-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Friday, November 13, 2009

Anti-Wahabi

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صلي وسلّم على سيدنا محمد النبي الأمي وعلى آله وصحبه
أما بعد

Wahabi itu sesat jadi…



    Sejak dari dulu lagi para ulama’ nusantara terutamanya Malaysia yang tercinta ini telah bertungkus lumus membenteras jenayah akidah dari meluru masuk kebenak hati-hati umat Islam di negara ini. Namun dewasa ini, nampaknya puak-puak beraliran kiri ini masih tidak jemu-jemu untuk menyesatkan umat dengan bertopengkan dakwah, ukhuwah, persatuan dan lain-lain lagi.  Berbekalkan sebaris dua ayat al Quran, dan dengan kefahaman cetek mereka terhadap maksud tersurat apatah lagi yang tersirat, mereka telah berjaya meracuni pemikiran umat dari peringkat  orang awam  hingga ke golongan elit, lalu menyebabkan perpecahan dan perbalahan antara muslimin, yang pasti  tidak diredhai Allah dan RasulNya. Tidak lain tidak bukan itulah musuh dalam selimut kita; 


WAHABI @ SALAFI @ MUHAMMADIAH ( di Indonesia ) @   KAUM MUDA (nama lama) !!!


    Hari ini kita tak perlu gentar untuk menyelar fahaman sesat ini. Semudah mudah dalil untuk menunjukkan KESESATAN mereka ialah penolakan mereka terhadap taqlid mazhab yang empat dan penolakan mereka kepada ijma’ ulama.

    Adakah wajar kita berdiam diri tunduk takut dan seolah-olah redha terhadap orang yang telah menghina dan merendah-rendahkan institusi ulama’ silam yang terkenal dengan gedung-gedung ilmunya?
    Adakah dengan berbekalkan segulung ijazah kedoktoran  mereka layak untuk mengkritik dan meletakkan nama-nama tuan-tuan guru kita di tempat yang tidak selayaknya? Apakah terdapat doktor-doktor dan cerdik pandai yang mampu melakukan seperti mana yang dilakukan  oleh Syeikh al Islam Ibnu Hajar al Asqalani dan al Imam Nawawi dalam khidmat mereka terhadap Sunnah Rasulullah? (1)

    Mungkin inilah zaman yang diminta Rasulullah agar dijauhkan daripada berlakunya:
Dari  Sahl bin Saad al Sai’di berkata Rasulullah bersabda: ya Allah jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikuti  lagi dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi . Hati mereka seperti hati orang ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah  orang Arab (pada fasihnya). Hadith riwayat Ahmad. (2)

    Rasanya tak perlu aku memanjangkan bicara kerana waktu itu amat berharga. Disini biarlah Syeikh Muhammad Syafie ibn Abdullah Rengkol Lengkih Fatani pensyarah kitab Ta’lim al Mutaa’llim yang masyhur sendiri memjawab fenomena yang telah pun berlaku sejak zaman beliau sendiri.

    Tulisan asal adalah dengan tulisan jawi lama dan dengan bahasa melayu lama, tetapi saya akan cuba untuk memudahkan bahasa untuk kemudahan kita semua. Jika perlu, sila rujuk semula kitab asal ‘Pelita Penuntut’ ms 11-14, cetakan al Maarif Snd Bhd. 

………………………………


Kata Syeikh Muhammad Syafie al Fathani  رحمه الله  :

    Demikian lagi (terdapat sebuah kumpulan) yang sangat-sangat  karut  dan sangat-sangat sesat lagi menyesatkan orang awam ialah satu puak yang banyak timbul pada zaman sekarang yang bergelar KAUM MUDA (WAHABI).

Sifat-sifat.

    Antara sifat-sifatnya ialah memegang  zahir (makna luaran) Hadith dan ayat al Quran semata-mata, tanpa takwil dan tanpa dikerjakan muqayyad mutlaqnya, khas dan a’m dan nasikh dan mansukhnya. Mereka hanya mengambil mana-mana ayat atau hadith lalu menjadikannya dalil tanpa berfikir dengan lebih dalam dan tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.
    Selain itu mereka menafikan apa-apa hukum yang tidak terdapat pada zahir Al Quran dan   Sunnah,  dengan itu mereka menafikan ijma’ ulama’ dan qias dan taqlid mazhab yang empat.  Oleh itu mereka membatalkan kaedah-kaedah semua ulama’ mazhab tersebut, dan mereka membatalkan hukum yang tsabit dengan ijtihad dan qias.
     Dengan cara ini mereka telah mencerca talqin mayat, fidyah puasa, fidyah sembahyang, lafaz berniat solat dan lain-lain lagi. (3)

 Panah beracun

    Mereka menghafaz pelbagai hadis dan ayat al Quran supaya ia menjadi hujjah terhadap orang awam, menipu daya orang ramai untuk meyakinkan bahawa mereka adalah dijalan yang benar.  Mereka juga mengakui diri mereka sebagai mujtahid yang mampu mengeluarkan hukum dari ayat dan hadith dengan sendiri, serta mengaku bahawa perjalanannya seharian  mengikuti sunnah Rasulullah.
    Malang sekali kebanyakan mereka tak pernah dilihat dalam pengajian (4)  (ilmu-ilmu agama hingga melayakkan mereka untuk berijtihad seperti )  Usul Fiqh dan Mustolah Hadith dan majaz istia’rah dan lain-lain ilmu alat.  Lebih memalukan, ilmu alat  paling asas  iaitu Nahu dan Sorof serta perbendaharaan Bahasa Arab juga masih belum dikuasai (maka bagaimanakah mereka berkata dengan mudahnya mampu memahami lantas mengeluarkan hukum terus dari al Quran dan Hadith?!). Selain itu mereka juga tidak menjaga maruah dan kedudukan sebagai penuntut ilmu (yang melayakkan mereka digelar mujtahid) seperti makan di kedai-kedai, menjauhi serban (5) ; maka beginikah  orang yang mengaku diri sebagai mujtahid dan mengikut sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  ?!

Adakah ini kelakuan seorang mujtahid?!

    Berkata Syeikh Abdul Rahman Mufti Hadramaut  di dalam Bughyah al Mustarsyidin: 
‘Masalah pertama:  (pada zaman ini terdapat) golongan yang banyak menuntut ilmu, dan mentelaah serta mengkaji kitab-kitab samada tafsir, hadith dan feqah. Dengan sedikit kecerdikan mereka berangapan bahawa mereka telah  memahami dan menguasai apa yang dibacanya  malah mereka mempunyai tanggapan  yang keras (fanatik) terhadap pandangan mereka.

    Kebanyakan mereka itu amat sesat dan menyesatkan usul-usul agama dan jalan Sunnah Penghulu Segala  Rasul  صلى الله عليه وآله وسلم  . Maka jalan mereka adalah dengan menolak karangan-karangan ahli ilmu ,tidak terikat pada mazhab tertentu malah cenderung kearah berijtihad. Mereka menyangka mampu mengistinbatkan hukum dari Al Quran dan Hadith walhal tidak mempunyai syarat-syarat ijtihad yang mu’tabar disisi ahli ilmu (ulama’).

    Tidak cukup dengan itu, mereka menyuruh orang awam untuk mengikuti suruhan-suruhannya dan berpegang dengan idea-ideanya serta mengikutinya kerana beranggapan dirinya sudah menjadi seorang mujtahid.

    Maka orang yang mengaku ‘mujtahid’ ini wajib bertaubat
dan kembali kepada jalan yang benar, dan meninggalkan dakwaan-dakwaan salahnya itu.

    Sudah terang lagi bersuluh, apabila mereka melontarkan (menolak pendapat) karangan-karangan ulama’ muktabar, maka dengan apakah mereka berpegang, sedangkan mereka tidak sekali-kali pernah berjumpa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan juga tidak pernah bertemu dengan walau seorang dari para sahabat Baginda رضوان الله عليهم .

    Kalau ada  pada ilmu walau sebesar kuku sekalipun maka itu semuanya dicedok dari karangan-karangan  ulama malah dari kata-kata ulama’ itu sendiri. Jika ulama’-ulama’ ini sesat dan buku-bukunya menyeleweng, maka dari manakah mereka bertemu dengan hak (kebenaran) yang betul? Maka katakanlah!.’

    Hal ini amat dipersetujui oleh Syeikh Muhammad Syafie dan menambah perbahasan dengan katanya :
Tidak harus bagi orang yang berakal menyalahi para ulama terutama Imam Mazhab yang empat رضوان الله عليهم  kerana kebanyakan kata-kata mereka diambil dari Al Quran dan Hadith, maka bagaimanakah mereka boleh menyalahinya?!

Permasalahan Ijtihad.

    Adapun mengenai ijtihad dizaman ini, maka ia amat jauh dari realiti kehidupan zaman kini. Berkata Syaikhan begitu juga  Fakhru al Razi : seolah-olah telah ijma’ ulama’ bahawa tidak akan ada mujtahid (mutlak seperti zaman ulama’ dahulu kala.)

    Dinaqalkan oleh Ibn Hajar daripada sebahagian ulama Usul Fiqh bahawa; selepas zaman Imam kita al Syafi’e, tidak ada lagi mujtahid (mustaqil). Selesai kata Imam Ibn Hajar.

    Dengan (masalah-masalah yang telah diutarakan) ini maka nyatalah bahawasanya puak yang digelar Kaum Muda (wahabi/salafi dizaman moden ini), sesat lagi menyesatkan dan amat jauh dari kebenaran. Mereka itu bukanlah bertujuan mencari jalan untuk mendirikan agama atau  beramal dengan amalan akhirat, tetapi semua itu dilakukan untuk menunjukkan seolah-olah mempunyai kelebihan daripada ulama’ yang alim lagi mu’tabar. Malah mereka mahu dianggap lebih mulia, betul dan alim dari para ulama’ dahulu termasuk Imam Syafie dan Imam Abu Hanifah رضي الله عنهما dan lain-lain .

    Sebab mereka tidak lain tidak adalah supaya disanjung oleh masyarakat, dimuliakan kaumnya, disamping kemewahan duniawi berbentuk pakaian, makanan dan tempat tinggal, bukan untuk keredhaan Maha Pencipta. Semua ini hakikatnya meruntuhkan institusi amalan dan agama itu sendiri.

    Merekalah insan-insan yang telah tertipu dengan tipu daya syaitan musuh kita, musuh Allah dan RasulNya selama-lamanya.

Taqlid Mazhab Ulama’

Bagaimanakah kita boleh membetulkan I’tiqad mereka sedangkan mereka sejak awal lagi
1)    Tidak membenarkan qawaid Ulama’
2)    Menegah taqlid Ulama’
3)    Menghina mazhab-mazhab dan ijtihad para Ulama’nya termasuk Imam Syafie?!


Oleh itu wajib kita mengingkari mereka dan mendustakan fahaman mereka, kerana terlalu banyak dalil-dalil yang menyuruh kita mengikut dan bertaqlid dengan ulama’.

Antaranya Sabda Nabi  صلى الله عليه وآله وسلم yang ertinya :
    Belajarlah ilmu kerana ia (membawa kepada) takut Allah dan menuntut ilmu itu ibadah…hingga sabdanya: Allah telah  mengangkat kemuliaan sebahagian kaum dengan ilmu yang dimilikinya, dan dengan ilmu ini mereka menjadi ikutan, penyampai dan imam dalam melakukan kebaikan, justeru kesan-kesan sejarah mereka diceritakan dan perbuatan-perbuatan hingga pemikiran serta pandangan mereka itu diikuti (lihat perkataan  kesan-kesan sejarah mereka diceritakan dan perbuatan hingga pemikiran serta pandangan mereka diikuti.)

Hadith ini diriwayatkan daripada Muaz oleh Ibn  Abdul Bar, katanya: hadith ini Hasan.


Dalil yang lain ialah sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم :

أفضل الناس المؤمن العالم الذي ٳن احتيج ٳليه نفع وٳن استغن عنه أغنى نفسه.

Ertinya: seafdhal-afdhal manusia ialah mukmin yang alim; jika dihajatkan maka dia akan memberi manfaat, jika tidak maka dia terus dengan pekerjaan hariannya dan tidak menyusahkan orang lain.
Riwayat  oleh al Baihaqi.

    Kedua-dua hadith ini terang menunjukkan suruhan mengikut ulama’-ulama’ mazhab, ia soreh (nyata) pada hadith yang pertama dan secara mafhum bagi hadis kedua, kerana tiada manfaat bagi orang alim melainkan untuk diikuti dan ditaqlid. Oleh itu bagaimanakan puak yang menyimpang ini mengharamkan taqlid, maka sudah tentu tidak sah dakwaan tersebut.

    Maka jika mereka berdalih dan berkata:  ‘‘bukan yang kami maksudkan dengan tak boleh ikut ulama dan taqlid itu secara mutlak (total),  hanya tidak boleh mengikut mereka pada hal-hal yang menyalahi al Quran dan Hadith. Jika ia muafakat (bertepatan) dengan Al Quran dan Sunnah maka dibolehkan taqlid.’’    

     Maka dalam kata-kata mereka ini ada duri dalam daging, iaitu kesalahan yang perlu dikupas perlahan-lahan, kesalahannya ialah:

1)    Menyalahi zahir hadith  yang pertama
2)    Tidak dinamakan taqlid jika sudah tahu akan dalil-dalilnya.
3)    Kenyataan   ulama’ itu adalah pendapat dan ijtihad mereka yang tidak bersalahan dan tidak bertentangan dengan al Quran dan Hadith. Hukum-hukum ini  didapati dengan kemampuan mereka mengistinbatkan hukum dari kefahaman secara umum terhadap al Quran, yang mana hukum-hukum ini  tidak terdapat dalam nas al Quran dan hadith  yang soreh (jelas). Hal ini terjadi kerana mereka lebih memahami makna ayat tersebut lebih mendalam, sedangkan akal KAUM MUDA itu terlalu senteng untuk memahaminya dan apatah lagi untuk menyelaminya.


Gesaan Mengikut Imam al Syafie رضي الله عنه  dan mazhabnya.

    Selain itu telah tsabit (tetap) hadith suruhan mengikut taqlid ini, dan tak pernah pula sekali-kali wujud hadith yang melarangnya, terutama suruhan mengikut Imam kita al Syafie.

    Hal ini kerana telah tsabit bahawa beliau adalah berbangsa Quraisy, kerana beliau anak Idris bin al Abbas bin Uthman bin Syani’ bin al Saib bin Abdullah bin Abd Yazid  bin Hasyim bin al Muttalib bin Abd al Manaf  bin Qusai hingga akhirnya. Nabi kita Sayyidina Muhammad صلى الله عليه  وآله وسلم  pula anak Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abd al Manaf  bin Qusai hingga akhirnya. Maka nasab keturunan  imam kita bertemu dengan nasab keturunan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pada nenda kedua-duanya Abd al Manaf.

    Oleh sebab  Imam Syafie itu pasti dari kaum Quraisy maka termasuklah beliau dalam golongan aimmah (imam-imam) yang disabdakan Rasulullah:

الأئمة من قريش

Ertinya:  imam-imam itu dari bangsa Quraisy. Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maksud imam-imam ialah orang-orang yang menjadi ikutan.

Tersebut pada Sohih Muslim daripada Jabir berkata:  sabda Nabi

الناس تبع لقريش في الخير والشر

Ertinya : manusia itu mengikut Quraisy dalam kebaikan dan kejahatannya.

Sada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم lagi:

ٳن عالم قريش يملأ طباق الأرض علما

Ertinya: bahawasanya ada seorang alim  Quraisy akan memenuhi  muka bumi dengan ilmunya. 
Maksud yang alim yang ditentukan di dalam hadith tadi ialah Imam kita al Syafie.

    Penentuan ini jatuh ke atas Imam Syafie. Ini  kerana pada zaman sahabat fatwa dan hukum hakam tidak terlalu banyak dan terhad pada yang telah jatuh hukumnya. Para ulama yang mengikuti zaman selepas itu daripada pengarang kitab-kitab pula tidak berbangsa Quraisy sehingga kelahiran Imam Syafie. Dan tidak ada seorangpun dulu dan masa yang terkemudian yang bersifat dengan sifat-sifat ini, maka tsabitlah dan tetaplah bahawa yang dikehendaki dengan yang alim itu ialah Imam al Syafie.

    Sesungguhnya dalil yang amat kuat tentang suruhan mengikut Imam Syafie dan pujian tehadapnya amatlah jelas, maka bagaimanakah taqlid ini dapat diingkarkan?!. Jika benar tidak boleh ikut ulama’ dan haram taqlid, sudah tentu Nabi kita tidak bersabda sedemikian rupa, kerana Nabi itu penghulu sekelian Rasul-rasul dan Anbiya’ serta sekelian makhluk; yang amat suci  daripada jahil kekurangan pada akal dan syara’. Tiada seorang pun yang  mengingkarkannya melainkan orang yang jahil atau zalim yang a’suf (membuta tuli)!

Tahlil Arwah(6)

    Antara lain yang menjadi medan perbahasan kaum muda adalah pengingkaran mereka terhadap sampainya pahala kenduri tahlil kepada si mati. Termasuk dalam skop ini, niat bersedekah untuk diniatkan pahalanya bagi arwah.

    Mereka berpendapat amalan ini tidak sampai kepada si mati dan tidak bermanfaat. Tetapi kata-kata yang rapuh ini mudah sahaj dihancurkan dengan dalil-dali. Antaranya:

    Setengah dari khabar Saad bin Ubadah, katanya:  ya Rasulallah bahawasanya ibuku sudah mati, maka adakah boleh aku bersedekah daripadanya (untuk dihadiahkan pahalanya kepada ibuku?). Sabda Baginda صلى الله عليه وآله وسلم : bahkan. Berkata Saad lagi:  apakah sedekah yang terafdhal? Sabda Baginda lagi  صلى الله عليه وآله وسلم memberi minum air.
Diriwayatkan oleh Muslim dan lain-lain.

Dalil yang lain ialah sabda Rasulullah :

ٳن الله تعالى يرفع درجة العبد في الجنة باستغفار ولده

Ertinya : sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم : sesungguhnya Allah Taala mengangkat kedudukan hamba di dalam syurga dengan istighfar anaknya.
Hadith riwayat Muslim.

Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم :

ٳذا مات ابن آدم انقطع عمله ٳلا من ثلاث صدقة جارية  وعلم ينتفع به  وولد صالح يدعو له.
Ertinya: apabila mati  anak Adam maka terputuslah amalannya melainkan 3 perkara: sedeqah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.

    Kesemua dalil-dali ini mununjukkan sampai pahala dan manfaat amalan orang hidup terhadap orang yang sudah mati.(7) 

Dalil golongan kiri.

Mereka bersandar pada ayat:
وأن ليس للٳنسان ٳلا ما سعى
Ertinya: dan bahawa sesungguhnya tiada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.
 Al Najm: 39

Kata Syeikh Muhammad Syafie رضي الله عنه;
    Ayat ini umum dan ia telah ditakhsiskan dengan hadith-hadith tadi. (Ertinya semua manusia mendapat belasan nikmat mahupun sebaliknya bergantung dengan amalan yang dilakukannya sendiri didunia, tetapi dalam waktu yang sama juga mendapat balasan dengan bacaan doa kepadanya atau amalan-amalan soleh yang dihadiahkan pahalanya kepadanya.) Pendapat yang lemah (qil) pula menyatakan; ia mansukhah atau ditanggungkan atas perkara maksiat.

Penutup

    Selain ini ada banyak lagi perkara-perkara yang diingkari oleh kaum muda dengan pelbagai dakwaan batil dan tohmahan ke atas amalan tersebut. Serta banyak lagi perkara-perkara yang menunjukkan kesesatan mereka ini. Tetapi memadailah sekadar ini bagi  orang yang berakal fikiran, moga-moga kita tidak tumpang sekaki sesat bersama dengan orang-orang yang sesat ini dan terlepas dari kesesatan dan tipu daya mereka (Wahabi.) Wallahu A’lam.

    Rujukan bahas ini saya (Syeikh Muhammad Syafie al Fathani رضي الله عنه ) ambil dari kitab Ihya’ Ulum al Din oleh Imam al Ghazali dan  kitab al Majmu’ oleh Imam al Nawawi serta beberapa kitab-kitab fekah yang muktabar.
…………………………………….

Harapanku...

    Moga Allah merahmati penulis Syeikh Muhammad Syafie ibn Abdullah al Fathani serta menjaga iman kita, keluarga dan para pemimpin diikuti seluruh muslimin dan muslimat, yang seterusnya menjanjikan tertegaknya akidah yang benar ini di Malaysia khususnya dan diseluruh dunia amnya, sampai bila-bila.

Sesungguhnya kepadaNya sahaja aku berserah dan hanya Dialah tempat terhadap pergantunganku pada segenap urusanku.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم 


والحمد لله رب العالمين


.......................................................................................................................................................


End Note

(1) Imam Abu Hasan al Asya’ri, oleh Syeikh Muhammad Fuad al Maliki ms: 29

(2) 40 Hadith Peristiwa Akhir  Zaman oleh Syeikh Fahmi Zam Zam ms : 73

(3) Sangat banyak propaganda yang dicanangkan mazhab ini, tiada lain melainkan untuk mendapat populariti dan  sebab berlakunya ialah kefahaman yang salah dalam agama. Moga Allah menghentikan niat keji mrereka. Antaranya ;
-    Menhina Allah dengan menyamakanNya dengan makhluk
-    Menghina Rasulullah dengan menyamakannya dengan orang biasa, kata mereka seperti posmen yang menyampaikan ‘surat’ al Quran lalu mati seperti orang biasa.
-    Menghina ulama yang tak sealiran dengan mereka hingga tahap mengkafirkan kebanyakan mereka, seperti memanggil Imam Abu Hanifah dengan Abu Jifah (bapa bangkai) dan banyak lagi!

(4) Inilah hakikat ‘pengajian‘ mereka. Berasa cukup dengan sekadar membaca tanpa memerlukan bimbingan guru  , lalu memahamkannya dengan kefahaman mereka yang senteng, akhirnya menubuhkan idea-idea yang bertentangan langsung dengan I’tiqad sbenar Ahli Sunnah.

(5) Jika dilihat ditimur tengah, puak ini hanya memakai egal dan meninggalkan serban dan kopiah yang lebih dekat dengan Sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  .

(6) Ini juga masalah yang kerap ditimbulkan oleh pentaksub ajaran  ini, hingga menyebabkan perbalahan; bermula antara  adik-beradik hingga ke peringkat orang awam  di sesebuah kampung. Perkara  furu’/kecil dalam agama ini tidak seharusnya menghalalkan caci maki antara mereka, hasad dengki dan permusuhan yang berlarutan. Moga-moga Allah menghentikan niat buruk mereka  dan menjaga hal ehwal kita.

(7) Telah ijma’ ahli al haq tentang keharusan  bacaan al Quran kepada mayat (bagi orang yang hidup sama ada anak atau orang yang tidak ada pertalian darah dengannya). Kata  Imam al Syafie: jika mereka membaca di atas kuburnya beberapa ayat dari ayat-ayat al Quran, maka ia adalah baik. Jikalau mereka membaca keseluruhan al Quran, ia adalah lebih baik.  Ini di naqalkan oleh Imam al Nawawi di dalam Riadh al Solihin. Lihat Aqidah Islam, Aqidah Yang Diakui Fakulti Usuluddin Universti al Azhar, terjemahan Syeikh Muhammmad Fuad. Ms 68-69



150am 5.11.09 ujang1230

0 ulasan:

Post a Comment

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan