-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Thursday, March 18, 2010

Fasal 9 : Puji-pujian Kepada Rasul Yang Agung (1) صلى الله عليه وآله وسلم


بسم الله الرحمن الرحيم
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله في كل لمحة ونفس عدد ما وسعه علم الله
Berkata  Imam al Muddah, Imam al Busiri:
Setinggi-tinggi kemampuan lisan untuk memuji, mereka hanya mampu mengatakan engkau adalah seorang manusia biasa,
(Hakikatnya tidak )Bahkan sebenarnya engkau adalah Sebaik-baik Makhluk seanteronya!


    Setinggi-tinggi pujian diucapkan kehadrat  Allah yang  selalu mengurniakan rahmat taufiq kepada hamba-hamba, walaupun mereka  sering leka terhadapNya. Selawat dan salam  diucapkan ke atas Semulia-mulia Nabi yang diangkat nama dan dipuji dalam sebaik-baik KitabNya dengan firmanNya:


Inilah risalah kecil yang membincangkan tentang puji-pujian ke atas Penghulu Segala Rasul Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم . Sungguh pun saya bukanlah berkeahlian dalam bidang ini, tetapi saya pohon moga-moga Allah menjadikannya saksi  wala’ dan kasihku pada Sayyidul Mursalin. Moga Allah memanfaatkan kita dengannya, amin.
………….

Sesungguhnya seringkas bait-bait lagu yang didengari sebentar tadi, atau sekilas pandangan kepada keanggunan wajah seseorang ataupun kelazatan yang dirasai pada seteguk kopi, cukup untuk menyebabkan seseorang itu memuji  perkara tersebut, malah mungkin terbawa-bawa hingga ke hari kemudiannya.

Itulah fitrah kebiasaan manusia apabila merasai sesuatu kenikmatan yang jarang-jarang kali dirasai. Sebab utama adalah rasa taajub, lalu mengundang kasih yang akhirnya membuahkan rindu terhadap perkara tersebut.

Maka ketahuilah wahai insan, jika keindahan rupa paras itu menyeronokkanmu, sesungguhnya Nabimu itu adalah seindah-indah makhluk yang pernah tercipta.

Kata Imam al Syuara’  Saiduna  Hasan    bin  Tsabit  رضي الله عنه   mensifatkan   Nabi  صلى الله عليه وآله وسلم:
وأحسن منك لم تر قط عيني **
                        وأجمل منك لم تلد النساء
 خلقت مبرأ من كل عيب **
                       كأنك قد خلقت كما تشاء

‘‘Dan tidak pernah mataku melihat orang yang lebih cantik daripadamu,
Begitu juga, seindah-indahmu tidak pernah dilahirkan oleh mana-mana wanita,
Engkau diciptakan suci dari kekurangan dan cacat cela,
Seolah-olah engkau telah tercipta,  dengan mengikut kemahuan dan kehendakmu sendiri.’’     
    






Jika akhlak dan perilaku yang baik itu menawan hatimu, sesungguhnya pada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم itu semulia-mulia akhlak. Sayyidah Aisyah رضي الله عنها meriwayatkan bahawa:

كَانَ أَحْسَنَ النَّاس خُلُقاً، لَمْ يَكُنْ فَاحشاً، وَلاَ مُتَفَحّشًا، وَلاَ صَخَّاباً في اْلأَسْوَاق، وَلاَ يَجْزي بالسَّيّئَة مثلَهَا، وَلَكنْ يعْفُو وَيَصْفَحُ.   

‘Baginda صلى الله عليه وآله وسلم merupakan seorang manusia yang mempunyai sebaik-baik akhlak, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bukanlah orang yang keji dan tidak melakukan perkara yang keji. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم juga bukanlah seorang yang gemar memekik-mekik di dalam pasar, dan tidak membalas kejahatan yang dilakukan kepadanya tetapi Baginda suka memaafkan dan berdamai.’ 
(Riwayat Ibn Abi Dunya di dalam Kitab al Sumt wa Adab al Lisan)

Jika pertolongan dan bantuan seseorang di saat engkau dalam kesusahan, amat kau hargai dan ingati jasanya. Maka ingatlah, pertolongan Syafaat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم itu, adalah seafdhal-afdhal perkara untuk kau hargai. Ketahuilah hanya dengan syafaatnya sahaja kelaklah engkau dilepaskan dari bala musibah dan kesusahan kiamat nanti.

 Hari dimana semua manusia berpusu-pusu kepada para Nabi, tetapi masing-masing tidak mampu untuk membantu, kecuali Rasulmu: Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم. Hanya Baginda seorang sahaja yang mampu mengeluarkanmu dari kesesakan mahsyar itu. Hanya Baginda! Baginda menjawab seruan kaum yang memohon kepadanya dan tidak akan mengecewakan orang yang meminta daripadanya, katanya: akulah yang akan membantu!.

Ketika diizinkan olehNya untuk berkata-kata, ucapan pertama yang keluar dari mulut Rasulullah ini ialah:
‘‘Umatku,Umatku.’’

Maka Alah berfirman: ‘‘sesiapa yang baginya iman walau sebesar biji gandum, maka (wahai Muhammad) keluarkanlahnya dari kesusahan ini…’’

Dialah Rasulullah, Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم. Nabimu dan Nabi ibu bapamu. Dengan perkara-perkara ini, apakah ada sebab lain untuk engkau menidakkan perasaan kasih terhadapnya? Atau mungkin dahulu engkau alpa dan kini baru engkau sedar atas hakikat kebaikannya ke atasmu?

Justeru, atas dasar-dasar dan sebab-sebab inilah orang yang beriman, memperbaharui kasih dan cinta kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Dan atas kesan kisah-kisah sebeginilah lahirnya rasa rindu yang mendalam, yang tak mampu di nukilkan oleh mata-mata pena mahu pun lisan.

Dengan ini juga, terciptalah lautan syair-syair yang digelar madaih, Qasidah dan Burdah yang mengandungi kata-kata rindu terhadap Rasul. Semua ini tiada lain, membuahkan rasa semangat dan keyakinan dalam pengabdian kepada Allah selain menambahkan mutu ibadah seseorang tersebut. Inilah pengenalan ringkas bagi sebab permulaan memuji Nabi صلى الله عليه وآله وسلم.  
………..

Adapun selepas itu, disini saya ingin mengajak pembaca bersama-sama saya mencari jawapan bagi persolan di bawah ini:

1)    Apakah hukum memuji Rasulullah   صلى الله عليه وآله وسلم?
2)    Adakah ia wujud di zaman Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ?
3)    Bagaimanakah pula makna hadith ‘Jangan kamu memujiku, seperti kaum Kristian memuji Nabi Isa?’
4)    Siapakah ulama’ yang mengarang puji-pujian terhadap Rasulullah?

Dalam kesempatan ini saya akan cuba menjawab dua soalan awal, dengan izin Allah Taala.

Soalan 1 : Apakah hukum memuji Rasulullah  صلى الله عليه وآله وسلم?
Jawapan :

Muhaddith al Haramain Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki رضي الله عنه berkata:

Hukum memuji Rasulullah  صلى الله عليه وآله وسلم adalah sunat yang amat dituntut dan digalakkan. (Dari al Madhu al Nabawi.)

 Pelakunya diberikan sebesar-besar pahala dan ganjaran.

Memadailah pujian Allah Taala sendiri di dalam KitabNya, sebagai uswah ikutan yang cukup kuat bagi menyangga amalan Memuji  Nabi ini.

Antaranya Allah Taala berfirman, bahawa Rasulullah adalah rahmat :

Selain itu, Allah memuji akhlak Rasulullah صلى  الله عليه وآله وسلم dengan semulia-mulia akhlak:


     Malah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sendiri memuji dirinya sendiri, atas niat menyebut kurniaan Allah terhadap diriNya.

Daripada Abi Said رضي الله عنه berkata, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
أنا سيد ولد آدم يوم القيامة ولا فخر، بيدي لواء الحمد ولا فخر، وما من نبي يومئذ آدم فمن سواه إلا تحت لوائي، وأنا أول من تنشق عنه الأرض ولا فخر.  

‘‘ Saya adalah sayyid (penghulu) anak-anak Adam pada Hari Kiamat dan tidaklah saya berbangga dengannya, ditangan saya terdapat Liwa’ al Hamdi dan tidaklah saya bermegah dengannya, tidaklah seorang nabi pada  hari itu, Adam dan selainnya melainkan kesemuanya di bawah benderaku, dan sayalah orang pertama yang akan dibangkitkan dari bumi ini namun tetap saya tidak bermegah dengannya.’’  
(Riwayat Imam Ahmad dan Imam al Tirmmizi, beliau berkata hadith hasan.)

    Sesunggguhnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم memuji dirinya, untuk menzahirkan kesyukuran kerana menjadikannya rahmat dan nikmat kepada makhluk-maklukNya. Maka umatnya memuji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم hakikatnya berterima kasih kepada Allah atas nikmat perutusan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yang merupakan rahmat, hidayah dan cahaya yang menerangi alam sejagat.



Soalan kedua : Adakah ia wujud di zaman Rasulullah?

Jawapan : Ya, tanpa syak lagi. Sesungguhnya Rasulullah mempunyai ramai individu dari kalangan sahabat dan ahli baitnya sendiri yang merupakan pensyair Baginda صلى الله عليه وآله وسلم .

    Antaranya Saiduna Abdullah ibn Rawahah, Saiduna al Abbas ibn Abdul Muttalib, Saiduna Abu Talib, Saiduna Kaab ibn Malik, Saiduna Abdullah ibn al Zab’ari dan ramai lagi. Walau bagaimanapun sesungguhnya sebaik-baik pensyair Rasulullah malah ketuanya adalah Saiduna Hassan ibn Tsabit رضي الله عنهم .

    Di dalam Mukhtasar al Syamail al Muhammadiah, Sayyidatuna Aisyah رضي الله عنها  menceritakan :
‘‘Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم meletakkan mimbar untuk Hassan ibn Tsabit di dalam masjid agar dia bersyair membesarkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .’’ Atau (perawi ragu), ‘‘ Agar dia mempertahankan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: ‘‘Sesungguhnya Allah sentiasa menguatkan Hassan dengan Jibril ketika dia mempertahankan (atau membesarkan) Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم (dengan syairnya). 

     Saiduna Anas ibn Malik رضي الله عنه bercerita : ‘‘Bahawa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم memasuki kota Makkah semasa melaksanakan Umrah al Qadha’ dan Saiduna Ibnu Rawahah رضي الله عنه berjalan di hadapan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sambil mendendangkan syair:
خلّوا بني الكفار عن سبيله **
                  اليوم نضربكم على تنزيله
ضربا يزيل الهام عن مقيله **
                  ويذهل الخليل عن خليله
Kosongkanlah jalan ke Baitillah wahai anak-anak kaum kafir untuk Rasulullah,

Hari ini kami akan binasakan kalian, sekiranya kalian menghalang Nabi masuk ke Masjid al Haram,

Kebinasaan yang memisahkan kepala dari tengkuknya,

Dan melupakan orang kepada kekasihnya.’


    Mendengar syair itu, Saiduna Umar رضي الله عنه berkata: ‘Wahai Ibnu Rawahah! Kamu bersyair (seperti itu) di hadapan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan di tanah haram?
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  bersabda (menegahi): ‘‘ Biarkanlah dia, wahai Umar! Kalimah-kalimahnya lebih cepat membekas di dalam hati mereka daripada hujanan anak panah.’’ (Dari Mukhtasar al Syamail.)
   
    Ingatlah kembali peristiwa Saiduna Kaab ibn Zuhair رضي الله عنه, salah seorang lelaki yang pernah dihalalkan darahnya kerana menghina Allah dan Rasul. Tetapi akhirnya beliau bertaubat, dan dengan petunjuk Saiduna Ali رضي الله عنه beliau datang menemui Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dalam keadaan beriman dan menyesali terhadap perilakunya yang lalu. Lalu beliau mendendangkan syair  (بانت سعاد) yang masyhur di hadapan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم,  di antara baitnya :
أنبئت أن رسول الله أوعدني**
             والعفو عند رسول الله مأمول

‘Aku telah diberitahu bahawa Rasulullah telah menghalalkan darahku,
Tetapi sesungguhnya keampunan dan kemaafan di sisi Baginda adalah amat diharapkan.’

Hingga beliau berkata:
إن الرسول لنور يستضاء به **
          مهند من سيوف الله مسلول 

‘Sesungguhnya Rasul ini merupakan cahaya yang terpancar dari sinaran mata Pedang Muhannad, yang merupakan diantara pedang-pedang Allah yang terhunus.’

    Diriwayatkan oleh Abu Bakar al Anbari, bahawa ketika mana Kaab membaca qasidah hingga ke bait tersebut, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menghadiahkan selendang sedang yang dipakainya kepada beliau.(Ringkasan al Zakhair al Muhammadiah)
   
    Disini dapat diambil beberapa pengajaran dari hadith Saiduna Kaab ibn Zuhair رضي الله عنه:

1>    Memuji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah perkara yang diredhai oleh Nabi-perkara yang sunat.
2>    Memuji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah sebab untuk mendapat keampunan Allah Taala.
3>    Pemuji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم akan dikurniakan sebesar-besar nikmat dan pahala sama ada berbentuk hissi atau maknawi. 

(bersambung pada bab ke-2)

وصلى الله على سيدنا محمد النبي الأمي
وعلى آله وسلم

Rabi’ al Anwar 1431H


                









0 ulasan:

Post a Comment

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan