-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Tuesday, March 2, 2010

FASAL 4: MENTAATI RASULULLAH

بسم الله الرحمن الرحيم
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وسلم


FASAL 4 : 
 KEWAJIPAN MENTAATI RASULULLAH صلى الله عليه وآله وسلم DAN MEYAKINI BAHAWA BAGINDA  ADALAH NABI  DAN RASUL TERAKHIR صلى الله عليه وآله وسلم

Pendahuluan.

     Akhir-akhir ini kita sering dikejutkan oleh gelombang tsunami ajaran akidah yang sesat yang dibawa oleh mereka yang tak bertanggungjawab, yang mengakui menjadi Nabi atau Rasul. Bencana yang maha dahsyat ini tidak lepas dari mengenai Negara kita Malaysia yang tercinta, seperti pengakuan Kahar yang mengaku menjadi Nabi dan golongan anti hadith Kassim Ahmad yang mula menular dewasa ini. Oleh itu dikesempatan yang terhad ini, saya cuba  untuk memetik buah-buahan yang ranum dari kata-kata  ulama Sunni kita mengenai kewajipan meyakini bahawa Nabi kita Sayyidina Muhammad adalah Rasul terakhir dan kedudukan hadith Nabi di dalam Syariat Islam. Wabillahi al taufiq
…………


a)Taat Rasulullah, Sunnah sebagai sumber perundangan Islam ke-2

Berkata Sayyid Ahmad al Marzuqi رضي الله عنه di dalam Manzumah Aqidah al Awwam:
وكل ما أتى به الرسول × فحقه التسليم والقبول


Ertinya:  segala yang dibawa oleh Rasulullah   صلى الله عليه وآله وسلم, maka wajiblah atas tiap mukallaf tunduk dan patuh menerimanya

  • Syarah:

Antara kewajipan bagi setiap mukallaf setelah sampai kepadanya apa yang dibawa  oleh Rasulullah , hendaklah dia beramal dengannya, tunduk, patuh dan menerimanya kerana ia merupakan sumber perundangan agama yang kedua selepas Kalam Allah (Al Quran.)

  • Dalil Dari al Quran

FirmanNya:


‘‘Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang  dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.’’ (al Hasr: 7.)




FirmanNya lagi :



 ‘‘Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah.’’  (Muhammad : 33)


Firman Allah Taala :



‘‘Maka demi TuhanMu (wahai Muhammad) Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu  keberatan dari apa yang engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu sepenuhnya.’’  (al Nisa’ : 65 )


  • Dalil Dari Hadith  صلى الله عليه وآله وسلم

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم :
تركت فيكم شيئين لن تضلوا بعدها : كتاب الله وسنتي

''Aku tinggalkan pada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selepasnya: Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku'' (Hadith).(1)


Daripada al Miqdad ibn Ma’di Karib رضي الله عنه berkata:
حرم رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم أشياء يوم خيبر من الحمار الأهلي وغيره، ثم قال صلى الله عليه وآله وسلم : يوشك أن يقعد الرجل منكم على أريكته يحدث بحديثي فيقول : بيني وبينكم كتاب الله فما وجدنا فيه حلالا استحللناه، وما وجدنا فيه حراما حرمناه، وإن ما حرّم رسول الله مثل ما حرم الله
.

‘‘Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengharamkan beberaa perkara pada peperangan Khaibar dari keldai yang jinak dan lain-lainnya.’’ Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: hampir-hampir berlaku seorang lelaki dari kalangan kalian duduk di atas kerusinya ketika dibacarakan hadisku. Maka dia berkata: ‘ diantara aku dan kamu terdapat Kitab Allah. Apa yang kami dapati halal  di dalamnya, maka kami menghalalkannya dan apa yang kami dapati adalah haram di dalamnya maka kami mengharamkannya.’ Sesungguhnya apa yang diharamkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sama seperti yang diharamkan Allah Taala.''

    Diriwayatkan oleh Abu Daud, al Hakim dan al Baihaqi dengan isnad yang sohih.


  • Dalil Dari Pendapat Ulama’

Berkata Imam Malik رضي الله عنه  :
ما منا إلا رادّ ومردود عليه إلا صاحب هذا القبر-يعني رسول الله  صلى الله عليه وآله وسلم

‘‘Tidaklah yang datang daripada kami melainkan ada kecacatannya dan boleh ditolak, kecuali apa yang datang dari tuan punya maqam ini – iaitu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .   

Imam Syafie رضي الله عنه  berkata :
من استبانت له سُنة رسوله لم  يكن له أن يدعَه لقول أحد

‘‘Sesiapa yang telah jelas baginya Sunnah Rasulnya صلى الله عليه وآله وسلم maka tidak boleh lagi dia meninggalkannya kerana perkataan seseorang.’’ (2)




b) Nabi Muhammad Adalah Penutup Segala Rasul.

     Nabi Kita Junjungan Besar Sayyidina Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم  adalah penutup semua Nabi dan Rasul. Oleh itu tidak akan datang lagi walau seorang Rasul mahupun Nabi, selepas kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Berikut adalah dalil untuk dijadikan sandaran.

Daripada Jabir daripada Nabi  صلى الله عليه وآله وسلم berkata:
مثلي ومثل الأنبياء كمثل رجل بنى دارا فأتمها وأكملها إلا موضع لبنة فجعل الناس يدخلونها ويتعجبون منها ويقولون: لو لا موضع اللبنة! قال رسول الله : فأنا موضع اللبنة، جئت فختمت الأنبياء
 

‘‘Perumpamaan saya dengan para Nabi yang lain seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah lalu dia menyempurnakan dan melengkapkan rumah tersebut kecuali meninggalkan satu lubang bata. Kemudian rumah itu dimasuki oleh orang ramai dan mereka merasa hairan melihat lubang yang kosong itu. Lalu mereka bertanya: ‘kenapa tidak disudahkan kubang itu!’ Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم : ‘‘akulah lubang bata yang kosong itu, aku datang untuk mengisinya maka akulah penutup para Nabi.’’


    Diriwayatkan oleh al Tirmizi dari hadith Ubai bin Kaab. Beliau menambah pada akhirnya, daripada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda :

 ‘‘Apabila telah berlaku Hari Kiamat, aku adalah ketua para Nabi, juru cakap mereka dan empunya syafaat tanpa aku berbangga dengannya.’’   


Dari Jabir ibn Mut’im, aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda :
إن لي أسماءً : أنا محمد، وأنا أحمد وأنا الماحي، الذي يمحو الله بيَ الكفر، وأنا الحاشر، الذي يحشر الناس على قدمي، وأنا العاقب-والعاقب الذي ليس بعده نبي    

‘‘Aku mempunyai beberapa nama: aku Muhammad, aku Ahmad, aku al Mahi yang denganku Allah menghapuskan kekufuran, aku juga al Hasyir di mana manusia dihimpunkan dibawah risalahku dan aku juga al Aqib (Rasul Penyudah) yang tiada seorang Nabi pun selepasku.
'' [Riwayat Bukhari dan Muslim.]




(1)    Syarahan Manzumah Aqidah al Awwam oleh Dr Umar Abdullah Kamil hlm 29-31.
(2)    40 Hadith Keistimewaan Rasulullah karangan al Muhaddith al Allamah al Sayyid Abu Fadhl Abdullah bin Siddiq al Ghumari hlm 27-28.






...................

0 ulasan:

Post a Comment

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan