-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Tuesday, November 3, 2009

Para Ulama Sinar Kebahagiaan Kehidupan.

Aku membuka lembaran november ini dengan memujiMu ya Allah, mengagungkan NabiMu serta memuliakan kekasihMu… para ulama’ merekalah pelita-pelita di dunia yang gelap, kelam dengan kesesatan. Kata Hasan al Basri رضي الله عنه :

(para ulama... kelihatan dari kanan : Habib Ali al Jufri, Habib Omar al Yamani, Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki, Dr Muhammad Said Ramadhan al Buthi.)

لولا العلماء لصار الناس مثل البهائم

‘Sekiranya tiada ulama’ sudah pasti jadilah manusia seperti binatang-binatang.’



Merekalah syiar hebat dari syiar-syiar agama yang hanif ini, dan tidaklah yang memuliakan mereka melainkan orang yang bertaqwa. FirmanNya;

ومن يعظم شعائر الله فٳنه من تقوى القلوب

‘Dan sesiapa yang mengagungkan syiar Allah (maka dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat hati mukmin . ’ al Haj;32

Justeru alangkah eloknya jika aku dapat berkongsi kisah seorang lelaki yang amat aku kagumi hemahnya, akhlaknya, ilmunya, hubungannya dengan Tuhannya, kasihnya pada Rasul, sayangnya pada penuntut ilmu dan orang yang memerlukan, guru kami Sayyid Muuhammad bin Alawi al Maliki رضي الله عنه.

Mengakui siapalah daku untuk menceritakan keperibadiannya, tetapi rasanya tidaklah salah untukku menaqalkan kisah yang ditulis sendiri oleh ayahanda Sayyid Muhammad mengenai biografinya di dalam salah satu buku sanadnya . Moga terhasillah kefahaman dapatlah berkat dan pembukaan.

……………………………
kata al Marhum Dr al Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki رضي الله عنه :



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Segala puji bagi Allah Taala Tuhan sekalian alam. Salawat dan salam keatas semulia-mulia utusan, penghulu kami Muhammad dan ke atas keluarga serta sahabat-sahabatnya sekelian.

Saya Muhammad al Hasan bin Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz رضي الله عنهم, al Maliki pada mazhab, al Hasani al Idrisi pada nasab, telah dilahirkan di Mekah al Mukarramah. Saya telah mempelajari ilmu dalam halaqah-halaqah ilmu di Masjid al Haram, di Madrasah al Falah dan Madrasah Tahfiz al Quran al Karim. Saya juga telah bermusafir ke Morocco, Mesir, India dan Pakistan untuk menimba ilmu. Di dalam musafir tersebut saya telah mengutip banyak faedah; mengumpul beberapa manuskrip, mengadakan pertemuan dengan ulama’, mengenali kesan-kesan peninggalan ulama, menziarahi tempat-tempat bersejarah di dalam Islam dan menulis faedah-faedah. Segala puji bagi Allah atas kurniaanNya ini.

Saya mula mengajar dengan kurniaan Allah, ketika saya masih belum baligh dengan perintah ayahanda saya al Marhum al Sayyid Alawi al Maliki رضي الله عنه. Ayahanda telah menyuruh saya mengajar semua kitab yang telah tamat saya pelajari daripadanya pada waktu itu. Ayahanda telah menyuruh pelajar-pelajarnya supaya menghadiri majlis-majlis pengajian yang diajar oleh saya.

Saya mula mengajar secara rasmi di Kuliah Syariah pada 1390 Hijrah. Selepas 3 hari kewafatan ayahanda, ulama’ Mekah telah berhimpun di rumah kami dan mereka telah mempertanggungjawabkan saya untuk mengajar sebagai menggantikan tempat Ayahanda di Masjid al Haram.

Kemudian saya memohon berhenti dari memegang jawatan pensyarah di universiti bagi mengosongkan masa untuk mengarang buku dan mengajak manusia kepada Allah untuk mencari keredhaanNya semata-mata, di Mekah al Mukarramah dan di luar Mekah. Selepas itu, saya sentiasa melakukan kerja-kerja tersebut dengan kurniaan Allah dan pertolonganNya. Saya memohon kepada Allah agar sentiasa mencurahkan taufiq dan pertolonganNya. Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam.

Saya juga telah menyertai beberapa Muktamar Islam Antarabangsa dan mengemukakan beberapa perbahasan dan kajian yang kebanyakannya dicetak dengan kurniaan Allah. Saya juga telah bermusafir untuk mengadakan beberapa kunjungan peribadi dan rasmi. Dalam kunjungan tersebut, saya telah menziarahi beberapa negara Islam dan mengadakan beberapa kali sesi pengajian dan pengajaran. Saya memohon kepada Allah agar Dia menjadikan segala usaha tersebut ikhlas demi mendapat keredhaanNya, amin.

Saya juga telah menceburi bidang penulisan tentang beberapa permasalahan. Diantaranya ialah Dirasat Haula al Muwatto’ yang menyentuh tentang Muwatto’ dan keprihatinan umat Islam terhadapnya, pengajian perbandingan tentang riwayat-riwayat al Muwatto’, kesamaran di sekitar Muwatto’ dan penolakannya, Imam Dar al Hijrah Malik bin Anas رضي الله عنه .

Saya juga telah menulis dan mengeluarkan beberapa buah buku tentang ilmu Mustolah Hadis, nama-nama Rijal (perawi hadis), tasawwuf dan Ilmu al Asanid dan al Athbat.

Saya juga telah mentahqiq dan menta’liq hadith marfu’ yang diriwayatkan oleh ibnu al Qasim رضي الله عنه di dalam kitab al Muwatto’ dan menulis tentang kesan-kesan Sejarah Islam di Mekah al Mukarramah dan kawasan sekitarnya yang bertajuk Fi Rihab al Bait al Haram.

Saya telah mengarang kitab tentang kesempurnaan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang bertajuk al Insan al Kamil dan menta’liq kitab maulid (sirah) Nabi karangan al Hafiz ibn al Daiba’ رضي الله عنه dan kitab maulid karangan al Hafiz al Mulla al Qari رضي الله عنه dan saya menyebarkannya pertama kali, dan kitab-kitab karangan yang lain hingga melebihi 50 buah yang diantaranya dikeluarkan dan sebahagiannya belum dikeluarkan. Saya memohon kepada Allah agar memanfaatkan kitab tersebut kepada umat Islam dan menjadikannya ikhlas demi menuntut keredhaanNya, amin.


(Sayyid Muhammad (kiri) memegang tangan Habib Ali al Jufri. Di sebelah kanan sekali Sayyid Ahmad (memakai egal) anak Sayyid Muhammad, khalifah (pengganti) ayahandanya sekarang.)


Ditulis oleh : Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani رضي الله عنه



(Syeikh Muhammad Fuad al Maliki penyambung perjalanan dakwah Sayyid Muhammad dan wakilnya di Malaysia )

Rujukan ; Risalah Khas Sempena Memperingati 150 Kewafatan Ayahanda Professor Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki,

Oleh : Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki.

0 ulasan:

Post a Comment

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan