-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Thursday, March 18, 2010

Hukum Merayakan Maulid Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف المرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه

    Rasanya masih tidak terlalu lewat bagi saya untuk mengupas sedikit perbicaraan mengenai Perayaan Maulid yang dipetik dari pendapat para ulama’ yang thiqah.

    Moga-moga usaha kecil memberi manfaat kepada kita dalam mengembalikan Roh Muhammadi dalam diri kita, amin.

Rabi’ al Anwar 1431H
___________________



1)    Apakah Maulid?

    Maulid adalah sambutan memperingati kelahiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Justeru, pada hari itu umat Islam bergembira dan bersyukur ke atas Yang Esa atas perutusan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, dengan melakukan pelbagai ibadat dan amal soleh. Allah Taala berfirman

     Ia adalah sambutan yang dipandang baik oleh jumhur ulama. Ini bersesuaian dengan hadith mauquf  yang diriwayatkan oleh Saiduna Abdullah ibn Mas’ud رضي الله عنه :
ما رآه المسلمون حسنا فهو عند الله حسن، وما رآه المسلمون قبيحا فهو عند الله قبيح 

‘‘Apa yang dipandang baik oleh kaum Muslimin, maka ia adalah baik di sisi Allah Taala dan apa yang dipandang buruk oleh Muslimin, maka ia adalah buruk di sisi Allah Taala. ’’






     Ulama yang amat disegani oleh rakan dan lawannya, Jalaluddin) al Suyuti رضي الله عنه berkata: ‘‘Orang telah bertanya tentang amalan Maulid Nabi dalam bulan Rabi’ al Awwal; apakah hukumnya disisi  syara’? Adakah ia dipuji atau dikeji? Adakah diberi pahala kepada pelakunya atau tidak? Maka jawapannya disisiku:

    Sesungguhnya asal amalan Maulid ini ialah perkumpulan manusia, yang membaca beberapa potong ayat al Quran, dan periwayatan Sirah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم serta hal keadaan kelahiran Baginda. Kemudian majlis itu di sajikan dengan juadah makanan, lalu mereka pun pulang ke rumah masing-masing; yang semua  ini adalah tergolong daripada bidaah hasanah (yang baik), di mana diberi pahala setiap yang melakukannya kerana pada perbuatan itu membesarkan kedudukan dan kadar Nabi صلى الله عليه وآله وسلم , menzahirkan kegembiraan dan rasa syukur serta berseronok dengan kelahirannya yang mulia.

    Individu pertama yang melakukan majlis sebegini ialah pemerintah Irbil, Malik Muzaffar Abu Said Kukabri ibn Zain al Din Ali ibn Bakatkin seorang raja yang mulia dan penguasa yang pemurah. Beliau meninggalkan peninggalan-peninggalan yang baik. Beliaulah yang mengimarahkan Masjid Jami’ al Muzaffiri di kaki bukit Qasiyun…’’ [ Demikian kata Imam al Suyuti ]
(Ambilan dari al Rawaih al Zakiah   oleh Syeikh Abdullah al Harari.)

    Di dalam al Hawi lil Fatawa, Imam Suyuti menambah lagi, bahawa Malik Muzaffar ini membelanjakan 300,000 dinar setiap tahun untuk menyambut Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم.  (Ambilan dari Maulid Nabi oleh Syeikh Muhammad Fuad al Maliki.)

    Inilah pendapat yang dipersetujui dan disokong dengan kata-kata al Imam Ibnu Kathir seperti yang disebut di dalam al Bidayahnya, al Hafiz al Sakhawi dalam Fatwanya, Ibnu Khilkan dalam Wafiyat al A’yan dan lain-lain.

    Hattakan Ibnu Taimiyah sendiri, yang menjadi tokoh sandaran ‘pihak anti-Maulid’ sendiri,  tidak pernah mengharamkan sambutan Maulid Nabi malah bersetuju dengannya, katanya :

‘‘Membesarkan Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan menjadikannya sebagai suatu musim perayaan kadang-kala diadakan oleh sebahagian manusia. Mengingatkan maksudnya yang baik dan tujuannya untuk memuliakan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah layak dalam hal ini mereka memperolehi ganjaran pahala yang besar.’’

    Sesungguhnya ijma’ ulama seperti di atas adalah salah satu dari sumber perundangan Islam yang empat, yang memadai untuk dijadikan sandaran bagi setiap muslimin dan muslimat. Pandangan baik ulama terhadap amalan Maulid ini merupakan ijma’ sukuti di atas pensyariatannya.

    Maka ia adalah hujjah yang cukup kuat bagi mendokong perayaan Maulid seperti yang dapat kita lihat diamalkan  di Malaysia ini, dari ceramah agama, solat berjamaah, tilawah al Quran, jamuan makanan yang kesemuanya dipuji dan digalakkan di dalam agama. 



2)    Hakikat Maulid.

    Maulid secara makna yang lebih luas dan kaifiat yang lebih umum telah dilakukan pada zaman Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .

Guru kami al Allamah al Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki رضي الله عنه berkata :

    ‘‘Sesungguhnya orang pertama yang merayakan Maulid ialah tuan punya Maulid itu sendiri iaitu Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, berdasarkan hadith soheh yang diriwayatkan Muslim:
لما سئل عن صيام يوم الإثنين، قال ذاك يوم ولدت فيه


‘‘Ketika Rasulullah   صلى الله عليه وآله وسلم ditanya tentang halnya berpuasa pada hari Isnin, Baginda menjawab: Pada hari itu aku dilahirkan.’’

    Inilah  dalil yang paling soheh dan sandaran yang paling jelas mengenai pensyariatan perayaan Maulid Nabi yang mulia.

[Lihat Haula al Ihtifal bil Maulid al Nabawi oleh Dr. Sayyid Muhammad al Maliki.]

    Sudah terang bahawa Nabi berpuasa pada setiap hari Isnin kerana mensyukuri  hari kelahirannya sebagai rahmat seluruh alam.

Tetapi adakah ketaatan pada Maulid itu terhenti dengan sekadar berpuasa semata-mata?

Kata al Allamah Dr Abdullah  al Himyari di dalam Bulugh al Ma’mul:

    ‘‘Tujuan di sebalik melakukan ketaatan ini adalah untuk menuju kepada mengasihi Allah dan Rasul صلى الله عليه وآله وسلم. Maksud  ini boleh tercapai, tidak hanya dengan berpuasa, tetapi boleh juga dilakukan dengan cara-cara lain yang disyariatkan.

Justeru, semua wasilah (amalan ibadat yang dilakukan ketika Maulid) ini menjadi sama hukumnya dengan sesuatu tujuan, apabila tujuan tersebut sealiran dengan syara’.’’ 
   

    Sayyid Muhammad al Maliki رضي الله عنه  berkata lagi, bahawa di dalam Syariat Islam, terdapat banyak perkara-perkara ijtihadiyyah yang tsabit dan masih dipakai asalnya tetapi ditinggalkan cara kaifiatnya.

    Contoh terbaik, adalah kaedah penyampaian Al Quran. Sesungguhnya ia wujud sehingga kini. Tetapi adakah cara periwayatannya dan cara menyebarkannya sama seperti dahulu, (iaitu dengan hafazan dari mulut ke mulut?). Jawapannya : tidak.

    Tetapi yang jelas kelihatan pada era ini dimana wasilah penyampaiannya ialah dengan pembinaan Maahad Tahfiz Al Quran, pertandingan membaca Al Quran, selain penyampaian dalam bentuk alat-alat elektronik yang canggih seperti kaset dan lain-lain.

    Malah Mushaf al Quran juga diperelokkan rupanya, dengan saiz, warna dan hiasan-hiasan yang menyejukan mata yang melihat.
Adakah kesemua ini terdapat di zaman Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ?  
[Ringkasan dari  Haula al Ihtifal]



3)    Perarakan Maulid Rasul.

    Telah berlaku beberapa kekeliruan, yang cuba ditimbulkan oleh sebahagian pihak, kononnya perarakan seperti yang kita lihat dan kita adakan saban tahun ini mengganggu senstiviti kaum berbilang bangsa di sini.
   
    Sesungguhnya perkataan-perkataan sebegini adalah cubaan pihak anti-Maulid apabila kekeringan hujjah.

    Tidakkah  mereka  melihat, bahawa berapa banyak perarakan yang dilakukan samada oleh pihak kerajaan atau NGO dalam menyambut apa-apa upacara keagamaan lain. Mengapakah hal ini tidak ditimbulkan?

    Sesungguhnya masyarakat Melayu Muslim adalah masyarakat majoriti di sini, dan sebagai Negara Islam, adakah wajar kita melebihkan keperluan dan perasaan kaum yang lebih sedikit bilangannya dari kaum majoriti?

    Sepatutnya golongan pembangkang harus sedar, bahawa perarakan Maulid adalah usaha untuk menonjolkan Islam dan Nabinya kepada masyarakat.

    Memandang Malaysa adalah Negara Islam, perarakan ini tidak lain adalah peluang dakwah terbaik secara umum kepada semua;

1.    Kepada muslimin agar kembali kepada jalan yang benar-jalan Rasulullah

2.    Kepada kuffar, agar mereka diseru kearah agama Islam atau sekurang-kurangnya menolak andaian mereka yang tidak baik terhadap Rasul agama ini.

Dalil.

    Tidakkah mereka membaca al Syamail al Muhammmadiah, kitab terbaik yang menceritakan kesempurnaan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, karangan Imam Tirmizi, yang padanya terdapat hadith:
‘‘Saiduna Anas ibn Malik رضي الله عنه bercerita : ‘‘Bahawa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم memasuki kota Makkah semasa melaksanakan Umrah al Qadha’ dan Saiduna Ibnu Rawahah رضي الله عنه berjalan di hadapan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sambil mendendangkan syair:
خلّوا بني الكفار عن سبيله **
                  اليوم نضربكم على تنزيله
ضربا يزيل الهام عن مقيله **
                  ويذهل الخليل عن خليله
‘Kosongkanlah jalan ke Baitillah wahai anak-anak kaum kafir untuk Rasulullah,
Hari ini kami akan binasakan kalian, sekiranya kalian menghalang Nabi masuk ke Masjid al Haram,
Kebinasaan yang memisahkan kepala dari tengkuknya,
Dan melupakan orang kepada kekasihnya.’

    Mendengar syair itu, Saiduna Umar رضي الله عنه berkata: ‘Wahai Ibnu Rawahah! Kamu bersyair (seperti itu) di hadapan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan di tanah haram?

    Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  bersabda (menegahi): ‘‘ Biarkanlah dia, wahai Umar! Kalimah-kalimahnya lebih cepat membekas (memberi pengajaran) di dalam hati mereka daripada hujanan anak panah
.’’ (Dari Mukhtasar al Syamail.)


     Memadai disebut disini sebuah lagi  dalil ringkas, bahawa dalam sebuah majlis pengajian Syeikh al Islam Taqiyyuddn al Subki رضي الله عنه, seseorang membacakan qasidah (salawat dan puji-pujian ke atas Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم) karangan al Imam Yahya al Sorsori al Hanbali رضي الله عنه hingga katanya:
وأن ينهضَ الأشرافُ عند سماعه **
قياما صفوفا أو جثيا على الرُّكَبْ

‘‘Dan bangun orang-orang yang mulia ketika mendengar Maulid, dalam keadaan bersaf-saf atau berdiri di atas dua lutut mereka.’’

     Maka Imam al Subki رضي الله عنه bingkas bangun mengikut apa yang disebut di dalam Qasidah Sorsori itu. Lalu semua yang di dalam majlis juga turut berdiri. Dari perbuatan  mereka tersebut terpancar kebesaran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di dalam hati-hati mereka [ringkasan dari Maulid Nabi]. 


     Sesungguhnya kalam yang ringan dan ringkas itu, cukup bagi orang yang benar-benar berakal. Moga Allah Taala memberi hidayah kepada kita dan mereka. Amin .

وصلى الله على خير خلقه سيدنا محمد وعلى آله وسلم

Rabi’ al Anwar 1431H

Rujukan
-    Haula al  Ihtifal bil Maulid al Nabawi al Syarif, oleh al Muhaddith Dr al Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki.
-    Maulid Nabi Dalam Neraca Nabawi, oleh Syeikh Muhammad Fuad ibn Kamaluddin al Maliki.
-    Al Rawaih al Zakiah fi Maulid Khair al Bariyyah, Oleh Syeikh Abdullah al Harari.
-    Aqidah Muslimin, Aqidah Yang Diperakui Fakulti Usuluddin Universiti al Azhar. 


 

0 ulasan:

Post a Comment

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan