-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Friday, November 13, 2009

Kenali Ulama'mu: Syeikh Yusuf al Nabhani.

                                                                               بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمد لله رب العالمين والصلاة السلام على أشرف الخلق أجمعين سيدنا مخمد وعلى آله وصحبه
.
Kenalilah Ulama’mu:

Syeikh Yusuf bin Ismail al Nabhani رحمه الله



Pendahuluan.

    Aku tidak lain hanyalah seorang  hamba dari hamba-hambaMu ya Allah! Tidaklah lagi yang kupinta melainkan rahmatMu. Tidak ada seorang pun yang mulia di dunia maupun di akhirat melainkan orang yang Kau muliakan.  Merekalah ulama; semulia-mulia dan seagung-agung manusia selepas  anbiya’ dan para rasul. Saksikanlah aku juga di kalangan hamba-hambaMu yang memuliakan mereka lantaran tingginya darjat mereka di sisiMu ya Rab.
    Juga tiada seorang yang terlebih hina dari orang-orang yang Kau hinakan ya Allah. Merekalah para pemuka bidaah yang sesat lagi menyesatkan.  Dan saksikanlah juga yang aku di kalangan hamba-hambamu yang mengingkari mereka dan membenci mereka lantaran kemurkaanMu dan janji azabMu terhadap mereka.
Kucoretkan kalimah-kalimah ini (biografi) syeikh yang alim lagi rabbani syeikh bagi para masyaikh Syeikh Yusuf al Nabhani  رحمه الله, walaupun aku bukanlah orang yang layak dan berkeahlian untuk mensifatkannya. Ampunkanlah salah silapku andai ada padanya salah dan cela.
………………………………………………………

Kenapa Syeikh Yusuf al Nabhani?

    Mungkin dalam ramai-ramai yang menceburi bidang tauhid dan hadith dikalangan pelajar-pelajar melayu tidak ramai  yang  pernah  mendengar mengenainya. Jika mampupun mereka hanya mampu menyebut beberapa nama-nama ulama’ yang terkemudian dari ulama’-ulama’ Mesir, Syria, Maghribi dan lain-lain. Tetapi aku boleh menjamin jika tak kesemua, sebahagian besar dari mereka adalah anak murid  kepada syeikh ini رحمه الله. Memadailah al Muhaddith Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari (0), penghulu ahli ilmu dan pakar hadith dizamannya sebagai contoh anak muridnya yang terbaik.  Justeru layaklah beliau digelar Syeikhul al Masyaikh (syeikh bagi sekelian guru-guru.)
    Sesungguhnya tak kenal maka tak cinta. Tapi mengenal dan  membencinya adalah satu masalah yang kita lihat telah mula dihidupkan oleh segelintir  individu baru-baru ini. Dengan bertopengkan status ustaz, individu ini telah mentohmah Syeikh Yusuf al Nabhani dengan sebagai pengfitnah lantaran menolak pendapat pemuka-pemuka bidaah yang menjadi idola utama individu ini seperti Jamaluddin al Afghani dan Muhamad Abduh yang merupakan pembawa fahaman Wahabi yang sesat lagi menyesatkan. Rasanya tak perlulah kunyatakan namanya kerana ia hanya menambah papulariti dan sifat takabburnya dan tidak langsung memimpinnya untuk kembali ke jalan yang benar.
    Sesungguhnya sifat kutuk mengutuk, keji mengkeji, kafir mengkafir, bidaah membidaah seolah- olah telah sebati dalam diri puak berhaluan kiri ini. Ia seolah-olah menjadi zikir harian mereka yang selalu diucapkan dalam apa-apa majlis, ceramah hinggakan dimuatkan di dada-dada akhbar. Sesunggguhnya ia aku bersumpah dengan nama Allah , hal ini tidak sesekali  diredhai Allah dan Rasul. Bertaubatlah sebelum terlambat. Takutlah ancaman kemurkaanNya serta azab yang pedih kepada orang yang menghina seorang kekasih dari kekasih-kekasiNya,  yang dinyatakan di dalam hadith qudsi:

                    من عادى لي وليا فقد آذنته بالحرب

‘‘ Barang sesiapa yang memusuhi walau seorang dari wali-waliKu, maka aku telah mengistiharkan perang ke atasnya!!!’’
    Hadith ini soheh, dikeluarkan oleh al Bukhari dari Abi Hurairah dalam Kitab al Raqaiq-bab al Tawadhu’ .

    Lupakah engkau pada amaran azab neraka terhadap manusia yang menuntut ilmu untuk berbangga-bangga disisi ulama’?
               قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم     
        من طلب العلم ليماري به السفهاء ويكاثر به العلماء أو يصرف به وجوه الناس ٳليه فليتبوأ مقعده من النار. رواه الترميذي   
   
    Bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: barangsiapa yang menuntut ilmu untuk berbalah dan bermegah-megah terhadap orang bodoh, dan untuk berdebat dengan para ulama’ atau untuk meraih perhatian manusia ke arahnya maka sesungguhnya dia telah menempah  satu kerusi di dalam neraka. (.1.)
 
    Bertaqwalah kalian kepada Allah dalam urusan Umat Muhammad! Janganlah kamu sesekali meringan-ringan martabat para ulama’ yang telah disepakati keilmuannya di timur barat bumi Allah  ini! Siapalah Muhammad Abduh itu jika hendak dibandingkan dengan  ratusan para ulama yang bangkit menolak fahaman-fahaman yang dibawanya serta teman-temannya yang telah dipersetujui kesesatannya oleh ulama’ al Azhar malah ulama di serata dunia Islam keseluruhannya.

    Sekali lagi kuseru kepada pemuda ini agar kembali ke pangkal jalan. Moga-moga Allah dengan rahmat dan belas ihsanNya, mengembalikan pemuda ini ke jalan yang diredhai Allah, seterusnya menegakkan kalimah yang hak berlandaskan  Ahli Sunnah wal Jamaah.
…………………………………………………….


            Al Allamah al Syeikh Yusuf al Nabhani رحمه الله

    Dialah seorang alim yang pintar, mahir lagi mulia. Orang yang amat mengasihi Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  yang dapat dibuktkan dengan puluhan buku-bukunya yang hanya tertumpu kepada sirah dan puji-pujian ke atas Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  . Beliau adalah ulama’ yang  mutafannin iaitu menguasai pelbagai disiplin ilmu lagi merupakan pengarang yang produktif sehingga dianggap penulisannya yang banyak tersebut, salah satu dari karamat yang hanya dikhususkan kepada hamba-hambaNya dan auliya’Nya yang muqarrabin. Ini kerana segala karangannya dari kitab hadith, sirah, madaih al Nabawiyah, tafsir, aqidah, zikir memuji Allah, sejarah wali-wali Allah dan lain-lain buku yang ditulisnya itu, tidak akan mungkin dikarang  oleh kerja perseorangan, melainkan dengan Inayah dan pertolongan dari Allah.  (.2.)Hal ini tidak lain menyerupai keadaan Imam al Nawawi رحمه الله   dalam penulisannya!

    Sebaik-baik biografi adalah biografi yang beliau telah  keluarkan sendiri di dalam bukunya Salawat al  Thana’ A’la Sayyid al Anbiya’ . Nasnya seperti berikut:

‘‘ Aku merasakan (.3.)  elok aku menyebut sedikit sejarah hidupku secara ringkas,  tiada lain melainkan kerana mengikut jejak langkah beberapa Sohib al Athbat umpama Syeikh Abdul Baqi al Hanbali رضي الله عنه, maka aku berkata: 
  •  Kelahirannya  (.4.)
Aku berkata: saya al Faqir  (.5.) Yusuf bin Ismail bin Hasan bin Muhammad Nasir al Din al Nabhani. (.6.)
Aku dilahirkan pada 1266H (1849M) di kampung Ijzim yang terletak di barat Palestin, jaraknya ke Baitul Maqdis kira-kira 3 marhalah.  Kini ia dikira sebagai salah satu kawasan dalam daerah Haifa yang merupakan jajahan Akka.  (.7.)    
          Aku belajar membaca al Quran dari ayahandaku. Sesungguhnya diaرحمه الله  adalah salah seorang Hafiz al Quran yang mahir, yang amat sentiasa melazimi pembacaan al Quran. Beliau mampu mengkhatamkan al Quran 3 kali dalam seminggu. 
  • Pengembaraannya menuntut ilmu.
          Selepas ayahandaku mengarahkanku untuk menghafal sebahagian matan-matan agama iaitu ketika umurku 17 tahun, beliau telah menghantar aku ke Mesir untuk menuntut ilmu di al Jami’ al Azhar. Maka aku telah memasukinya pada bulan Muharram tahun 1283H, dan aku telah menetap di sana selama 7 tahun. Selepas aku berhasil mempelajari segala yang ditaqdirkan Allah dari ilmu-ilmu Naqliah dan Aqliah,  aku telah pulang ke kampung halaman dengan perintah ayahanda pada tahun 1289H. Kemudian  aku menetap di Akka setahun untuk menyampaikan kuliah-kuliah ilmu. Kemudian aku diangkat menjadi naib qadhi di Qadhbah Jinin yang sekarang termasuk dalam kawasan Nablus, aku menetap disana setahun.
        Selepas itu, aku telah pergi ke Bandar Khilafah: Qustantiniah, dan disana aku menetap selama dua tahun setengah sebelum aku dilantik menjadi qadhi di sebuah tempat di wilayah Mausil namanya Kawa Sanjaq yang merupakan salah satu ibu negeri bangsa Kurdi. Dalam perjalanan ke sana aku  telah melalui Halab, Diyar Bakar, al Mausil dan Syahrazur. Ketika aku menziarahi al Mausil  aku sempat menziarahi Nabi Allah Yunus  عليه السلام وعلى نبينا أفضل الصلوات. Di sana aku dapat merasakan kekhusyukan yang amat sangat, yang menunjukkan terhadap kebenaran wujudnya jasad Nabi عليه السلام yang mulia di dalamnya. Kemudian aku meninggalkannya selepas 15 bulan kerana kemarau yang telah berlaku di Iraq pada tahun 1296H, lalu  aku berangkat ke Baghdad dan aku tinggal disana tak sampai sebulan. Aku telah menziarahi penghulu-penghulu kami:
    -    Musa al Kazim
    -    Imam al A’zam Abu Hanifah
    -    Al Ghauth al Jailani
    -    Ma’ruf al Karkhi
    -    Habib al Ajami
    -    Abu Bakar al Syibli
    -    Sirri al Saqati
    -    Al Junaid al Baghdadi
    -    Abu al Najib al Suhrawardi رضي الله عنهم.


        Dalam perjalanan ke Baghdad itu, aku telah melalui Samarra, di sana aku sempat menziarahi Saidina al Hasan al A’skari, ayah bagi al Sayyid Muhammad  al Mahdi  رضي الله عنه.
    Daripada Baghdad aku pulang ke al Syam dengan melalui jalan Dir dan Tadamur yang mempunyai binaan-binaan purba yang mengajaibkan. Selepas menziarahi ayah bonda dan seluruh keluarga, aku bertolak ke Bandar Khilafah:  Qustantiniah iaitu pada tahun 1297H. Aku menetap kira-kira selama 2 tahun. Di sana aku mula menulis kitab : al Syarf al Muabbad Li Ali Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم .
    Selepas itu aku dilantik menjadi di ketua Mahkamah al Jaza’ di Bandar al Laziqiah yang merupakan bandar  yang terletak di persisiran pantai al Syam, aku ke sana pada tahun 1300H dan menetap di sana lebih kurang 5 tahun.
        Kemudian aku diangkat  menjadi ketua Mahkamah al Jaza’ di al Quds al Syarif (Palestin.) Di sana aku telah bertemu dengan Sayyidi Syeikh Hasan Abi Halawah al Izzi  رضي الله عنه yang merupakan seorang wali Allah yang mempunyai banyak karamaat. Dengan pertemuan ini aku telah mendapat keberkatannya. Beliau  juga sering berlemah lembut denganku dan mendoakan untukku. Beliau telah mentalkinkanku Tarekat al Qadiriah serta beberapa wirid-wirid dan zikir-zikir. Di antaranya sighah Selawat Penghapus  Kesusahan iaitu:

                اللهم صل على سيدنا محمد الحبيب المحبوب شافي العلل ومفرج الكروب       
       
    Aku telah mencubanya, dan ia benar-benar mujarab!

        Tidak sampai setahun, aku telah dinaikkan jawatan menjadi ketua Mahkamah al Huquq di Beirut.  Aku tiba di sana pada bulan Rajab 1305H dan aku terus tinggal di sana hingga kini. Di sana juga aku dikurniakan Allah beberapa orang cahaya mata iaitu Muhammad Syamsuddin, Fatimah dan Aisyah.  Kemudian Allah telah mengurniakan rezeki untukku mengerjakan haji di Bait al Haram pada tahun 1310H. Ketika itu hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, serta telah bertebaranlah waba’ hingga ia menjadi sebab hirmanku untuk menziarahi  Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم   pada tahun tersebut. Aku memohon kepada Allah agar mengurniakanku dapat menziarahi Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  dan duduk berhampiran Nabi  di dunia dan juga akhirat.
        Di sanalah juga aku menulis kesemua buku-buku karanganku dan sebahagian  besar daripadanya telah kucetak. Kitab tersebut telah banyak memberi  manfaat  dan telah diterima baik oleh masyarakat di segenap pelusuk dunia Islam. Semua itu berlaku hanya dengan kelebihan yang diberikan Alllah dan keberkatan kekasihnya yang teragung:  Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  .

    • Guru-gurunya.
    Adapun syeikh-syeikhku yang aku mengambil ilmu daripada mereka di Jami’ al Azhar ketika aku di sana ialah :
    -    Syeikh Muhammad al Damanhuri (wafat1285H).
    Aku telah menghadiri kuliah-kuliahnya mengenai al Ajrumiah dan Syarh Qatr (kedeua-duanya adalah kitab Nahu Bahasa Arab) oleh Ibn Hisyam. Beliau juga telah meriwayatkan hadith Musalsal bil Awwaliyah, yang merupakan hadith pertama yang kudengari darinya, iaitu;
    الراحمون يرحمهم الرحمن ارحموا من في الأرض يرحمكم من في السماء



    -    Syeikh Ibrahim al Saqqa.
    Aku melaziminya selama 3 tahun. Aku menghadiri muhadharahnya tentang kitab al Tahrir dan al Minhaj karangan Syeikh al Islam, iaitu kitab mengenai fekah Syafie, beserta hasyiahnya karangan al Syarqawi dan al Bujairimi. Aku juga belajar darinya kitab Syamail Imam al Tirmizi pada bulan Ramadhan.   
    Kedua-dua syeikh ini adalah daripada kawan rapat Syeikh bagi kebanyakan guru-guruku al Imam al Allamah: al Syeikh Ibrahim al Bajuri (wafat 1277H). Kesemuanya mengambil ilmu dari al Syeikh Hasan al Quwaisani, al Syeikh Muhammad al Fadhali, al Syeikh Muhammad al Amir al Soghir dan tabaqatnya.

    -    Syeikh Ahmad Radhi al Syarqawi


    -    Syeikh Soleh al Jiyawi


    -    Syeikh Muhammad al Asymawi.

    Aku telah menghadiri kelas pengajian mereka bertiga yang menerangkan tentang Syarh Ibn al Qasim atas Matan Abi Syuja’ dengan Hasyiah al Barmawi.  

    -    Syeikh Muhammad al Anbabi, Syeikh al Jami’ al Azhar.
    Aku menghadiri kelasnya tentang kitab Syarh Ibn al Qasim yang sama dengan yang lepas, serta Syarah al Khotib al Syarbini atas Matan Abi  Syuja’, Hasyiah al Amir ala Syarh al Malawi ala al Samarqandiah dan Hasyiah Syeikhnya Syeikh Ibrahim al Bajuri atas Burdah al Imam al Busairi tentang puji-pujian ke atas Rasulullah. 

    -    Syeikh Abdul Rahman al Syarbini.
    Aku mengadiri pengajarannya tentang Syarh al Khatib atas Matan Abi Syuja’.

       Syeikh Ibrahim al Zarru al Khalili.
    Aku menghadiri kelas-kelasnya tentang Hasyiah syeikhnya al Bajuri atas Jauharah al Tauhid dan Syarh Ibn Aqil atas Alfiyyah Ibn Malik dengan Hasyiah al Sajai’e.


    -     Syeikh Mustafa al Asyraqi.
    Aku telah menghadiri kuliahnya tentang al Jami’ al Soghir karangan al Hafiz al Suyuti.

    -    Syeikh Ahmad al Ajhuri al Dharir.
    Aku mengikuti kelasnya mengenai Tafsir al Jalalain dengan Hasyiah al Jumal, serta Hasyiah al Amir ala Syarh al Malawi ala al Samarqandiah.    

    -    Syeikh Abdul Hadi al Abyari.
    Aku  menghadiri kuliahnya dalam pengajian Soheh Bukhari dan Maqamat al Hariri serta Hasyiah syeikh kami al Damanhuri al Sughra ala Matan al Kafi tentang ilmu arudh dan qawafi.

    -    Syeikh Abdul Latif al Khalili.
    Aku menghadiri kelasnya dalam pengajian kitab Hasyiah al Bajuri ala al Jauharah.

    -    Syeikh Ahmad al Babi.
    Nisbah kepada al Bab, iaitu salah satu kawasan di Halab (Syria). Aku telah bertalaqqi darinya kitab Syarh al Qatr bi Hasyiah al Suja’ie dan Syarh al Syuzur bi Hasyiah al Amir.

     Kesemua dari awal hingga Syeikh Ahmad tadi adalah ulama Mazhab Syafie.
    ..................

    -    Syeikh Abdul Qadir al Rafii’e, syeikh serambi al Syawam.
    Aku menghadiri  kuliahnya bermula juzuk kedua dari Hasyiah In Abidin ala al Dur al Mukhtar.

    -    Adiknya  Syeikh Umar al Rafii’e.
    Aku menghadiri pengajian kitab Hasyiah al Bajuri ala al Samarqandiah.

    -    Syeikh Syarif al Halabi.
    Aku menghadiri kelasnya dalam Syarh al Azhariah bi Hasyiah al Ator.

    -    Syeikh Masu’d al Nabulusi.
    Aku mengikuti kelasnya tentang kitab Syarh al Dur al Mukhtar.

    -    Syeikh Fakhr al Din al Yanih Wi.
    Aku telah menghadiri kelasnya  dalam Syarh al Jami ala al Kafiah.

    Kesemua ulama tadi pula ialah ulama Mazhab Hanafi.
    ..................


    -    Syeikh Hasan al Adawi.
    Aku telah mengikuti kuliahnya dalam pengajian Soheh al Bukhari dan al Arbain al Nawawiah.

    -    Syeikh Hasan al Towil.
    Aku  menghadiri kuliahnya  pada Syarh al Azhariah bi Hasyiah al Ator, Syarh al Syuzur bi Hasyiah  al Amir dan Qalaid al Aqyan karangan al Fatah bin Khaqan; dahulu beliau mengajarnya di rumahnya tetapi ia tidak sempat dikhatamkan.

    -    Syeikh Muhammad al Basyuni.
    Aku telah menghadiri pengajarannya tentang kitab Hasyiah al Sobban ala al Malawi ala Sullam al Mantiq.

    -    Syeikh Muhammad al Rubi.
    Aku telah menghadiri pengajarannya tentang kitab Syarh al Asymuni ala al Alfiyah bi  Hasyiah al Sobban.

    -    Syeikh Muhammad al Hamidi.
    Aku telah menghadiri pengajarannya tentang kitab Mukhtasor al Bukhari karangan Ibnu Abi  Jamrah dengan Hasyiah al Syinwani dan Syarh al Syeikh Khalid ala al Ajrumiah bi Hasyiah Abi al Nuja.

    Kesemua ulama tadi bermazhab Maliki .
    .................

       Syeikh Yusuf al Barqawi al Hanbali, syeikh serambi al Hanabilah.
    Aku menghadiri kuliahnya tentang al Ajrumiah. Beliau adalah Syeikh pertama yang aku ambil manfaat daripadanya.

        Moga-moga Allah memanfaatkan aku dengan berkat keseluruhan mereka semua رضي الله عنهم dan mengumpulkan aku di dalam kumpulan mereka di bawah panji Sayyid al Mursalim Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم .
    •  Buku-buku karangannya.
    Adapun karanganku iaitu:
    1)    Al Anwar al Muhammadiah Mukhtasar al  Mawahib al Ladunniah.
    2)    Al Syarf al Muabbad li Ali Muhammad.
    3)    Wasail Wusul ila Syamail al Rasul.
    4)    Al Ahadith al Arbain fi Fadhail Sayyid al Mursalin.
    5)    Al Ahadith al Arbain min Amthal Afsoh al Alamin.
    6)    Afdhal al Salawat ala Sayyid al Sadaat.
    7)    Saadah al Darain fi  al Solat ala Sayyid al Kaunain.
    8)    Salawat al Thana’ ala Sayyid al Anbiya’.
    9)    Hujjatullah ala al A’lamin fi Mu’jizah Sayyid al Mursalin .
    10)      Al Hamziah al Alfiyah yang dinamakan Taybah al Gharra’ fi Madhi Sayyid al Anbiya’.
    11)    Saadah al Maad fi Muwazanah Banat Sua’d.
    12)    Al Nazam al Badi’ fi Maulid al Syafi’
    13)    Al Qaul al Haq fi Madhi Sayyid al Khalq
    14)    Khulasaah al Kalam fi Tarjih Din al Islam.
    15)    Risalah fi Mithal al  Na’li al Syarif
    Kesemua kitab  ini telah dicetak.
    1)    Jami’ al Solawat wa Mujamma’ al Sadaat (belum dicetak pada waktu biografi ini ditulis tetapi kini ia telahpun diterbitkan.)
    2)    Al Fadhail al Muhammadiah (belum dicetak pada waktu biografi ini ditulis tetapi kini ia telahpun diterbitkan.)
    Kedua-duanya dalam  usaha untuk dicetak (pada waktu biografi ini ditulis.)
    3)    Al Majmuah al Nabhaniah fi al Madaih al Nabawiah, yang mengandungi 20 000 bait syair aku sadur dari kata-kata sasterawan dan aku susun mengikut susun  Huruf Hijaiyah. Aku akan mensyarahkannya dan mencetaknya in sya Allah. (pada waktu biografi ini ditulis tetapi kini ia telahpun diterbitkan.)
    4)    Jami’ al Thana’, ia belum disempurnakan lagi (pada waktu biografi ini ditulis tetapi kini ia telahpun diterbitkan.)

    Moga-moga Alllah menolongku dalam menyempurnakannya dan penyebarannya dalam sebaik-baik keadaan yang diredhaiNya.’’ 

    Selesai kalam Syeikh Yusuf bin Ismail al Nabhani.
    ………………………………..
    •  Hari-hari akhir beliau.
        Apabila beliau bersara dari jawatannya beliau memutuskan dirinya dari kebendaan duniawi ke arah ibadat Penciptanya serta penulisan. Kemudian beliau bermusafir ke Madinah al Munawwarah dan menetap di sana seketika. Kemudian beliau pulang ke Beirut di mana beliau menghembuskan nafas terakhir pada bulan Ramadhan tahun 1350H (1933M.) (.8.)   
        Ya Allah rahmatilah al Syeikh Yusuf al Nabhani dengan rahmat luas yang berterusan. Berikanlah beliau sebaik-baik balasan lantaran jihadnya dan kesungguhan dalam khidmatnya pada Syariat yang suci ini. Himpunkanlah kami bersamanya di dalam golongan orang-orang yang benar, orang-syahid yang syahid  dan solihin; amat sesuailah mereka sebagai sahabat handai, di bawah lembayung bendera Sayyid al Awwalin dan Akhirin Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم o (.9.)
                                   

                            والحمد لله رب العالمين

       ..............................................
    0) Beliau adalah al Muhaqqiq al Muhaddith Abu al Fadhl Abdullah bin al Allamah Muhammad bin al Siddiq al Ghumari,  lahir pada 1343H/1910M dan  wafat pada 1413H/1993M. Alim yang mutafannin iaitu membidangi kesemua bidang ilmu-ilmu agama. Antara kemuliaan beliau adalah lahir dari keluarga ulama’ dimana setiap seorang adik beradiknya merupakan MUHADDITH pada zamannya. Beliau sendiri telah menghafaz kitab hadith Sunan Sittah seperti Soheh Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan lain lain serta mampu mengeluarkan terus hukum dari kitab-kitab tersebut.
    1) Fadhl Ilm wa Adab al Alim wa al Mutaallim  (dari muqaddimah al Majmu’) karya Imam Nawawi ms 57
     2) Muqaddimah kitab Sabil al Najah fi al Hubbi Fillah wa al Bughdhi Fillah, kata penyusun kitab tersebut, ia merupakan ringkasan muqaddimah Jami’ Karamaat al al Awliya’ oleh Syeikh Ibrahim Atwah.   
     3) Salawat al Thana’ ala Sayyid al Anbiya’ oleh Syeikh yusuf al Nabhani ms 248-250
     4) Tajuk-tajuk kecil ini adalah tambahan penyusun.
     5) yang berhajat kepada keredhaan Allah
     6) Nabhani ialah nisbah bagi Bani Nabhan, satu kaum dari kaum arab badawi yang tinggal di perkampungan   Ijzim, yang terletak 28km ke selatan Haifa (di Palestin) yang merupakan utara gunung al Karmal di ketinggian 100m dari paras laut      
     7) Iaitu di bandar Beirut
     8)  Muqaddimah Ahsan al Wasail fi Nazam Asma’ al Nabi al Kamil oleh Syeikh Yusuf al Nabhani. Ms 11. tahqiq: Bassam Abdul Wahhab al Jabi.  Cetakan al Jafffan wa al Jabi. 1994 
     9)  Muqaddimah kitab Sabil al Najah fi al Hubbi Fillah wa al Bughdhi Fillah ms 11



     

    0 ulasan:

    Post a Comment

    About Me

    My photo
    Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan