-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Saturday, December 26, 2009

Kenali ulama’mu: al Muhaddith al Musnid al Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki al Rembawi رضي الله عنه


بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صلي وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله

Himmah Menuntut Ilmu
Kenali ulama’mu:
al Muhaddith al Musnid  al Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin 
al Maliki al Rembawi
رضي الله عنه




    Pada 16 September 1974, kampung Chenong dihiasai cahaya bergemerlapan dengan kelahirannya. Hingga ke pekan Rembau bau-bauan wangian berita kelahirannya telah tersebar keseluruh anggota keluarga sanak saudara serta masyarakat setempat.  Tiada khabar lebih bermakna dari kelahiran satu-satunya anak lelaki dari 5 orang adik-beradik bagi ayahanda bonda Haji Kamaluddin Mahat dan Hajah Zainab Mahmud, yang diharap akan menjadi tonggak keluarga suatu hari nanti.

    Anak kecil ini makin membesar, dan  harapan keluarga tak dipersia begitu sahaja. Seawal usia 8 tahun, beliau sudah mula berjinak—jinak dengan majlis-majlis zikir dan sering menghadiri majlis tersebut yang dipimpin oleh Tuan Haji Rasyid bin Syeikh Haji Muhammad Sa’id di kampungnya. Dengan bimbingannya, beliau telah mengambil ijazah daripada gurunya itu hingga pentarbiahan tasawwuf telah sebati dalam darah dagingnya.

    Semasa berusia semuda ini juga, beliau telah meminta bapanya menghantar beliau belajar di pondok-pondok engajian agama pada musim cuti sekolah. Oleh itu, pada musim cuti sekolah, beliau telah dihantar oleh bapanya ke pondok al Nuriyyah Sungai Udang, Melaka, untuk belajar agama dan Bahasa Arab. Sekalipun ketika itu usia beliau masih terlalu muda, beliau telah menunjukkan contoh yang baik sama ada dari aspek kelimuan mahupun akhlak kepada murid-murid lain yang kebanyakannya lebih tua daripadanya.

    Aktiviti persekolahan tidak menjejaskan aktiviti keilmuan dan kerohaniannya, malah menjadikan sekolah sebagai tempat untuk mengasah bakat berpidato hingga berjaya meraih Naib Johan Pidato Islam ketika di peringkat menengah. Dua tahun terkemudian pula dihabiskan untuk menuntut di Maahad Ahmadi, satu-satunya sekolah Negeri Sembilan yang menyediakan pengajian Thanawi, yang akan melayakkannya ke Universiti al Al Azhar, Mesir.   

    Merasai ilmu di dada masih belum memadai, lalu beliau berpindah ke Madrasah al Nahdah al Hasanah, Kedah untuk lebih mendalami pengajian Agama dan Bahasa Arab dengan guru-guru pondok di sana. Syeikhnya al Marhum Dato’ Mursyid Diraja al ‘Allamah Syeikh Hj. Tajuddin yang merupakan bekas Pengerusi Ahli Majlis Fatwa Malaysia, amat berbangga dengan pemuda ini, hinggakan surat yang dikirimkannya dari al Azhar dibacakan di khalayak ramai untuk menjadikan beliau roll model bagi pelajar yang lain.

    Keberangkatannya ke al Azhar dilakukan sebaik sahaja menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STA), iaitu ketika berumur 19 tahun. Adat ulama’ salaf meninggalkan tanah air untuk menuntut ilmu adalah lumrah daie dalam menyempurnakan misi hidupnya. Kata Ibnu al Wardi:

حبّك الأوطان عجز ظاهر ۞ فاغترب تَلْقَ عن الأهل بدل

Keinginanmu tinggal di kampung merupakan suatu kelemahan yang ketara. Oleh itu pergilah merantau mencari ilmu pasti kau temukan ganti dari keluarga yang ditinggalkan.

    Ini mengingatkan kita pada kepada perjuangan salafus soleh yang sanggup berkorban, menghadapi kesusahan dan meninggalkan keluarga, harta dan tanah air. Antaranya Saidina Jabir bin Abdullah yang bermusafir selama sebulan untuk menemui Abdullah bin Unais semata-mata untuk meriwayatkan satu hadih daripadanya.
  
    Semangatnya semakin berkobar-kobar selari usia mudanya. Walaupun begitu beliau, tidak seperti anak muda lain, tidak sedikitpun waktunya dibazirkan pada perkara-perkara yang melalaikan dan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan menuntut ilmu seperti berniaga, hiburan yang melampau dan sebagainya.  

    Beliau sibuk bertungkus-lumus memenuhi hidupnya dengan ilmu dan amalan rohani. Lantaran cemburukan ketinggian ilmu ulama’ lampau yang terkenal dengan kepakaran dan keilmuannya yang tinggi, beliau berhasrat untuk  menjejaki cara-cara mereka dalam pembelajaran iaitu antaranya dengan bertalaqqi. Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana, itulah rutin pengajian beliau bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari.

    Katanya : "Saya akan pergi berguru secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid," kata pemuda yang yang amat memuliakan kesemua gurunya."

     Walaupun tidak melazimi pengkuliahan al Azhar, tetapi kerana kepercayaan orangg ramai terhadap ilmunya, beliau telah diminta untuk membuka tusyen bagi  para pelajar walaupun berlainan kursus darinya.

    Sebagaimana beliau amat mencintai dan menyayangi guru-gurunya, seperti itu juga para Syeikhnya juga mengasihinya. Kata beliau lagi: "Kadang-kadang jika saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih, yang mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ."

    Begitulah keakraban yang amat jelas dipaparkan, hasil kasih sayang antara dua insan murid dan guru yang menatijahkan keberkatan dan kefahaman yang sohih tentang ilmu.
 
Antara guru-gurunya    رضي الله عنهم  di Mesir ialah:
Syeikh Abdul Ghani al Jaafari, Syeikh Toriqat Ahmadiah Jaafariah
 

-    Syeikh Abdullah al Syura. Kitab yang dipelajari Tuhfatul Murid a’la Jauharah al Tauhid, Syarh Ibn Aqil dan Kifayatul Mukhtar.
-    Syeikh Mahmud al Adawi, Imam Besar Masjid Syeikhah Sobah di Tonto. Kitab yang dipelajari Iqaz al Himam fo Syarh Hikam, Qalyubi wa al Humairah Hawi lil Fatawa dll.
-    Syeikh Dr Ali Juma’ah, Mufti Mesir. Kitab yang dipelajari Sohih Muslim dan Jam’u al Jawami’  
-    Syeikh Abdul Ghani bin Soleh al Ja’fari. Beliau telah mengijazahkan pemuda ini Tariqat al Ja'fariah al Ahmadiah al Muhammadiah dan sanad ayahandanya Imam Besar Masjid al Azhar Syeikh Soleh bin Muhammad al Ja’fari.

    Seperti mana yang kita sedia maklum al Azhar adalah lubuk para ilmu dan pengetahuan, destinasi terakhir orang yang dahagakan makrifat, dimana lahir daripada barisan ulama; selaku kader-kader untuk membenteng agama Allah ini dari serangan musuh. Walau bagaimanpun sifat ingin tahunya meronta-ronta memujuk untuk terbang ke tanah Hijaz untuk menuntut ilmu terus dari guru utamanya serta murabbinya kini dan selama-lamanya al Mufassir al Muhaddith al Allamah al Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki.


Biarlah pasangan kekasih ini menceritakan detik-detik indah, dua pandangan mata bertemu, lalu terputiklah cinta…

(di Madrasah al Taufiqiah al Husainiah, Kg Chenong, 
Chengkau, Rembau N. Sembilan. 2003M)

    "Pertemuan pertama saya dengan beliau ialah ketika saya berada di bawah pentarbiahan Syeikh Abdul Ghani Soleh al Ja’fari. Ketika itu saya menghadiri majlis hadarah (bacaan qasidah dan nasyid memuji Allah dan Rasul) yang diadakan di Dirasat Kaherah, Mesir. Ketika bacaan madih (nasyid memuji Allah dan Rasul) dialunkan, semua orang bingkas bangun. Bacaan madih diberhentikan dan ditukar dengan bacaan madih ‘‘Ahlan wa Sahlan binnabiyy,’’  seolah-olah ada orang besar dan hebat hadir dalam majlis tersebut.

    Tiba-tiba saya melihat seorang yang begitu hebat dan bercahaya wajahnya, masuk ke dalam majlis tersebut. Beliau disambut dengan penuh penghormatan oleh semua hadirin. Kemudian Syeikh Abdul Ghani memperkenalkan bahawa beliau ialah Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki رضي الله عنه , seorang ulama’ dan imam besar dari Hijaz.

    Semenjak hari bersejarah dan besar maknanya itu, perasaan kasih kepadanya mula tertanam di dalam hati ini dan dari hari ke hari hati saya meruntun untuk bertemu dengannya lagi. Malah setiap kali saya pergi mengerjakan umrah, saya tidak sesekali melepaskan peluang menziarahi beliau di rumahnya di Rusaifah, Mekah."


    Setiap kali ke Mekah al Mukarramah majlis Sayyid Muhammad adalah tujuan yang utama selepas menunaikan umrah. Bagi pemuda ini, adalah menjadi suatu kenikmatan apabila dapat bersama para ulama, apatah lagi apabila mereka menuturkan mutiara hadith-hadith Nabawi serta menyulaminya dengan syarahan dengan gubahan makna yang indah dan mendalam.

    Diantara kitab yang dipelajari dari Muhaddith Tanah Haram ini ialah Sohih Bukhari, Sunan Abu Daud, Tafsir Ibnu Kathir, Zad al Maad, Fath al Mughith dan al Nasoih al Diniyah.

    Merasai dirinya terlalu kerdil apabila bersama dengan salah satu kebesaran Allah ini- ulama’ rabbani, dihati kecil beliau berdoa dengan yakin agar dapat dikumpulkan dengan Sayyid Muhammad lebih rapat lagi.

Sabda Rasulullah: صلى الله عليه وآله وسلم 
تهادوا وتحابوا

Ertinya: sentiasalah kamu bertukar-tukar hadiah, maka kamu akan saling kasih mengasihi.

    Atas dasar inilah akhirnya pada tarikh 15 Syawal 1423 Hijrah, dengan taufiq dan nikmat Allah, al Muhaddith Sayyid Muhammad  telah menjejakkan kakinya yang mulia di Madrasah al Taufiqiah al Husainiah, Rembau, Negeri Sembilan.

    Buat kali pertamanya, beliau tidak segan silu duduk bersama-sama kami orang kebanyakan a'jam, melupakan darjat dan ketinggiannya sebagai seorang alim  dari Mekah yang berketurunan Saidina Hasan, duduk memberikan seribu satu ilmu dan hikmah.

    Dalam majlis yang amat meriah dan barakah itu, dengan penuh kasih sayang beliau telah berkenan  menyambungkan sanad keilmuannya yang berantaian dengan penghulu-penghulu ahli ilmu, dengan  mengijazahkan semua hadirin ijazah beliau serta Hadith Musalsal  bi al Awwaliyat, Hadith Musalsal bil Mahabbah dan talqin zikir serta mengijazahkan Tariqat al Ahmadiah al Idrisiah.

    Alam makin disinari cahaya, walau siang dah lama menutup tirainya. Pada ketika itu juga Sayyid Muhammad telah menganugerahkan khirqah kepada pemuda ini. Dengan ini termeterinya ikatan antara dua kekasih , terutama selepas Abuya (ayahanda) Sayyid Muhammad telah menggelarkan Ustaz Muhammad Fuad dengan nisbah keluarganya ‘al Maliki.’  Sesungguhnya tiadalah keseronokan dan kenikmatan yang lebih tertinggi daripada dapat bersama para ulama’ dan solihin رضي الله عنهم . Berkata al Arif Billah Syeikh Abu Madyan al Gauthi :

ما لذة العيش ٳلا صحبة الفقراء ۞ هم السلاطين والسادت والأمراء
Ertinya; tiadalah kelazatan hidup di dunia ini melainkan dengan bertemu,bersahabat dan mengambil manfaat dari al fuqara' (iaitu ulama yang kenal Allah), merekalah (pada hakikatnya) sultan-sultan, penghulu-penghulu dan pemerintah-pemerintah.


    Begitulah kehidupan pemuda ini saban waktu dan hari hidup dengan azam dan suntikan yang baru, hasil rembesan lautan ilmu dan berkat guru-gurunya terutama Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki. Ketika ini ku terimbau kata-katanya tentang kesunggguhan menuntut ilmu:


    "Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah maklumat dan ilmu berguna baginya," katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi.

    Dalam menuntut ilmu beliau pernah mengkhabarkan bagaimana beliau mahu menjadikan Imam Nawawi sebagai idola dalam menuntut ilmu, dimana Imam Nawawi menggunakan seharian waktunya untuk belajar 12 subjek beserta syarah dan kupasan. Hasilnya beliau berjaya juga menuntut sebanyak 6 subjek sehari semalam dengan masyaikh-masyaikh  dengan mengunjungi rumah-rumah mereka, tiang-tiang masjid dan sebagainya. Maha suci Allah yang menciptakan insan-insan yang mengorbankan segalanya atas jalan makrifahNya!

    Beliau amat mementingkan izzah iaitu penampilan yang kemas. Baginya selaku penuntut ilmu tidak harus bagi mereka untuk menunjukkan rupa yang selekeh pada masyarakat umum, kerana ia bukan sahaja menunjukkan imej yang kurang sihat terhadap individu itu, malah mungkin menjatuhkan maruah agama yang dipegang oleh penuntut tersebut.

    Justeru permakaian anak-anak didiknya amat dijaga rapi, bersih, tidak berbau dan sentiasa melazimi kopiah walau dimana berada walaupun berada di tengah bandar. Hal ini tidak lebih tidak kurang sama seperti pentarbiyahan Abuya Sayyid Muhammad al Maliki kepada anak-anaknya.

    Sayyid Muhammad seperti mana yang diceritakan oleh Syeikh Fuad sendiri, pada suatu hari telah didatangi oleh anak muridnya di Masjid al Haram untuk belajar darinya, tetapi dengan pakaian yang koyak. Dengan serta merta Abuya mengoyakkan pakaian tersebut seraya berkata :
 "kamu berpakaian sebegini seolah-olah untuk meminta kepada orang ramai berilah aku duit."
Selepas itu beliau memberi pelajar tersebut pakaian yang baru.     

    Berkaitan dengan pakaian lagi, beliau pernah menceritakan perihal dirinya sendiri, antaranya sewaktu di Maahad al Ahmadi, Gemenceh, beliau akan membasuh dua helai pakaian sehari, supaya pakainnya sentiasa bersih dan beliau tak perlu memperuntukkan waktu yang panjang khusus untuk membasuh, kerana sibuk dengan mengulang kaji ilmu  .

    Mengingati tentang cara beliau menyusun waktu, sesungguhnya ilmu adalah waktunya! Kenapa tidak hatta di dalam tandas sekalipun beliau sanggup membuka kaset al Quran dari  luar bilik air, kerena baginya membiarkan watu tersebut tanpa melakukan perkara-perkara keilmuan adalah mensia-siakan satu nikmat Allah!  Natijahnya beliau telah menghafaz al Quran, ketika masih menuntut di Maahad al Ahmadi lagi.

    Beliau menegaskan tidak harus bagi anak-anak muridnya yang dianggap seperti anaknya sendiri, bersuka ria sewaktu orang lain bersuka ria, serta tidak sepatutnya anak muridnya leka ketika orang lain leka. Sesungguhnya bagi penuntut ilmu kerja-kerja dan homework yang banyak. Mereka perlu menghafaz al Quran, hadith-hadith Nabi, matan-matan ilmu serta permasalahan ulama dan lain-lain ilmu. Oleh itu beliau amat tidak bersetuju jika ada dikalangan anak muridnya yang  bercinta atau bekerja ketika menuntut ilmu kerana ia akan mengganggu perjalanan seorang penuntut, jika di benar-benar mahu menjadi alim yang sejati.

    Beliau ada menceritakan kaedahnya mengingati atau mengulang kaji ilmu. Katanya antara cara terbaik mengingati  dan mengukuhkannya dihati ialah dengan mengamalkan muhasabah. Caranya ialah dengan membayangkan sebelum tidur setiap lembaran-lembaran kitab atau al Quran, lalu dibaca dengan hati

Penutup
    Inilah secara ringkas yang amat sangat, tentang realiti kehidupan al Daie ila Allah Syeikh Muhammad Fuad al Maliki, berkaitan semangatnya dalam menuntut ilmu  pada kacamata hamba yang dhaif ini. Inilah yang mampu kusampaikan pada waktu yang singkat ini. hakikatnya, hanya yang Esa bisa mengibaratkan ketinggian kemuliaannya, moha Allah merahmatinya. Hakikatnya ada kata yang tak mampu disampaikan lantaran lemahlah diri serta kurangnya ilmu untuk menterjemahkannya ke bahasa lisan, dan janan tetapi memadailah aku katakan bahawa dialah contoh anak yang soleh, pelajar yang cemerlang, guru yang  alim, suami yang penyayang, alim yang beramal denagan ilmunya, insan termulia yang patut kau dampingi .

    Hari ini beliau ada dihadapan kita, berkata-kata memberikan petunjuk dan nasihat. Justeru rebutlah waktu yang ada perkemaskanlah langkah dan niatmu untuk mendatangi kuliah-kuliahnya, menyusuri denai lautan kitab-kitab tulisannya. Takut-takut, esok siapa tahu qadha Ilahi, jika esok adalah waktunya, tangismu tak berguna apa-apa lagi.

Ingatlah pesan al Arif Billah al Suhrawardi dalam suruhan mengikut ulama’
فتشبهوا ٳن لم تكونوا مثلهم ۞ ٳن التشبه بالكرام فلاح

Serupailah mereka (para ulama dan solihin) walaupun kamu bukanlah dari golongan mereka.
 ۞ Sesungguhnya dengan menyerupai mereka (dalam berakhlak, menuntut ilmu , berpakaian dan lain-lain) adalah suatu kejayaan dan kemuliaan yang besar disisi Allah!

Moga-moga Allah panjangkan umurmu dalam ketaatan! Cucurilah rahmat ke atasnya dengan seluas-luas rahmat. Kurniakanlah kami al taufiq dan hidayah untuk mengikutinya yang berjalan diatas manhaj salaf soleh, secara jaga dan bersendirian. Amin Amin!!

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله في كل لمحة ونفس عدد ما وسعه علم الله. 


16 ‎كانون الأول, ‎2009, ‏‎06:52:47 م



0 ulasan:

Post a Comment

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan