-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Wednesday, January 20, 2010

PENOLAKAN TERHADAP PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH




Arkib Utusan Malaysia 11 Jan 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

               SEMINGGU dua ini, negara amnya dan masyarakat Islam khasnya hangat membicarakan tentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam. Ruangan ini turut terpanggil untuk cuba menjernihkan fahaman dalam isu ini. Terutama apabila ada juga tokoh dan individu Islam yang mengeluarkan pandangan mempertahankan keputusan mahkamah tinggi baru-baru ini yang membenarkan satu penerbitan Kristian Katholik untuk menggunakan kalimah Allah.

             Apabila menimbangkan boleh atau tidak sesuatu itu dilakukan di sisi Islam, kaedah syarak menuntut kita mengenal-pasti hukum asal perkara tersebut serta turut memahami realiti sebenar atau situasi yang melatari sesuatu perbuatan atau isu. Dalam ruang yang terbatas ini, kami akan membentangkan beberapa hujah di sebalik pandangan yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama-agama selain Islam.


Dalil-dalil dan hujah-hujah ulama'

            Di dalam al-Quran sendiri terdapat beberapa ayat yang membawa larangan dan peringatan tentang menyalah-gunakan nama Allah. Allah SWT berfirman yang maksud-Nya:

Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya. Adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding dengan-Nya?  
(Maryam: 65)

Ayat ini ditafsirkan oleh para ulama dengan beberapa tafsiran:
1. Di dalam kitab Tafsir Hadaiq al Rauh wa al Raihan H: 187 ayat ini ditafsirkan dengan maksud: Adakah kamu mengetahui, wahai Muhammad! Bagi Tuhan Yang Maha Suci ada perkongsian pada namaNya (pada menamakan-Nya dengan lafaz al Jalalah atau dengan Tuhan tujuh petala langit dan bumi. Ayat istifham (soalan) ini didatangkan dengan tujuan ingkar, iaitu maknanya: Sesungguhnya Allah itu tidak ada baginya misal atau bandingan sehingga Dia boleh disekutukan dalam ibadah dan dari sini akan melazimkan nama ini tidak khusus bagi Allah. Apabila ternafinya sekutu bagi Allah, maka layaklah Allah itu di-Esakan dalam ibadah dan dikhususkan baginya.

2. Pendapat kedua mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang dinamakan dengan Allah selain Allah. Atau, nama yang lain dari nama yang Allah sendiri namakan bagi diri-Nya.

3. Pendapat ketiga mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang layak dengan kesempurnaan nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi Allah.

4. Pendapat keempat mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui nama yang lebih agung daripada nama yang unggul ini. Atau, nama-Nya diterbitkan dari sesuatu seperti nama-nama makhluk-Nya. Sesungguhnya Allah itu tiada satu pun yang menyerupai-Nya. Ia adalah nama yang hanya menunjukkan kepada Zat Tuhan yang tertegak pada-Nya sifat-sifat. Sama seperti isim alam yang lain yang menunjukkan kepada apa yang dinamakan tanpa diambil daripada mana-mana nama. Ia adalah nama yang diungguli oleh Allah, yang dikhususkan bagi diri-Nya dan disifatkan bagi Zat-Nya. Ia didahulukan dari nama-nama-Nya yang lain dan nama-nama-Nya yang lain bersandar kepada nama ini dan semua nama yang datang selepasnya adalah sifat bagi-Nya dan bersangkutan dengannya.



Nama-nama Allah

Nama-nama Allah SWT yang lain disifatkan sebagai nama-nama Allah SWT yang lain dan kebiasaannya hanya dikenali dengan disandarkan kepadanya (Allah). Oleh itu disebut, ia adalah nama-nama Allah dan tidak disebut ia adalah nama-nama al Sabur, al Ghafur, al Jabbar dan sebagainya. Demikian juga keIslaman seseorang itu tidak akan sempurna melainkan dengan menyebut nama yang satu ini. Ia tidak menerima sebarang gantian dan tidak disebut nama gantiannya yang lain.

Misalnya dengan mengucapkan dalam syahadah dengan kalimah, "Tiada Tuhan melainkan al Ghaffar, atau al Rahim atau al Jabbar dan sebagainya. Hanya yang digunakan dan disebut adalah, "Tiada Tuhan melainkan Allah". Inilah juga yang disebut oleh al-Quran dan hadis kerana ia adalah nama yang paling menunjukkan kepada hakikat makna Ilahiyyah dan dikhususkan baginya. Ia juga adalah nama yang tidak memerlukan kepada nama-nama yang lain untuk diperkenalkan tetapi nama-nama yang lain itu dikenali dengan disandarkan kepadanya.

Perkataan Allah itu sudah mencukupi bagi pertuturan dan zikir (sebutan) tanpa perlu disifatkan dan di takhalluq (disifatkan manusia dengan sifat-Nya).

Allah telah menegaskan di dalam Kitabnya yang mulia:  
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.
(al-A’raaf: 180)

Berdasarkan ayat di atas, terdapat beberapa pendapat ulama tentang maksud mulhid:

Berkata Mujahid: Mulhid ialah orang yang menamakan Allah sebagai bapa dan berhala-berhala mereka sebagai tuhan-tuhan dan seumpamanya.

Berkata Ibnu Abbas makna (Yulhidun) ialah mendustai.

Berkata Qatadah: Maknanya mensyirikkan Allah.

Berkata al Khattabi: Salah dalam menamakan Allah dan menyimpang dari nama-Nya yang sebenar adalah Mulhid. (Al Bahr al Muhit fi al Tafsir jld 5 H: 232)

Maksud ayat ini, Allah Yang Maha Suci, bukan yang lain-Nya, mempunyai nama-nama yang sebaik-baiknya dan seagung-agungnya bagi menunjukkan kepada sebaik-baik dan semulia-mulia nama-Nya. Merujuk kepada ayat-ayat di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa nama-nama Allah, apatah lagi kalimah Allah itu sendiri sebagai nama yang khusus bagi Allah SWT bukanlah boleh digunakan sewenang-wenangnya dan tanpa batasan.

Pelbagai hujah lain yang mendokong larangan penggunaan kalimah Allah ini datangnya dari pelbagai sudut termasuk bahasa, falsafah dan seumpamanya. Oleh kerana kesuntukan ruang, kami mengesyorkan dua tulisan yang memuatkan hujah-hujah ini secara lebih panjang. Ia boleh didapati dengan mudah di Internet iaitu makalah bertajuk ‘Antara Nama dan Hakikat’ oleh Md. Asham Ahmad serta makalah ‘Hujah Menolak Penggunaan Kalimah Allah oleh Kristian’ oleh Mohd. Aizam Mas’od.


Untuk bacaan lanjut sila klik
http://yayasansofa.blogsome.com/2010/01/12/penggunaan-kalimah-allah/

Hal-hal kepercayaan yang lain dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah .

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا ومولانا محمد وعلى آله وصحبه وسلم. أما بعد،

Hal-hal kepercayaan yang lain dalam
 Ahli Sunnah Wal Jamaah .






Takrif ringkas Ahli Sunnah.

Iaitu I’tiqad yang telah disusun oleh Imam Abu Hasan al Asya’ri dan Imam Abu Mansur al Maturidi. Muncul pada akhir abad ke-3 Hijrah. Keistimewaan Imam Abu Hasan al Asya’ri ialah mengutamakan dalil-dali dari al Quran dan Hadith, dan juga dengan pertimbangan akal dan pemikiran.

•    Erti Ahli Sunnah ialah penganut Sunnah Nabi.
•    Erti Jamaah ialah penganut I’tiqad sebagai I’tiqad jemaah sahabat-sahabat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم  .

Kaum Ahli Sunnah wal Jamaah ialah kaum yang menganut I’tiqad sebagai I’tiqad yang dianut oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم  dan sahabat-sahabat Baginda
    
I’tiqad Nabi صلى الله عليه وآله وسلم  dan sahabat-sahabat itu telah termaktub  di dalam al Quran dan Sunnah Rasul (hadith) secara berasingan belum tersusun secara rapi dan teratur tetapi kemudian dikumpul dan dirumuskan dengan rapi oleh seorang ulama’ usuluddin yang besar, iaitu Syeikh Abu Hasan al Asya’ri   (260H-324H) .
  
Termaktub di dalam syarah kitab Ihya’ Ulumiddin, Ittihaf Sadah al Muttaqin karya  Imam Muhammad bin Muhammad al Zabidi iaitu:
إذا أطلق أهل السنة فالمراد به الأشاعرة والماتريدية

Ertinya: jika disebut Kaum Ahli Sunnah wal Jamaah maka maksudnya ialah orang-orang yang mengikut rumusan (kefahaman) Imam al Asya’ri dan Imam al Maturidi.
Telah berkata al Imam al Habib Abdullah bin Alawi al Haddad:
وكن أشعريا في اعتقادك إنه  ◊  هو المنهل الصافي عن الزيغ والكفر

Ertinya: dan hendaklah kamu menjadi Asy’ari pada Aqidah kamu, kerana sesungguhnya ia adalah aliran yang bersih daripada penyelewengan dan kekufuran.  

Telah menjadi adat kebiasaan dalam dunia Islam bahawa hukum-hukum agama yang digali dari al Quran dan Sunnah oleh seseorang alim maka hukum itu dinamakan mazhab. Contohnya hasil ijtihad (pandangan dan fatwa) Imam Syafie digelar mazhab Syafie, begitu juga  hasil ijtihad ulama’ mazhab fekah yang lain, walaupun pada hakikatnya semuanya adalah agama Allah yang termaktub di dalam al Quran dan Sunnah.

Begitu juga dalam hal ehwal I’tiqad. Hasil kefahaman Imam al Asya’ri dinamakan mazhab al Asya’ri, hakikatnya rumusan-rumusannya, fatwa-fatwa dan ijtihadnya ini tidak lain hanya  mempertahankan apa yang sudah ada dalam al Quran dan Hadith, serta terjemahan dari I’tiqad yang diimani oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم  dan sahabat Baginda رضي الله عنهم
Fahaman ini bersalahan dengan Muktazilah yang berdasarkan pemikiran kepada akal dan falsafah yang berasal dari Yunani.
Ia bersalahan dengan kaum Mujassimah (iaitu kaum yang menyerupakan Tuhan dengan makhluk, seperti Wahabi) yang memegang zahir makna al Quran dan Sunnah hingga menetapkan sifat kemanusiaan kepada Allah seperti bertangan, bermuka duduk dan lain-lain.

Antara ulama’-ulama Islam terawal  yang menyangga dan menyebar luaskan I’tiqad ini ialah:

1.    Imam Abu Bakar al Qaffal
2.    Imam Abu Ishaq al Isfarayini
3.    Imam al Hafiz al Baihaqi
4.    Imam al Haramain al Juwaini
5.    Imam al Qasim al Qusyairi
6.    Imam al Baqilani
7.    Imam al Ghazali
8.    Imam Fakhruddin al Razi
9.    Imam Izzuddin bin Abdul Salam, Sultan al Ulama’
.رضي الله عنهم




Hal-hal kepercayaan yang lain dalam: Ahli Sunnah Wal Jamaah

1>    Perkara yang berkaitan dengan Nabi kita Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.
Wajib ke atas setiap mukallaf mengetahui bahawa;

     Nabi Muhammad dilahirkan di Mekah, diangkat menjadi Rasul disana dan berpindah ke Madinah hingga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  wafat dan dikebumikan disana.

     Wajib percaya bahawa tubuh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  putih kemerah-merahan.

     Ayahanda Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bernama Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdul Manaf.

     Bondanya pula ialah Aminah binti Wahab. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berbangsa Quraisy.

     Wajib berpegang bahawa kedua-dua ibu bapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  selamat dari sebarang siksaan neraka.

     Semua keturunan Rasulullah semenjak zaman Nabi Adam hinggalah ayahandanya beriman kepada Allah, terlepas dari melakukan perbuatan syirik, tidak pernah melakukan zina serta lain-lain perbuatan jahiliah dan syrik.

….

2>    Peringkat kemuliaan Makhluk

1)    Wajib ke atas setiap mukallaf mengetahui bahawa makhluk yang paling mulia ialah penghulu kita : NABI MUHAMMAD  صلى الله عليه وآله وسلم. Kemudian diikuti oleh;

2)    Nabi Ibrahim
3)    Nabi Musa
4)    Nabi Isa
5)    Nabi Nuh عليهم السلام,


Setelah itu dikuti pula oleh:
6)    KUMPULAN PARA RASUL عليهم السلام
7)    KUMPULAN PARA NABI عليهم السلام
8)    MALAIKAT YANG KHAWAS (terpilih) seperti Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail عليهم السلام. 
9)    Setelah itu dikuti pula oleh
10)    MANUSIA YANG KHAWAS, seperti Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq رضي الله عنه.
11)    MALAIKAT YANG AWAM
12)    MANUSIA YANG AWAM
…..

3>    Umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang paling mulia.

Umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang paling mulia ialah:
1)    Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq
2)    Sayyiduna Umar ibn al Khattab
3)    Sayyiduna Uthman ibn ‘Affan
4)    Sayyiduna Ali ibn Abu Talib رضي الله عنهم

5)    Kemudian diikuti oleh baki 10 orang sahabat yang disaksikan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dijamin masuk syurga, iaitu:
•    Sayyiduna Talhah ibn ‘Ubaidillah
•    Sayyiduna Zubair ibn Awwam
•    Sayyiduna Saad bin Abi Waqqas
•    Sayyiduna Sa’id bin Zaid
•    Sayyiduna Abdul Rahman ibn Auf
•    Sayyiduna Abu ‘Ubaidah ibn al Jarrah

6)    Ahli Perang Badar
7)    Ahli Perang Uhud
8)    Ahli Bai’ah Ridhwan
9)    Kumpulan Sahabat Baginda  صلى الله عليه وآله وسلم
10)    Tabiin
11)    Tabi’ tabiin
12)    Umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang lain.

4>    Kaum Wanita yang Paling Mulia, iaitu;

1)    Sayyidatuna Maryam binti Imran, kemudian diikuti
2)    Sayyidatuna Fatimah binti Sayyiduna Muhammad
3)    Sayyidatuna Asiah, isteri Firaun
4)    Semua isteri Rasulullah

5>    Semua Nabi adalah maksum.
Wajib atas setiap mukallaf mengetahui bahawa semua Nabi adalah maksum, iaitu;
-    Terpelihara daripada melakukan perkara yang haram sama ada dosa besar ataupun kecil.
-    Terpelihara daripada melakukan perkara makruh. 

6>    Semua para Sahabat رضي الله عنهم adalah adil.

7>    Imam Mazhab Yang Empat.
-    Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Malik ibn Anas dan Imam Ahmad ibn Hanbal serta semua ulama’ Ahli  Ijtihad tetap berada di atas petunjuk yang sempurna daripada Allah pada I’tiqad mereka dan lain-lainnya. 

-    Maka wajib ke atas setiap orang yang bukan dari kalangan Ahli Ijtihad bertaqlid iaitu mengikut hukum Fekah salah satu dari mazhab (yang empat).  

8>    Ikutan dalam akidah.
Hendaklah diyakini bahawa Imam Abu Hasan al Asy’ari dan Imam Abu Mansur al Maturidi adalah ikutan yang benar pada I’tiqad. 

9>    Ikutan dalam Tariqat (Tasawwuf).
Hendaklah diyakini bahawa Tariqat Abu al Qasim Junaid al Baghdadi رضي الله عنه dan segala pengikutnya adalah benar dan terlepas daripada perkara-perkara bid’ah.

10>    Putera-puteri Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Wajib ke atas tiap-tiap mukallaf mengetahui  setiap Putera-puteri Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Ia terdiri daripada 7 orang, 4 daripadanya adalah perempuan iaitu:
-    Fatimah
-    Zainab
-    Ruqayyah
-    Ummu Kalthum
      Putera-putera Rasulullah pula ialah:

-    Qasim
-    Ibrahim

-    Abdullah رضي الله عنهم


11>    Isteri-isteri Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
Hendaklah diketahui bahawa; isteri-isteri Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yang ditinggalkan selepas kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم seramai 9 orang, iaitu:

-    Sayyidah Aisyah
-    Sayyidah Hafsah
-    Sayyidah Saudah
-    Sayyidah Sofiyyah
-    Sayyidah Maimunah
-    Sayyidah Ramlah
-    Sayyidah Hindun
-    Sayyidah Zainab
-    Sayyidah Juwairiyah



           Manakala isteri-isteri yang wafat sebelum kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  ialah:
-    Sayyidah Khadijah-    Sayyidah Zainab رضي الله عنهن

12>    Ibu dan Bapa Saudara Nabi صلى الله عليه وآله وسلم sebelah bapanya.
Ketahuilah bahawa adik beradik ayahandanya yang memeluk Islam terdiri dari 3 orang iaitu:
-    Sayyiduna Hamzah
-    Sayyiduna Abbas
-    Sayyidah Sofiyyah
رضي الله عنهم

13>    Ibu Susuan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Ketahuilah bahawa ibu susuannya seramai 2 orang iaitu:
-    Sayyidah Halimah al Sa’diah
-    Sayyidah Thuwaibah al Aslamiah
.

14>    Nama Para Nabi  صلى الله عليه وآله وسلم.
Wajib ke atas tiap-tiap mukallaf mengetahui nama-nama Nabi yang disebut di dalam al Quran sebanyak 25 orang iaitu:

1)    Nabi Adam
2)    Nabi Idris
3)    Nabi Nuh
4)    Nabi Hud
5)    Nabi Soleh
6)    Nabi Ibrahim
7)    Nabi Lut
8)    Nabi Ismail
9)    Nabi Ishaq
10)    Nabi Ya’qub
11)    Nabi Yusuf
12)    Nabi Ayyub
13)    Nabi Syuaib
14)    Nabi Harun
15)    Nabi Musa
16)    Nabi Ilyasa’
17)    Nabi Zulkifli
18)    Nabi Daud
19)    Nabi Sulaiman
20)    Nabi Ilyas
21)    Nabi Yunus
22)    Nabi Zakaria
23)    Nabi Yahya
24)    Nabi Isa
25)    Nabi Muhammad, عليهم الصلاة والسلام وعلى نبينا أفضل الصلاة والتسليم



15>    Kitab-kitab Allah Taala
Wajib ke atas setiap mukallaf mempercayai segala Kitab Allah Taala yang diturunkan dari langit, ianya banyak tetapi kiab yang wajib diketahui dengan terperinci sebanyak 4 buah kitab sahaja iaitu:
1)    Taurat, diturunkan kepada Nabi Musa.
2)    Zabur, diturunkan kepada Nabi Daud.
3)    Injil, diturunkan kepada Nabi Isa.
4)    Al Quran, diturunkan kepada Nabi Muhammad
 عليهم الصلاة والسلام وعلى نبينا أفضل الصلاة والتسليم.

16>    Para Malaikat.
-    Wajib percaya kepada sekalian malaikat, sekumpulan hamba-hamba Allah yang dimuliakan.
-    Mereka buku lelaki ataupun perempuan
-    Pekerjaan mereka beribadah selama-lamanya
-    Mereka tidak sesekali mengerjakan maksiat.  
-    Bilangan mereka tidak diketahui melainkan Allah Taala. Namun yang wajib diketahui dengan  tafsil (terperinci) ialah 10 malaikat iaitu:

1)    Jibril
2)    Mikail
3)    Israfil
4)    Izrail
5)    Raqib’
6)    ’Atid
7)    Malaikat yang menanggung Arasy
8)    Munkar dan Nakir
9)    Malik
10)    Ridhwan



17>    Pelaku dosa besar.
Hendaklah kita beri’tiqad bahawa pelaku dosa besar  seperti berzina, mencuri dan meminum arak tidak kufur.

18>    Pelaku Taat
Hendaklah kita beri’tiqad bahawa kita tidak menentukan seseorang Ahli Tauhid dan orang-orang yang berpegang teguh dengan keimanan bahawa tempatnya adalah syurga atau neraka, melainkan orang-orang yang telah dijanjikan Nabi sendiri bahawa tempatnya adalah Syurga.
Rujukan:
  1. I'tiqad Ahli sunnah wal Jamaah, Kiyai Haji Sirajuddin Abbas
  2. I'tiqad Ahli sunnah wal Jamaah, al Allamah Muhammad Muhktar Atorid

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan