. Aizam Mas’od.


Untuk bacaan lanjut sila klik
http://yayasansofa.blogsome.com/2010/01/12/penggunaan-kalimah-allah/

Hal-hal kepercayaan yang lain dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah .

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا ومولانا محمد وعلى آله وصحبه وسلم. أما بعد،

Hal-hal kepercayaan yang lain dalam
 Ahli Sunnah Wal Jamaah .






Takrif ringkas Ahli Sunnah.

Iaitu I’tiqad yang telah disusun oleh Imam Abu Hasan al Asya’ri dan Imam Abu Mansur al Maturidi. Muncul pada akhir abad ke-3 Hijrah. Keistimewaan Imam Abu Hasan al Asya’ri ialah mengutamakan dalil-dali dari al Quran dan Hadith, dan juga dengan pertimbangan akal dan pemikiran.

•    Erti Ahli Sunnah ialah penganut Sunnah Nabi.
•    Erti Jamaah ialah penganut I’tiqad sebagai I’tiqad jemaah sahabat-sahabat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم  .

Kaum Ahli Sunnah wal Jamaah ialah kaum yang menganut I’tiqad sebagai I’tiqad yang dianut oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم  dan sahabat-sahabat Baginda
    
I’tiqad Nabi صلى الله عليه وآله وسلم  dan sahabat-sahabat itu telah termaktub  di dalam al Quran dan Sunnah Rasul (hadith) secara berasingan belum tersusun secara rapi dan teratur tetapi kemudian dikumpul dan dirumuskan dengan rapi oleh seorang ulama’ usuluddin yang besar, iaitu Syeikh Abu Hasan al Asya’ri   (260H-324H) .
  
Termaktub di dalam syarah kitab Ihya’ Ulumiddin, Ittihaf Sadah al Muttaqin karya  Imam Muhammad bin Muhammad al Zabidi iaitu:
إذا أطلق أهل السنة فالمراد به الأشاعرة والماتريدية

Ertinya: jika disebut Kaum Ahli Sunnah wal Jamaah maka maksudnya ialah orang-orang yang mengikut rumusan (kefahaman) Imam al Asya’ri dan Imam al Maturidi.
Telah berkata al Imam al Habib Abdullah bin Alawi al Haddad:
وكن أشعريا في اعتقادك إنه  ◊  هو المنهل الصافي عن الزيغ والكفر

Ertinya: dan hendaklah kamu menjadi Asy’ari pada Aqidah kamu, kerana sesungguhnya ia adalah aliran yang bersih daripada penyelewengan dan kekufuran.  

Telah menjadi adat kebiasaan dalam dunia Islam bahawa hukum-hukum agama yang digali dari al Quran dan Sunnah oleh seseorang alim maka hukum itu dinamakan mazhab. Contohnya hasil ijtihad (pandangan dan fatwa) Imam Syafie digelar mazhab Syafie, begitu juga  hasil ijtihad ulama’ mazhab fekah yang lain, walaupun pada hakikatnya semuanya adalah agama Allah yang termaktub di dalam al Quran dan Sunnah.

Begitu juga dalam hal ehwal I’tiqad. Hasil kefahaman Imam al Asya’ri dinamakan mazhab al Asya’ri, hakikatnya rumusan-rumusannya, fatwa-fatwa dan ijtihadnya ini tidak lain hanya  mempertahankan apa yang sudah ada dalam al Quran dan Hadith, serta terjemahan dari I’tiqad yang diimani oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم  dan sahabat Baginda رضي الله عنهم
Fahaman ini bersalahan dengan Muktazilah yang berdasarkan pemikiran kepada akal dan falsafah yang berasal dari Yunani.
Ia bersalahan dengan kaum Mujassimah (iaitu kaum yang menyerupakan Tuhan dengan makhluk, seperti Wahabi) yang memegang zahir makna al Quran dan Sunnah hingga menetapkan sifat kemanusiaan kepada Allah seperti bertangan, bermuka duduk dan lain-lain.

Antara ulama’-ulama Islam terawal  yang menyangga dan menyebar luaskan I’tiqad ini ialah:

1.    Imam Abu Bakar al Qaffal
2.    Imam Abu Ishaq al Isfarayini
3.    Imam al Hafiz al Baihaqi
4.    Imam al Haramain al Juwaini
5.    Imam al Qasim al Qusyairi
6.    Imam al Baqilani
7.    Imam al Ghazali
8.    Imam Fakhruddin al Razi
9.    Imam Izzuddin bin Abdul Salam, Sultan al Ulama’
.رضي الله عنهم




Hal-hal kepercayaan yang lain dalam: Ahli Sunnah Wal Jamaah

1>    Perkara yang berkaitan dengan Nabi kita Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.
Wajib ke atas setiap mukallaf mengetahui bahawa;

     Nabi Muhammad dilahirkan di Mekah, diangkat menjadi Rasul disana dan berpindah ke Madinah hingga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  wafat dan dikebumikan disana.

     Wajib percaya bahawa tubuh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  putih kemerah-merahan.

     Ayahanda Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bernama Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdul Manaf.

     Bondanya pula ialah Aminah binti Wahab. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berbangsa Quraisy.

     Wajib berpegang bahawa kedua-dua ibu bapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  selamat dari sebarang siksaan neraka.

     Semua keturunan Rasulullah semenjak zaman Nabi Adam hinggalah ayahandanya beriman kepada Allah, terlepas dari melakukan perbuatan syirik, tidak pernah melakukan zina serta lain-lain perbuatan jahiliah dan syrik.

….

2>    Peringkat kemuliaan Makhluk

1)    Wajib ke atas setiap mukallaf mengetahui bahawa makhluk yang paling mulia ialah penghulu kita : NABI MUHAMMAD  صلى الله عليه وآله وسلم. Kemudian diikuti oleh;

2)    Nabi Ibrahim
3)    Nabi Musa
4)    Nabi Isa
5)    Nabi Nuh عليهم السلام,


Setelah itu dikuti pula oleh:
6)    KUMPULAN PARA RASUL عليهم السلام
7)    KUMPULAN PARA NABI عليهم السلام
8)    MALAIKAT YANG KHAWAS (terpilih) seperti Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail عليهم السلام. 
9)    Setelah itu dikuti pula oleh
10)    MANUSIA YANG KHAWAS, seperti Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq رضي الله عنه.
11)    MALAIKAT YANG AWAM
12)    MANUSIA YANG AWAM
…..

3>    Umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang paling mulia.

Umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang paling mulia ialah:
1)    Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq
2)    Sayyiduna Umar ibn al Khattab
3)    Sayyiduna Uthman ibn ‘Affan
4)    Sayyiduna Ali ibn Abu Talib رضي الله عنهم

5)    Kemudian diikuti oleh baki 10 orang sahabat yang disaksikan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dijamin masuk syurga, iaitu:
•    Sayyiduna Talhah ibn ‘Ubaidillah
•    Sayyiduna Zubair ibn Awwam
•    Sayyiduna Saad bin Abi Waqqas
•    Sayyiduna Sa’id bin Zaid
•    Sayyiduna Abdul Rahman ibn Auf
•    Sayyiduna Abu ‘Ubaidah ibn al Jarrah

6)    Ahli Perang Badar
7)    Ahli Perang Uhud
8)    Ahli Bai’ah Ridhwan
9)    Kumpulan Sahabat Baginda  صلى الله عليه وآله وسلم
10)    Tabiin
11)    Tabi’ tabiin
12)    Umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang lain.

4>    Kaum Wanita yang Paling Mulia, iaitu;

1)    Sayyidatuna Maryam binti Imran, kemudian diikuti
2)    Sayyidatuna Fatimah binti Sayyiduna Muhammad
3)    Sayyidatuna Asiah, isteri Firaun
4)    Semua isteri Rasulullah

5>    Semua Nabi adalah maksum.
Wajib atas setiap mukallaf mengetahui bahawa semua Nabi adalah maksum, iaitu;
-    Terpelihara daripada melakukan perkara yang haram sama ada dosa besar ataupun kecil.
-    Terpelihara daripada melakukan perkara makruh. 

6>    Semua para Sahabat رضي الله عنهم adalah adil.

7>    Imam Mazhab Yang Empat.
-    Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Malik ibn Anas dan Imam Ahmad ibn Hanbal serta semua ulama’ Ahli  Ijtihad tetap berada di atas petunjuk yang sempurna daripada Allah pada I’tiqad mereka dan lain-lainnya. 

-    Maka wajib ke atas setiap orang yang bukan dari kalangan Ahli Ijtihad bertaqlid iaitu mengikut hukum Fekah salah satu dari mazhab (yang empat).  

8>    Ikutan dalam akidah.
Hendaklah diyakini bahawa Imam Abu Hasan al Asy’ari dan Imam Abu Mansur al Maturidi adalah ikutan yang benar pada I’tiqad. 

9>    Ikutan dalam Tariqat (Tasawwuf).
Hendaklah diyakini bahawa Tariqat Abu al Qasim Junaid al Baghdadi رضي الله عنه dan segala pengikutnya adalah benar dan terlepas daripada perkara-perkara bid’ah.

10>    Putera-puteri Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Wajib ke atas tiap-tiap mukallaf mengetahui  setiap Putera-puteri Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Ia terdiri daripada 7 orang, 4 daripadanya adalah perempuan iaitu:
-    Fatimah
-    Zainab
-    Ruqayyah
-    Ummu Kalthum
      Putera-putera Rasulullah pula ialah:

-    Qasim
-    Ibrahim

-    Abdullah رضي الله عنهم


11>    Isteri-isteri Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
Hendaklah diketahui bahawa; isteri-isteri Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yang ditinggalkan selepas kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم seramai 9 orang, iaitu:

-    Sayyidah Aisyah
-    Sayyidah Hafsah
-    Sayyidah Saudah
-    Sayyidah Sofiyyah
-    Sayyidah Maimunah
-    Sayyidah Ramlah
-    Sayyidah Hindun
-    Sayyidah Zainab
-    Sayyidah Juwairiyah



           Manakala isteri-isteri yang wafat sebelum kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  ialah:
-    Sayyidah Khadijah-    Sayyidah Zainab رضي الله عنهن

12>    Ibu dan Bapa Saudara Nabi صلى الله عليه وآله وسلم sebelah bapanya.
Ketahuilah bahawa adik beradik ayahandanya yang memeluk Islam terdiri dari 3 orang iaitu:
-    Sayyiduna Hamzah
-    Sayyiduna Abbas
-    Sayyidah Sofiyyah
رضي الله عنهم

13>    Ibu Susuan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Ketahuilah bahawa ibu susuannya seramai 2 orang iaitu:
-    Sayyidah Halimah al Sa’diah
-    Sayyidah Thuwaibah al Aslamiah
.

14>    Nama Para Nabi  صلى الله عليه وآله وسلم.
Wajib ke atas tiap-tiap mukallaf mengetahui nama-nama Nabi yang disebut di dalam al Quran sebanyak 25 orang iaitu:

1)    Nabi Adam
2)    Nabi Idris
3)    Nabi Nuh
4)    Nabi Hud
5)    Nabi Soleh
6)    Nabi Ibrahim
7)    Nabi Lut
8)    Nabi Ismail
9)    Nabi Ishaq
10)    Nabi Ya’qub
11)    Nabi Yusuf
12)    Nabi Ayyub
13)    Nabi Syuaib
14)    Nabi Harun
15)    Nabi Musa
16)    Nabi Ilyasa’
17)    Nabi Zulkifli
18)    Nabi Daud
19)    Nabi Sulaiman
20)    Nabi Ilyas
21)    Nabi Yunus
22)    Nabi Zakaria
23)    Nabi Yahya
24)    Nabi Isa
25)    Nabi Muhammad, عليهم الصلاة والسلام وعلى نبينا أفضل الصلاة والتسليم



15>    Kitab-kitab Allah Taala
Wajib ke atas setiap mukallaf mempercayai segala Kitab Allah Taala yang diturunkan dari langit, ianya banyak tetapi kiab yang wajib diketahui dengan terperinci sebanyak 4 buah kitab sahaja iaitu:
1)    Taurat, diturunkan kepada Nabi Musa.
2)    Zabur, diturunkan kepada Nabi Daud.
3)    Injil, diturunkan kepada Nabi Isa.
4)    Al Quran, diturunkan kepada Nabi Muhammad
 عليهم الصلاة والسلام وعلى نبينا أفضل الصلاة والتسليم.

16>    Para Malaikat.
-    Wajib percaya kepada sekalian malaikat, sekumpulan hamba-hamba Allah yang dimuliakan.
-    Mereka buku lelaki ataupun perempuan
-    Pekerjaan mereka beribadah selama-lamanya
-    Mereka tidak sesekali mengerjakan maksiat.  
-    Bilangan mereka tidak diketahui melainkan Allah Taala. Namun yang wajib diketahui dengan  tafsil (terperinci) ialah 10 malaikat iaitu:

1)    Jibril
2)    Mikail
3)    Israfil
4)    Izrail
5)    Raqib’
6)    ’Atid
7)    Malaikat yang menanggung Arasy
8)    Munkar dan Nakir
9)    Malik
10)    Ridhwan



17>    Pelaku dosa besar.
Hendaklah kita beri’tiqad bahawa pelaku dosa besar  seperti berzina, mencuri dan meminum arak tidak kufur.

18>    Pelaku Taat
Hendaklah kita beri’tiqad bahawa kita tidak menentukan seseorang Ahli Tauhid dan orang-orang yang berpegang teguh dengan keimanan bahawa tempatnya adalah syurga atau neraka, melainkan orang-orang yang telah dijanjikan Nabi sendiri bahawa tempatnya adalah Syurga.
Rujukan:
  1. I'tiqad Ahli sunnah wal Jamaah, Kiyai Haji Sirajuddin Abbas
  2. I'tiqad Ahli sunnah wal Jamaah, al Allamah Muhammad Muhktar Atorid

Monday, January 4, 2010

Golongan Ahlussunnah menurut Imam al-Baghdadi





Oleh DR. ASMADI MOHAMED NAIM




Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakah Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas.

Beliau menyatakan (hal.19): "Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Ibu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fikah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis daripada mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan Pencipta, keesaan sifat-sifat-Nya, keadilan-Nya, hikmah-Nya dan nama-nama-Nya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud dan pada perkara usuluddin."

LAPAN GOLONGAN AHLI SUNNAH 

Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan lapan golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):

1. Golongan pertama,
Mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman seksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas daripada fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT), dan bebas daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.

2. Golongan kedua
Ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadis. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas daripada fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah). Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan hawa nafsu.

3. Golongan ketiga
Ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah (Ahli Hadith) yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab al-jarh wa al-ta'dil (kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.

4. Golongan keempat
Ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu sama ada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu daripada bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia daripada golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.

5. Golongan kelima
Antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.

6. Golongan keenam
Ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka reda dengan hidup yang ringkas, mereka mengetahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik persiapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan pentasybihan (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakal kepada-Nya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.

7. Golongan ketujuh
Ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.

8. Golongan kelapan
Ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.

Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi. Rupanya, ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengeksklusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja, dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talkin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya.

Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19):
"Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik (mereka hanya berselisih pendapat tentang hukum hakam fekah, tetapi mempunyai penyatuan kefahaman i'toqad yang sama); mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan Pencipta dan qidam-Nya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihat-Nya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitab-Nya dan rasul-Nya, dan mengikut segala syariat Islam dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh al-Quran serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan.

Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah, lantaran perkara-perkara tersebut.

Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam.





Rujukan:

http://yayasansofa.blogsome.com/

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm




About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan