بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله بنعمته تتم الصالحات والصلاة والسلام على خير الكائنات سيدنا محمد وعلى آله وصحبه
Mengenang Ulang Tahun Kewafatan Ayahanda Kami Guru Yang Tercinta:
Prof. Dr Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki رضي الله عنه
Sayyid Muhammad bin Alawi Al Maliki ialah salah seorang ulama Islam yang terutama desawarsa ini tanpa ragu lagi, ulama yang paling dihormati dan dicintai di kota suci Makkah.
Beliau merupakan keturunan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, penghulu Ahlil Bait, Imam Hadis di zaman kita, pemimpin keempat-empat mazhab, ketua rohani yang paling berkaliber, pendakwah ke jalan Allah, seorang yang tidak goyah dengan pegangannya di dunia ilmiah Islam turath. Menziarahi beliau merupakan suatu kemestian kepada para ulama yang menziarahi Makkah.
Beliau adalah seorang alim besar berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Lahir pada tahun 1947. Beliau memperolehi ijazah Ph.D dari universiti al Azhar dalam usia 25 tahun (rakyat Saudi yang memperolehi ijazah kedoktoran dari al Azhar dalam usia paling muda) dalam bidang Hadith.
Pada tahun 1970, beliau ditawarkan untuk menjadi tenaga pengajar sebagai Profesor Dirasah Islamiah (Pengajian Islam) di Universiti Ummul Qura, Mekkah. Setelah ayahandanya (Sayyid Alawi bin Sayyid Abbas al Maliki) meninggal dunia pada tahun 1971M, Sayyid Muhammad menggantikan ayahaandanya mengajar di Masjid al Haram, yang mana kuliah pengajiannya ini amat diminati oleh ribuan pelajar dari seluruh dunia khasnya dalam bidang Hadith dan Tasauf.
Setelah menerbitkan bukunya yang bertajuk Mafahim Yajib An Tusahhah (Kefahaman-Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) pada tahun 1983, yang telah mencabar kreadibiliti Ulama' Saudi yang menjadikan Wahabi sebagai mazhab rasmi kerajaan, beliau dihalang dari mengajar di Masjid al Haram dan dihalau sehingga beliau berpindah ke Rusaifah (10km dari Masjidil Haram) dan membina ribat atau pasantren (sekolah) persendirian bagi terus menyampaikan kefahaman Ahli Sunnah yang sebenar kepada murid-muridnya dari serata pelusuk dunia.
Mulai 1983, beliau menumpukan fikirannya untuk mengajar dan menulis, karyanya hampir seratus buah kitab yang diterbitkan di luar negara Arab Saudi. Dua buah kitab yang bertajuk Manhaj al Salaf Fi Fahm al Nusus dan Mafahim Yajib An Tusahhah hampir lima puluh kali diulang cetak dan telah beredar di seluruh dunia. Suka cita dimaklumkan bahawa kitab Mafahim Yajib An Tusahhah ini telah pun diterjemahkan ke bahasa Melayu, dibawah terbitan Sofa Production, no: 019 379 5577.
Beliau kembali ke Rahmatillah pada 15 RAMADHAN AL MUBARAK 1425H, semoga Allah sentiasa mencucurkan rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabbal Alamin.
.......
Semoga kita dapat menghayati perjalanan hidup beliau ini, seterusnya melayakkan kita dihimpunkan kelak bersama mereka kelak amin..
Semoga kita dapat menerima pandangan rahmatnya dari barzakh sana, sehingga menguatkan azam dan himmah kita untuk menjalani kehidupan yang amat mencabar ini..
Semoga kita sentiasa mendapat pandangan kasih sayang dan doa khususnya, yang dengan ini merawat segala penyakit jiwa, memudahkan urusan, dan menguatkan kita untuk menaikkan bendera Sunnah yang suci ini....
Ya Allah gembirakanlah kami dengannya, dan gembirakanlah dia dengan kejayaan kami!
Ya Allah dengan berkat Ramadhan, perkenankanlah doa kami...
ألا يالله بنظرة من العين الرحيمة **
تداوي كل ما فيه من أمراض سقيمة
تداوي كل ما فيه من أمراض سقيمة
- Disesuaikan dari kitab Kajian Mendalam Ke Atas manfaat Amalan Orang Hidup Terhadap Arwah.
Oleh Abuya Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki
Terjemahan Abu Mazaya al Hafiz
0 ulasan:
Post a Comment