-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Thursday, October 15, 2009

Maha Suci Allah dari menyerupai makhluk-makhluk.

Mukhalafatuhu lilhawadith

بسم الله الرحمن الرحيم
             وبه نستعين على أمور الدنيا والدين وصلى الله على سيدنا محمد المبعوث رحمة للعالمين  وعلى آله وصبه أجمعين

    Di antara sifat-sifat Allah yang wajib kita imani ialah bersalahan (Zat, sifat-sifat dan pentadbiran) Allah Taala dengan makhluk-makhlukNya, sesuai dengan firmanNya:
                    لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِيْرُ 

‘‘Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiran)Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.’’ (al Syura: 11)

Tanpa berlengah lagi disini saya berbesar hati untuk mengenengahkan pendapat-pendapat ulama’ yang berkaitan dengannya:
                .......................0.........................

1) Telah berkata Syeikh Mahmud Khattab al Subki di dalam Ittihaf al Kainaat:
وَقَدْ قَامَ  إِجْمَاعُ السَلَفِ وَالْخَلَفِ عَلَى أَنَّ مَن اعْتَقَدَ أَنَّ اللهَ  تعالى فِي جِهَةٍ فَهُوَ كَافِرٌ

Dan telah berlaku ijma’ ulama’ Salaf dan Khalaf, bahawa sesiapa yang beri’tiqad bahawa Allah Taala berada di suatu arah adalah kafir,” sebagaimana yang dijelaskan oleh al Hafiz al Iraqi  رحمه الله .
Ini bersesuaian dengan  dengan pendapat Imam Abu Hanifah, Malik, Abu Hasan al Asya’ri dan al Baqilani.

2) Imam al Tohawi رضي الله عنه   berkata di dalam kitabnya yang Aqidahnya yang masyhur:
I’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah yang berada  di atas jalan Feqah Islam  seperti Imam Abu Hanifah, Abu Yusuf dan Muhammad ibn al Hasan  ضي الله عنهم , Maha Suci Allah daripada mempunyai sempadan, penjuru, anggota, peralatan dan Dia tidak dikuasai oleh arah yang enam (atas, bawah,kiri, kanan,hadapan dan belakang ) seperti perkara ciptaanNya.     


Al Istiwa’.

Adapun perbahasan mengenai istiwa’ iaitu duduk seperti di dalam ayat :
الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرِشِ اسْتَوَى
Iaitu (Allah) yang beristiwa’ di atas arasy (menurut cara yang layak baginya)”

Maka tafsiran ulama’ terhadap  istiwa’ ialah:

1)  Imam Abdullah bin Alawi al Haddad berkata dalam kitabnya Aqidah Islam:
“Dia (Allah) beristiwa’ di atas ArasyNya mengikut rupa yang difirmankanNya, dengan makna  yang dikehendakiNya dan dengan keadaan yang layak dengan kemuliaan kebesaranNya, ketinggian kemuliaanNya dan keagunganNya.”

Berkata pensyarah kitab ini Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki :
    (Allah beristiwa’) dengan sesuatu  yang layak bagiNya sebagaimana pegangan Ahli Salaf. Mereka mensucikan Allah daripada sesuatu yang tidak layak dengan kebesaran Allah disamping menyerahkan maknanya kepada Allah. Tidak sebagaimana sebahagian golongan yang mentafsirkan dan mengharuskan Allah berada di atas Arasy dalam keadaan duduk sebagaimana raja yang bersemayam di atas singgahsananya.

    Ini kerana, seseorang insan tidak mampu untuk menentukan kadar Allah. Seseorang manusia yang tidak akan mampu untuk menentukannya. Maka sebagai mengambil jalan yang lebih selamat, kita menyerahkan  sahaja urusan ini kepada Allah Taala dan inilah pegangan Ahli Salaf (ulama’ pada abad pertama,kedua dan ketiga ).

    Manakala Ahli Khalaf (ulama’ selepas abad ketiga) mentakwilkan maknanya dengan pengertian yang selayaknya dengan kebesaran Allah Taala. Maka makna istiwa’ disisi mereka ialah memerintah dan memiliki Arasy.    

2) Imam Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki  رضي الله عنه   berkata mengenai istiwa’ di dalam kitabnya Qul Hazihi Sabili:

Istiwa’ Allah adalah yang layak dengan keagungan, ketinggian dan kebesaranNya. Maka beriman  dengan istiwa’ adalah wajib, meskipun tidak mengetahui hakikat sebenar Arasy dan cara Allah beristiwa’ . Apabila telah jelas petunjuk yang menerangkan bahawa Allah suci dari mendiami sesuatu, suci dari sebarang tempat, arah dan perkara-perkara yang lazim  dialami oleh sesuatu yang baru (makhluk), maka wajiblah istiwa’Nya  di atas Arasy itu tidak membawa makna istiqrar (tinggal) dan tamakkun (menetap). Bahkan, hendaklah dii’tiqadkan dengan makna yang layak bagi keagungan Allah Taala.   

3) Imam al Ghazali رضي الله عنه  berkata:
Manakala lafaz-lafaz yang terdapat di dalam al Quran dan Sunnah, iaitu lafaz-lafaz yang membawa kemusykilan yang zahirnya menyebabkan orang menyangka bahawa Allah Taala bersifat dengan suatu gambaran makhluk, mempunyai jisim dan selanjutnya seperti bersemayam , datang, turun, tangan, kaki, gambar dan seumpamanya, maka wajib bagi yang mendengarnya, mengi’tiqadkan beberapa perkara:

I.  Menyucikan Allah Taala dari berjisim dan rentetan-rentetannya.

II. Membenarkannya iaitu mengi’tiqadkan secara pasti bahawa lafaz-lafaz ini membawa maksud yang      layak dengan kebesaran dan keagungan Allah. Sesungguhnya apa yang yang telah Allah sifatkan     mengenai diriNya dan yang telah disifatkan Rasul-rasulnya adalah sesuatu yang benar dan hak     berdasarkan apa yang difirmankan olehNya dan makna yang dikehendakiNya.

III. Mengi’tiraf dan mengakui kelemahan diri bagi  sesiapa yang tidak memahami hakikat maknanya dan      tidak mengetahui pentakwilannya, di samping beri’tiqad bahawa makna-makna ayat ayat yang disembunyikan ini dan diselindungkan rahsia-rahsianya itu, tidaklah terselindung daripada Rasul,           Siddiqin, sahabat-sahabat yang besar, para wali dan ulama’ yang mantap ilmunya.
            Sesungguhnya           terselindung makna-makna ini daripadnya disebabkan kelemahannya dan kekuatannya yang sedikit.Maka tidak seharusnya  dia mengukur kemampuan dirinya dengan kemampuan orang lain.

IV. Menahan diri dari menyelenggarakan lafaz-lafaz tersebut dengan menafsir, menukar ataupun      mengosongkannya (ketika membaca al Quran). Maka tidak boleh menukar sedikitpun dari lafaz-lafaz tersebut dengan lafaz lafaz      lainnya. Begitu juga, tidak boleh ia diterjemahkan kepada bahasa lain sekalipun terlaksana maknanya.      Tetapi cukuplah diucapkan lafaz tersebut dengan sighahnya (ucapannya) sahaja sebagaimana yang       didatangkan di dalam al Quran.

             Oleh yang demikian, para Salaf telah membekukannya dan mendiamkan diri tanpa mentafsirkannya. Bahkan, cukup dengan menyebut lafaznya  sebagaimana diturunkan.

     Yang paling tepat adalah sebagaimana yang mereka nyatakan, kerana tempat yang paling berhak untuk berhati-hati ialah pentakwilan Zat dan sifat-sifat Allah Taala. Anggota yang paling berhak untuk  ditahan dan diikat ialah lisan kita dari mengucapkan sesuatu yang mempunyai bahaya yang besar.
Apakah kemerbahayaan yang lebih besar dari kekufuran???



Rujukan ; AQIDAH ISLAM oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki. Halaman 25-29. Cetakan Koperasi al Sofa. 2009 .Ampang. Selangor
  

0 ulasan:

Post a Comment

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan