-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Tuesday, November 3, 2009

Kuatkan Azammu Wahai Syabab dan Syabbaat Ahli Sunnah!!

بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله والصلاة والسلام على أفضل رسل الله وآله وصحبه

لامية ابن الوردي
.....

Sekilas pandang tentang pengarang رضي الله عنه

Beliau ialah al Imam Zain al Din: Umar bin Muzaffar al Maa’rri al Kindi, seorang ulama fekah yang hebat, ulama’ bahasa Arab yang jitu, serta seorang ahli sejarah yang ulung, lebih dikenali dengan nama Ibnu al Wardi. Beliau dilahirkan pada tahun 691H/1292M di Maa’rah al Nu’man, Syria. Beliau telah dinobatkan diantara ulama’ terhebat dan termasyur kurun ke-8. Wafat al Imam di Halab, Syria pada tahun 749H/1349M.

Bait-bait ini adalah ringkasan daripada qasidahnya yang bernama al Lamiah. Ia dinamakan sedemikian kerana setiap huruf akhir dalam bait itu diakhiri oleh huruf lam.

Syair ini mengandungi nasihat-nasihat yang berguna dalam setiap aspek kehidupan, terutamanya dalam menggesa anak-anak muda dalam menuntut ilmu dan berakhlak dengan akhlak yang mulia. Saya fikir adalah amat molek untuk saya anjurkan syair-syair ini moga ia menjadi pembakar semangat kita dalam berjihad di atas jalan Allah mengikut rentak dan gaya hidup ulama’ lampau.

Ia telah diterjemahkan oleh al Fadhil al Ustaz Fahmi Zam Zam yang lebih dikenali dengan nama Abu Ali al Banjari al Nadwi al Maliki حفظه الله , dalam bukunya ‘YA BUNAYYA -WAHAI ANAKKU YANG TERCINTA’ . Nasnya seperti berikut :

اعتزل ذكر الأغاني والغزل ۞ وقل الفصل وجانب من هزل

1) Tinggalkanlah segala bentuk nyanyian yang melalaikan dan menyebut-nyebut kecantikan wanita



...

يا بني اسمع وصايا جمعت ۞ حكما خصت بها خير الملل

2) Wahai anakku yang tercinta! Dengarlah nasihat dan kata-kata hikmah yang telah dipetik dari sebaik-baik agama.



اطلب العلم ولا تكسل فما ۞ أبعد الخير على أهل الكسل

3) Tuntutlah ilmu dan jangan engkau malas. Kebaikan itu sangatlah jauh daripada orang yang malas.



واحتفل بالفقه في الدين ولا ۞ تشتغل عنه بمال وخول

4) Khususnya berikanlah perhatianmu untuk mendalami ilmu-ilmu agama. Dan jangan engkau meninggalkannya kerana sibuk mencari harta dan pangkat.



واهجر النوم وحصّله فمن ۞ يعرف المطلوب يحقر ما بذل

5) Tinggalkan tidur dan hendaklah engkau bangun mencari ilmu. Siapa yang mengetahui kebesaran dan ketinggian ilmu pasti akan ringan mengorbankan apa sahaja yang dimilikinya.



لا تقل قد ذهبت أربابه ۞ كل من سار على الدرب وصل

6) Jangan kau katakanlah bahawa telah pupus orang yang alim atau telah luput masa untuk menuntuti ilmu. Sesungguhnya siapa yang berjalan mencari ilmu pasti akan mendapatkannya.



في ازدياد العلم ازعام العدى ۞ وجمال العلم اصلاح العمل

7) Bila ilmu kita bertambah bererti musuh telah kalah. Dan keindahan ilmu itu bila ia dapat membimbingmu untuk mengamalkannya.



جمل المنطق بالنحو فمن ۞ يحرم الاعراب في النطق اختبل

8) Percakapan itu menjadi indah dengan ilmu nahu. Sesiapa yang tidak mengerti ilmu nahu maka cederalah percakapannya.


...

وادّرعْ جدا وكدّا واجتنب ۞ صحبة الحمقى وأرباب الخلل

9) Bentengi dirimu dengan kesungguhan dan kegigihan . Dan hindari dari bersahabat dengan orang bodoh dan orang yang cedera pemikirannya.



...

لا تخضْ في حق سادات مضوا ۞ انهم ليسوا بأهل للزلل

10) Jangan kau cuba mengecam generasi awal umat ini (ulama dari para sahabat dan salafus soleh), kerana mereka bukan orang yang meletakkan dirinya di dalam kegelinciran (maksiat).



خذ بحدّ السيف واترك غمده ۞ واعتبر فضل الفتى دون الحُلل

11) Peganglah akan tajam mata pedangmu dan tinggalkanlah sarungnya,kerana yang dinilai itu adalah kehebatan peribadi (akhlak dan ilmu) seseorang bukan pakaiannya.

...

حبّك الأوطان عجز ظاهر ۞ فاغترب تَلْقَ عن الأهل بدل

12) Sukamu tinggal di kampung merupakan suatu kelemahan yang ketara. Oleh itu pergilah merantau mencari ilmu pasti kau temukan ganti dari keluarga yang ditinggalkan.

...


(Ustaz Fahmi Zam Zam al Maliki)


ỏ والحمد لله على تمام النعمة والصلاة والسلام على رسول الله وآله ỏ



342pm 7.6.09

Ujang1230

Pembukaan Pendaftaran Sekolah Ahli Sunnah

Berita baik! Berita baik! Berita baik!


PENDAFTARAN PERSEKOLAHAN STIAS SUDAH BERMULA!



Kepada ibu –bapa yang berhajat untuk meneruskan sesi pembelajaran anak-anaknya ke sekolah berpendidikan agama, berasrama penuh dan mempunyai kemudahan dan persekitaran semulajadi, Sekolah Tinggi Agama al Sofa (STIAS) adalah pilihan terbaik anda!

Sekolah ini, sebagai manifestasi Yayasan Sofa Negeri Sembilan untuk melebarkan usaha dakwah serta memperlengkapkan golongan muda dengan ilmu, bukan sahaja akademik tetapi juga agama, telah bersedia untuk menerima kehadiran pelajar-pelajar tahun ketiganya, bagi sesi persekolahan 2010. Ahli Lembaga Pengelola Maahad ini bersetuju supaya peringkat ketiga ini akan lebih menumpukan kepada kualiti kemasukan pelajar lelaki dan perempuan ke sini. Pelajar-pelajar baru akan disaring dan diterima kemasukan mereka setelah melalui tahap temuduga yang akan diadakan.

Menurut Pengetua sekolah ini, ketika ini struktur pengajian untuk akademik telah dikemaskini dan bersetuju untuk menerima kemasukan pelajar Tingkatan Satu , Tingkatan Dua dan Tingkatan Lima ( aliran agama ) bagi sesi 2010 ini dan akan dipastikan mampu menghafaz al-Quran serta diajar nahu, tauhid, hadis, feqah dan sirah. "Mereka juga akan melalui subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Sains, Matematik, Kemahiran Hidup, Sejarah dan Geografi," ujarnya. Selain itu subjek-subjek baru juga akan diperkenalkan.




Mereka yang berminat untuk mendapatkan keterangan lanjut, boleh menghubungi :

- Nurul Huda (019-384 9676)

- Ustaz Mohd Haneef 017 677 5431

- STIAS : Fax 06-445 0363 @ Tel 06-445 0419

- @ maahadassofa08@gmail.com

- www.maahadassofa.com.my

Para Ulama Sinar Kebahagiaan Kehidupan.

Aku membuka lembaran november ini dengan memujiMu ya Allah, mengagungkan NabiMu serta memuliakan kekasihMu… para ulama’ merekalah pelita-pelita di dunia yang gelap, kelam dengan kesesatan. Kata Hasan al Basri رضي الله عنه :

(para ulama... kelihatan dari kanan : Habib Ali al Jufri, Habib Omar al Yamani, Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki, Dr Muhammad Said Ramadhan al Buthi.)

لولا العلماء لصار الناس مثل البهائم

‘Sekiranya tiada ulama’ sudah pasti jadilah manusia seperti binatang-binatang.’



Merekalah syiar hebat dari syiar-syiar agama yang hanif ini, dan tidaklah yang memuliakan mereka melainkan orang yang bertaqwa. FirmanNya;

ومن يعظم شعائر الله فٳنه من تقوى القلوب

‘Dan sesiapa yang mengagungkan syiar Allah (maka dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat hati mukmin . ’ al Haj;32

Justeru alangkah eloknya jika aku dapat berkongsi kisah seorang lelaki yang amat aku kagumi hemahnya, akhlaknya, ilmunya, hubungannya dengan Tuhannya, kasihnya pada Rasul, sayangnya pada penuntut ilmu dan orang yang memerlukan, guru kami Sayyid Muuhammad bin Alawi al Maliki رضي الله عنه.

Mengakui siapalah daku untuk menceritakan keperibadiannya, tetapi rasanya tidaklah salah untukku menaqalkan kisah yang ditulis sendiri oleh ayahanda Sayyid Muhammad mengenai biografinya di dalam salah satu buku sanadnya . Moga terhasillah kefahaman dapatlah berkat dan pembukaan.

……………………………
kata al Marhum Dr al Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki رضي الله عنه :



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Segala puji bagi Allah Taala Tuhan sekalian alam. Salawat dan salam keatas semulia-mulia utusan, penghulu kami Muhammad dan ke atas keluarga serta sahabat-sahabatnya sekelian.

Saya Muhammad al Hasan bin Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz رضي الله عنهم, al Maliki pada mazhab, al Hasani al Idrisi pada nasab, telah dilahirkan di Mekah al Mukarramah. Saya telah mempelajari ilmu dalam halaqah-halaqah ilmu di Masjid al Haram, di Madrasah al Falah dan Madrasah Tahfiz al Quran al Karim. Saya juga telah bermusafir ke Morocco, Mesir, India dan Pakistan untuk menimba ilmu. Di dalam musafir tersebut saya telah mengutip banyak faedah; mengumpul beberapa manuskrip, mengadakan pertemuan dengan ulama’, mengenali kesan-kesan peninggalan ulama, menziarahi tempat-tempat bersejarah di dalam Islam dan menulis faedah-faedah. Segala puji bagi Allah atas kurniaanNya ini.

Saya mula mengajar dengan kurniaan Allah, ketika saya masih belum baligh dengan perintah ayahanda saya al Marhum al Sayyid Alawi al Maliki رضي الله عنه. Ayahanda telah menyuruh saya mengajar semua kitab yang telah tamat saya pelajari daripadanya pada waktu itu. Ayahanda telah menyuruh pelajar-pelajarnya supaya menghadiri majlis-majlis pengajian yang diajar oleh saya.

Saya mula mengajar secara rasmi di Kuliah Syariah pada 1390 Hijrah. Selepas 3 hari kewafatan ayahanda, ulama’ Mekah telah berhimpun di rumah kami dan mereka telah mempertanggungjawabkan saya untuk mengajar sebagai menggantikan tempat Ayahanda di Masjid al Haram.

Kemudian saya memohon berhenti dari memegang jawatan pensyarah di universiti bagi mengosongkan masa untuk mengarang buku dan mengajak manusia kepada Allah untuk mencari keredhaanNya semata-mata, di Mekah al Mukarramah dan di luar Mekah. Selepas itu, saya sentiasa melakukan kerja-kerja tersebut dengan kurniaan Allah dan pertolonganNya. Saya memohon kepada Allah agar sentiasa mencurahkan taufiq dan pertolonganNya. Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam.

Saya juga telah menyertai beberapa Muktamar Islam Antarabangsa dan mengemukakan beberapa perbahasan dan kajian yang kebanyakannya dicetak dengan kurniaan Allah. Saya juga telah bermusafir untuk mengadakan beberapa kunjungan peribadi dan rasmi. Dalam kunjungan tersebut, saya telah menziarahi beberapa negara Islam dan mengadakan beberapa kali sesi pengajian dan pengajaran. Saya memohon kepada Allah agar Dia menjadikan segala usaha tersebut ikhlas demi mendapat keredhaanNya, amin.

Saya juga telah menceburi bidang penulisan tentang beberapa permasalahan. Diantaranya ialah Dirasat Haula al Muwatto’ yang menyentuh tentang Muwatto’ dan keprihatinan umat Islam terhadapnya, pengajian perbandingan tentang riwayat-riwayat al Muwatto’, kesamaran di sekitar Muwatto’ dan penolakannya, Imam Dar al Hijrah Malik bin Anas رضي الله عنه .

Saya juga telah menulis dan mengeluarkan beberapa buah buku tentang ilmu Mustolah Hadis, nama-nama Rijal (perawi hadis), tasawwuf dan Ilmu al Asanid dan al Athbat.

Saya juga telah mentahqiq dan menta’liq hadith marfu’ yang diriwayatkan oleh ibnu al Qasim رضي الله عنه di dalam kitab al Muwatto’ dan menulis tentang kesan-kesan Sejarah Islam di Mekah al Mukarramah dan kawasan sekitarnya yang bertajuk Fi Rihab al Bait al Haram.

Saya telah mengarang kitab tentang kesempurnaan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang bertajuk al Insan al Kamil dan menta’liq kitab maulid (sirah) Nabi karangan al Hafiz ibn al Daiba’ رضي الله عنه dan kitab maulid karangan al Hafiz al Mulla al Qari رضي الله عنه dan saya menyebarkannya pertama kali, dan kitab-kitab karangan yang lain hingga melebihi 50 buah yang diantaranya dikeluarkan dan sebahagiannya belum dikeluarkan. Saya memohon kepada Allah agar memanfaatkan kitab tersebut kepada umat Islam dan menjadikannya ikhlas demi menuntut keredhaanNya, amin.


(Sayyid Muhammad (kiri) memegang tangan Habib Ali al Jufri. Di sebelah kanan sekali Sayyid Ahmad (memakai egal) anak Sayyid Muhammad, khalifah (pengganti) ayahandanya sekarang.)


Ditulis oleh : Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani رضي الله عنه



(Syeikh Muhammad Fuad al Maliki penyambung perjalanan dakwah Sayyid Muhammad dan wakilnya di Malaysia )

Rujukan ; Risalah Khas Sempena Memperingati 150 Kewafatan Ayahanda Professor Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki,

Oleh : Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki.

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan