-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Tuesday, March 2, 2010

RINGKASAN SIRAH SAYYIDINA MUHAMMAD RASULULLAH (BIL.1) صلى الله عليه وآله وسلم

بسم الله الرحمن الرحيم
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وسلم

FASAL 3 :
SIRAH RASULULLAH صلى الله عليه وآله وسلم (BIL.1)




Pendahuluan. 

     Pada fasal ini saya cuba berkongsi Sejarah Hidup Nabi mengikut kronologi waktu dan masa. Saya memetiknya dari kitab al Fadhail al Muhammadiah karangan alim yang masyhur al Allamah Syeikh Yusuf al Nabhani. Saya beristikharah untuk  menggunakan bahasa termudah bagi menterjemahkannya selain saya tinggalkan bab dan cerita yang terlalu dalam perinciannya. Saya memohon keampunan kepada pengarang jika ada kata-kata yang tidak menepati maksud sebenar. Moga Allah memanfatkan kita denganya seperti asalnya… Penulis.   
- al Allamah Syeikh Yusuf bin Ismail al Nabhani -
…………

Nasab

Bagindalah Rasul kita:
Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم
Ibn Abdullah ibn Abdul Muttalib ibn Hashim ibn Abdu Manaf ibn Qusai ibn Kilab ibn Murrah ibn Kaab ibn Luai ibn Ghalib ibn Fihr ibn Malik ibn al Nadhr ibn Kinanah ibn Khuzaimah ibn Mudrikah ibn Ilyas ibn Mudhar ibn Nizar ibn Maad ibn Adnan.  
     Inilah kumlan nasab Rasulullah yang telah disepakati para ulama’. Imam Malik رضي الله عنه telah menghukumkan makruh memanjangkan nasab ini ke Nabi Adam عليه السلام kerana kebenarannya tidak kuat.




Kelahiran

    Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dilahirkan pada bulan Rabi’ al Awwal, hari Isnin, pada tahun Gajah. Sesungguhnya bondanya Sayyidah Aminah رضي الله عنها ketika melahirkannya, beliau melihat cahaya yang menerangi istana-istana Busra. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم selamat dilahirkan dalam keadaan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengangkatkan penglihatannya ke langit. Ayahandanya, Saidina Abdullah رضي الله عنه wafat ketika Junjungan صلى الله عليه وآله وسلم berusia 2 atau 3 tahun, dikatakan juga ketika sedang dalam perut ibunya رضي الله عنها .


Penyusuan dan Pembelahan Dada.

     Baginda صلى الله عليه وآله وسلم disusui oleh Thuwaibah رضي الله عنها khadam Abu Lahab. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم disusui pula oleh Halimah al Sa’diah رضي الله عنها, maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم tinggal bersama Halimah di kawasan Bani Saad selama 4 tahun. Dalam waktu itu, Jibril telah mendatangi Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan membelah dada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia. Oleh kerana ketakutan, Halimah memulangan semula Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ke pangkuan bondanya.


Kewafatan Bonda dan Penjagaan Nenda

     Pada suatu hari ibundanya keluar membawa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم ke Madinah untuk menziarahi ibu-bapa saudara (sebelah ayah) Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, tetapi dalam perjalanan pulang beliau sakit lalu wafat dan dikebumikan di al Abwa’ (sebuah tempat antara Makkah dan Madinah).
     Ketika Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berumur 6 tahun Ummu Aiman رضي الله عنها membawa Baginda kepada nenda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم iaitu Abdul Muttalib رضي الله عنه yang berada di Makkah. Lalu beliau menyara kehidupan Nabi  صلى الله عليه وآله وسلم sehingga sempurna umur Baginda صلى الله عليه وآله وسلم 8 tahun, lalu nendanya wafat.


Penjagaan Sayyidina Abu Talib رضي الله عنه

     Sebelum wafat, beliau telah mewasiatkan hak penjagaan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم  kepada bapa saudara Baginda صلى الله عليه وآله وسلم: Saidina Abu Talib رضي الله عنه. Beliau amat gembira dan berbangga kerana mendapat kemuliaan menjaga dan mentarbiah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Ketika Itu Allah Taala memerintahkan (malaikat) Israfil untuk mengiringi dan bersama Baginda  صلى الله عليه وآله وسلم, dan beliaulah qarin Baginda صلى الله عليه وآله وسلم hinggalah genap usia Baginda صلى الله عليه وآله وسلم 11 tahun. 
     Kemudian Dia memerintahkan Jibril untuk mengiringi, bersama dan menjaga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, tetapi tidak menzahirkan dirinya dihadapan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan tidak berkata-kata dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.


Musafir ke al Syam Kali Pertama

     Kemudian Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bermusafir bersama bapa saudaranya ke al Syam hingga sampai ke Busra. Kedatangan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم telah dilihat oleh seorang rahib, beliau telah mendapati tanda-tanda Kenabian pada diri Baginda  صلى الله عليه وآله وسلم. Lalu beliau berkata kepada bapa saudara Nabi صلى الله عليه وآله وسلم: pulanglah, agar dia (Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم) tidak dibunuh oleh orang-orang yahudi. Ketika itu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berusia 12 tahun.     


Musafir Ke al Syam Kali Kedua dan Perkahwinan dengan Sayyidah Khadijah

     Kemudian, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bermusafir ke al Syam bersama Maisarah (seorang khadam lelaki Khadijah) untuk menguruskan perniagaan Sayyidah Khadijah رضي الله عنها. Ketika Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menguruskan hal jual beli, Maisarah melihat beberapa keajaiban dan kelebihan-kelebihan yang hanya dilihat berlaku dan terdapat kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم secara khusus, tiada pada orang lain. 
     Lalu beliau memberitahu Sayyidah Khadijah hal ini, lantas meminang  Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  pun mengahwini beliau, yang ketika itu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  berusia 25 tahun, dan Sayyidah Khadijah berusia 40 tahun. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم masyhur dengan panggilan al Amin iaitu yang benar-benar amanah.


Perletakan Hajar al Aswad

    Ketika Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  berusia genap 35 tahun, kaum Quraisy membina (semula) al Bait (Kaabah), lalu berlakulah pertelingkahan untuk menentukan siapa yang layak meletakkan al Hajar (al Aswad) pada tempatnya. Kemudian mereka bersetuju untuk menjadikan Nabi sebagai orang yang  bertanggungjawab meletakkan al Hajar. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  pun meletakkannya dengan tangannya yang mulia. Bermula hari itu, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mula mendengar suara kadang kala tanpa melihat seseorang pun yang menuturkannya, kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  mula dapat melihat cahaya.   


Tanda-Tanda Kenabian

    Apabila hampir-hampir waktu turunnya wahyu, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم gemar bersunyi-sunyian dan berseorangan, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berkhalwat (bersunyi-sunyian) di Jabal (Bukit) Hira’ dengan berzikir. Sejak itu, tidaklah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم lalu pada batu-batu dan pepohon kayu melainkan kesemuanya berkata-kata dengan lisan yang fasih: ‘assalamualaika ya Rasulallah, (salam sejahtera keatasmu wahai Utusan Allah..)’ ; lalu Baginda  صلى الله عليه وآله وسلم mula melihat kekiri dan kekanan tetapi Baginda صلى الله عليه وآله وسلم tidak melihat seorang pun.


Penurunan Wahyu

     Ketika perkara sedemikian berlaku Nabi صلى الله عليه وآله وسلم telah melepasi umur 40 tahun, seorang lelaki  telah muncul dihadapan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم seraya berkata: bergembiralah wahai Muhammad, akulah Jibril dan engkau adalah Rasulullah (utusan Allah) bagi umat ini. Kemudian beliau mengeluarkan sekeping kain sutera yang bertatahkan permata, lalu diletakkan pada tangan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  seraya berkata: ‘‘bacalah.’’ Baginda menjawab: ‘‘saya tidak tahu membaca.’’ Lalu Jibril memeluk dan menekan Baginda dengan bersungguh-sungguh. Lalu Jibril berkata lagi ‘‘bacalah!’’ Jawab Baginda  صلى الله عليه وآله وسلم : ‘‘saya tidak tahu membaca.’’ Maka Jibril memeluk Baginda sedemikian rupa sebanyak 3 kali lalu berkata: 


Ertinya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan

Hinggalah ayat:


    Ertinya: Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.


     Lalu beliau mengarahkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم untuk turun dari bukit. Lalu Jibril turun bersama-sama Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ke tanah, lalu mendudukkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم di atas durnuk putih (iaitu hamparan tempat duduk yang berbulu pendek ) yang dialas dengan dua helai kain yang berwarna hijau. 
    Lalu Jibril memukul bumi dengan kedua kakinya, maka terpancarlah mata air. Jibril mengangkat wudhu’ dan mengarahkan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم melakukan seperti perbuatannya. Kemudian mengambil air sekadar tapak tangan dan merenjisnya ke muka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia. Jibril lalu mengerjakan solat 2 rakaat kemudian beliau berkata: beginilah (cara mendirikan) solat. Lalu Jibril pun menghilangkan diri.


Sayyidah Khadijah رضي الله عنها Isteri Solehah

    Selepas itu, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pulang ke Makkah dan menceritakan hal yang terjadi ke atasnya kepada Khadijah. Baginda  صلى الله عليه وآله وسلم berkata: ‘‘saya rasa takut!’’ lalu Khadijahlah insan yang bertanggung jawab menenangkan dan membenarkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Beliaulah orang yang pertama beriman  (dengan Allah dan Rasul). 
     Kemudian Sayyidah Khadijah membawa Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berjumpa Waraqah ibn Naufal lalu menceritakan kepadanya apa yang dilihat. Lalu Waraqah membenarkan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, beliaulah lelaki pertama yang beriman. Lantas beliau berkata: ‘‘inilah ialah al Namus (Jibril) yang diturunkan oleh Allah Taala kepada Nabi Musa. Moga-moga aku masih hidup ketika kaum engkau mengeluarkan engkau dari Makkah (agar dapat memberi pertolongan).’’ Maka sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: adakah mereka akan mengeluarkan aku? Jawab Warqah: ‘‘tidak pernah diberi kepada mana-mana lelaki seperti mana yang diberi kepadamu kecuali dimusuhi.’’


Sinar Islam Mula Memancar 

    Tidak lama selepas itu Sayyidina Ali dan Sayyidina Abu Bakar رضي الله عنهما memeluk Islam. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menetap di Makkah selama 13 tahun lamanya untuk menyeru manusia kepada Agama Islam. Asalnya Baginda صلى الله عليه وآله وسلم (dan muslimin) solat berkiblatkan Baitul Maqdis, lalu selepas Hijrah kiblat tlah ditukar ke al Kaabah.

    Umat Islam semakin bertambah, lalu mereka menjadikan rumah al Arqam sebagai tempat untuk mengembangkan Islam (secara sulit) selama 3 tahun. Lalu Allah memerintahkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم   untuk menzahirkan Islam, lalu Baginda memulakan dakwah secara terang-terangan. Lalu Allah menurunkan ayat-ayat al Quran maka mereka cuba melawan , tetapi mereka tidak mampu untuk mendatangkan ayat secanggih dan seindah Al Quran. Mereka tidak berdaya untuk melawan. Sebahagian orang-orang musyrik membenarkan bahawa Al Quran bukanlah dusta dan ia bukan kata-kata manusia, tetapi malangnya mereka mempermain-mainkan ayat suci tersebut. Tetapi Allah memelihara RasulNya صلى الله عليه وآله وسلم dari kejahatan musyrikin tersebut.
(bersambung ke bilangan ke-2)
  
    


0 ulasan:

Post a Comment

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan