-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Thursday, March 18, 2010


FASAL 8:
Keunggulan Bulan dan tempat Kelahiran
Baginda صلى الله عليه وآله وسلم







     Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  dilahirkan di Mekah pada 12 Rabi’ al Awwal, tahun Gajah, inilah pendapat yang masyhur disisi jumhur (kebanyakan) ulama’.

Hal ini berdasarkan hadith:
قال أبو قتادة الأنصاري: سأل أعربي رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم فقال: ما تقول في صوم يوم الإثنين؟ قال: ذاك يوم ولدت فيه وفيه أوحي إلي.
رواه مسلم وأبو داود

Kata Saiduna Abu Qatadah al Ansari رضي الله عنه: seorang Arab dusun bertanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, katanya apakah kata kamu tentang puasa hari Isnin? Sabda Baginda  صلى الله عليه وآله وسلم : ia adalah hari kelahiranku dan padanya aku diturunkan wahyu.   

-----

Mengapakah Rasulullah tidak dilahirkan pada bulan-bulan kebesaran Islam?

     Bagi menjawab persoalan ini, guru kami Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki رضي الله عنه  berkata: ‘‘ kelahiran Nabi pada bulan Rabi’ Awwal mengikut pendapat yang sohih, tidak pada bulan Rejab, bukan Ramadhan dan bukan bulan-bulan yang mempunyai kemuliaan lain kerana (Allah mengkehendaki) Baginda صلى الله عليه وآله وسلم tidak dimuliakan kerana sesuatu waktu tetapi waktu itu yang menjadi mulia disebabkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  , begitu juga dengan tempat kelahiran.





     Jika Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dilahirkan pada bulan-bulan mulia yang lalu, maka berkemungkinan ada individu yang  akan beranggapan bahawasanya Baginda mulia kerana lahir pada waktu itu. Maka oleh itu Allah menjadikan maulidnya (waktu dan tempat lahirnya) pada waktu yang lain, bagi menzahirkan inayahNya dan kemulianNya terhadap Baginda  صلى الله عليه وآله وسلم .

     Jika hari Jumaat yang padanya diciptakan Nabi Adam telah dikhususkan dengan suatu waktu jika seorang muslim berdoa padanya nescaya akan dimakbulkan, maka bagaimanakah pandangan kamu terhadap waktu kelahiran Penghulu Segala Rasul Nabi Muhammad  صلى الله عليه وآله وسلم ?

     Allah juga tidak mewajibkan ibadat khas   hari Isnin iaitu hari kelahiran Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  dengan ibadat-ibadat taklifiah seperti mana  Allah mewajibkan pada hari Jumaat hari kelahiran Nabi Adam dengan solat Jumaat, khutbah dan ibadah-ibadah yang lain. Hal ini kerana memuliakan NabiNya dengan memberikan keringanan dan kelonggaran keatas umatnya.  

FirmanNya:

''Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. ’’ (1)

Moga-moga  Allah merahmati Ibn al Haj ketika berkata:

     ‘‘ Sesungguhnya makna perkataan al Rabi’ (dari segi bahasa ialah musim bunga) membawa maksud punca dan sebab keseronokan serta simbol kecantikan. Oleh itu ia dinisbahkan kepada kelahiran Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan juga pada sistem Syariat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang bersifat sederhana dan pertengahan serta bertepatan dengan kehendak dan hajat manusia yang dumpamakan seperti musim bunga (yang tidak terlalu panas dan terlalu sejuk.)      

     Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak mencapai kemuliaan kerana sesuatu waktu-waktu atau tempat-tempat, bahkan waktu-waktu dan tempat-tempat itulah yang mencapai kemuliaan dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , kerana kehebatan kedudukan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan kebesaran martabat kemuliaannya.

     Sesungguhnya para ulama telah bersepakat bahawasanya semulia-mulia tempat di atas bumi ini ialah tempat yang terkandung padanya jasad Baginda yang mulia صلى الله عليه وآله وسلم, maka mengapakah tidak dikatakan bulan dan hari kelahiran Baginda sebagai seafdhal-afdhal bulan dan hari? ’’ (2)

    Sejarah telah merakamkan kebenaran kata-kata,  bahawa Madinah al Munawwarah dulunya adalah Yathrib yang dikenali sebagai tempat yang dijangkiti wabak serta tempat pertumpahan darah akibat peperangan.

     Tetapi kedatangan hijrah Baginda  صلى الله عليه وآله وسلم ke sana memberikan Madinah wajah baru yang amat berbeza dari sebelumnya; sebagai suatu bandar Islam pertama yang subur tanam-tanamnya, pesat ekonominya. Hal ini dan selainnya adalah kerana keberadaan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pada muka bumi Madinah tersebut.

     Kesimpulannya, dapat diambil kesimpulan di sini bahawa setiap perkara, samada tempat, masa atau benda yang berkaitan dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, mulia dan hebat kerana Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . 

     Maka ketahuilah tiap-tiap yang berpegang dengan perkara-perkara  diatas ini dengan melakukan ibadat dan ketaatan padanya, pasti akan diberikan ganjaran dan pahala yang khusus, kerana berpegang dengan yang furu’ (ranting dan cabang) adalah seperti berpegang dengan yang asalnya.

وصلى الله على سيد المرسلين سيدنا محمد وعلى آله وسلم
…..

-End Note-

(1)    Al Zakhair al Muhammadiah  hlm 42-43
(2)    Kunuz al Anwar hlm 29-30


Rujukan :
-    Al Zakhair al Muhammadiah  oleh al Muhaddith Dr Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki
-    Al Fadhail al Muhammadiah olah Syeikh Yusuf al Nahani
-    Kunuz al Anwar oleh Syeikh Yusuf Khotor

0 ulasan:

Post a Comment

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan