-Pengumuman-

Baru-baru ini saya telah mengasaskan sebuah blog bertemakan Bahasa Arab. Jadi sesiapa yang berkelapangan, jom singgah sebentar di blog bahasa saya di; http://studyarab.blogspot.com/

Ahlan wa Sahlan!

Pages

Saturday, December 26, 2009

Kenali ulama’mu: al Muhaddith al Musnid al Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki al Rembawi رضي الله عنه


بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صلي وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله

Himmah Menuntut Ilmu
Kenali ulama’mu:
al Muhaddith al Musnid  al Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin 
al Maliki al Rembawi
رضي الله عنه




    Pada 16 September 1974, kampung Chenong dihiasai cahaya bergemerlapan dengan kelahirannya. Hingga ke pekan Rembau bau-bauan wangian berita kelahirannya telah tersebar keseluruh anggota keluarga sanak saudara serta masyarakat setempat.  Tiada khabar lebih bermakna dari kelahiran satu-satunya anak lelaki dari 5 orang adik-beradik bagi ayahanda bonda Haji Kamaluddin Mahat dan Hajah Zainab Mahmud, yang diharap akan menjadi tonggak keluarga suatu hari nanti.

    Anak kecil ini makin membesar, dan  harapan keluarga tak dipersia begitu sahaja. Seawal usia 8 tahun, beliau sudah mula berjinak—jinak dengan majlis-majlis zikir dan sering menghadiri majlis tersebut yang dipimpin oleh Tuan Haji Rasyid bin Syeikh Haji Muhammad Sa’id di kampungnya. Dengan bimbingannya, beliau telah mengambil ijazah daripada gurunya itu hingga pentarbiahan tasawwuf telah sebati dalam darah dagingnya.

    Semasa berusia semuda ini juga, beliau telah meminta bapanya menghantar beliau belajar di pondok-pondok engajian agama pada musim cuti sekolah. Oleh itu, pada musim cuti sekolah, beliau telah dihantar oleh bapanya ke pondok al Nuriyyah Sungai Udang, Melaka, untuk belajar agama dan Bahasa Arab. Sekalipun ketika itu usia beliau masih terlalu muda, beliau telah menunjukkan contoh yang baik sama ada dari aspek kelimuan mahupun akhlak kepada murid-murid lain yang kebanyakannya lebih tua daripadanya.

    Aktiviti persekolahan tidak menjejaskan aktiviti keilmuan dan kerohaniannya, malah menjadikan sekolah sebagai tempat untuk mengasah bakat berpidato hingga berjaya meraih Naib Johan Pidato Islam ketika di peringkat menengah. Dua tahun terkemudian pula dihabiskan untuk menuntut di Maahad Ahmadi, satu-satunya sekolah Negeri Sembilan yang menyediakan pengajian Thanawi, yang akan melayakkannya ke Universiti al Al Azhar, Mesir.   

    Merasai ilmu di dada masih belum memadai, lalu beliau berpindah ke Madrasah al Nahdah al Hasanah, Kedah untuk lebih mendalami pengajian Agama dan Bahasa Arab dengan guru-guru pondok di sana. Syeikhnya al Marhum Dato’ Mursyid Diraja al ‘Allamah Syeikh Hj. Tajuddin yang merupakan bekas Pengerusi Ahli Majlis Fatwa Malaysia, amat berbangga dengan pemuda ini, hinggakan surat yang dikirimkannya dari al Azhar dibacakan di khalayak ramai untuk menjadikan beliau roll model bagi pelajar yang lain.

    Keberangkatannya ke al Azhar dilakukan sebaik sahaja menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STA), iaitu ketika berumur 19 tahun. Adat ulama’ salaf meninggalkan tanah air untuk menuntut ilmu adalah lumrah daie dalam menyempurnakan misi hidupnya. Kata Ibnu al Wardi:

حبّك الأوطان عجز ظاهر ۞ فاغترب تَلْقَ عن الأهل بدل

Keinginanmu tinggal di kampung merupakan suatu kelemahan yang ketara. Oleh itu pergilah merantau mencari ilmu pasti kau temukan ganti dari keluarga yang ditinggalkan.

    Ini mengingatkan kita pada kepada perjuangan salafus soleh yang sanggup berkorban, menghadapi kesusahan dan meninggalkan keluarga, harta dan tanah air. Antaranya Saidina Jabir bin Abdullah yang bermusafir selama sebulan untuk menemui Abdullah bin Unais semata-mata untuk meriwayatkan satu hadih daripadanya.
  
    Semangatnya semakin berkobar-kobar selari usia mudanya. Walaupun begitu beliau, tidak seperti anak muda lain, tidak sedikitpun waktunya dibazirkan pada perkara-perkara yang melalaikan dan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan menuntut ilmu seperti berniaga, hiburan yang melampau dan sebagainya.  

    Beliau sibuk bertungkus-lumus memenuhi hidupnya dengan ilmu dan amalan rohani. Lantaran cemburukan ketinggian ilmu ulama’ lampau yang terkenal dengan kepakaran dan keilmuannya yang tinggi, beliau berhasrat untuk  menjejaki cara-cara mereka dalam pembelajaran iaitu antaranya dengan bertalaqqi. Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana, itulah rutin pengajian beliau bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari.

    Katanya : "Saya akan pergi berguru secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid," kata pemuda yang yang amat memuliakan kesemua gurunya."

     Walaupun tidak melazimi pengkuliahan al Azhar, tetapi kerana kepercayaan orangg ramai terhadap ilmunya, beliau telah diminta untuk membuka tusyen bagi  para pelajar walaupun berlainan kursus darinya.

    Sebagaimana beliau amat mencintai dan menyayangi guru-gurunya, seperti itu juga para Syeikhnya juga mengasihinya. Kata beliau lagi: "Kadang-kadang jika saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih, yang mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ."

    Begitulah keakraban yang amat jelas dipaparkan, hasil kasih sayang antara dua insan murid dan guru yang menatijahkan keberkatan dan kefahaman yang sohih tentang ilmu.
 
Antara guru-gurunya    رضي الله عنهم  di Mesir ialah:
Syeikh Abdul Ghani al Jaafari, Syeikh Toriqat Ahmadiah Jaafariah
 

-    Syeikh Abdullah al Syura. Kitab yang dipelajari Tuhfatul Murid a’la Jauharah al Tauhid, Syarh Ibn Aqil dan Kifayatul Mukhtar.
-    Syeikh Mahmud al Adawi, Imam Besar Masjid Syeikhah Sobah di Tonto. Kitab yang dipelajari Iqaz al Himam fo Syarh Hikam, Qalyubi wa al Humairah Hawi lil Fatawa dll.
-    Syeikh Dr Ali Juma’ah, Mufti Mesir. Kitab yang dipelajari Sohih Muslim dan Jam’u al Jawami’  
-    Syeikh Abdul Ghani bin Soleh al Ja’fari. Beliau telah mengijazahkan pemuda ini Tariqat al Ja'fariah al Ahmadiah al Muhammadiah dan sanad ayahandanya Imam Besar Masjid al Azhar Syeikh Soleh bin Muhammad al Ja’fari.

    Seperti mana yang kita sedia maklum al Azhar adalah lubuk para ilmu dan pengetahuan, destinasi terakhir orang yang dahagakan makrifat, dimana lahir daripada barisan ulama; selaku kader-kader untuk membenteng agama Allah ini dari serangan musuh. Walau bagaimanpun sifat ingin tahunya meronta-ronta memujuk untuk terbang ke tanah Hijaz untuk menuntut ilmu terus dari guru utamanya serta murabbinya kini dan selama-lamanya al Mufassir al Muhaddith al Allamah al Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki.


Biarlah pasangan kekasih ini menceritakan detik-detik indah, dua pandangan mata bertemu, lalu terputiklah cinta…

(di Madrasah al Taufiqiah al Husainiah, Kg Chenong, 
Chengkau, Rembau N. Sembilan. 2003M)

    "Pertemuan pertama saya dengan beliau ialah ketika saya berada di bawah pentarbiahan Syeikh Abdul Ghani Soleh al Ja’fari. Ketika itu saya menghadiri majlis hadarah (bacaan qasidah dan nasyid memuji Allah dan Rasul) yang diadakan di Dirasat Kaherah, Mesir. Ketika bacaan madih (nasyid memuji Allah dan Rasul) dialunkan, semua orang bingkas bangun. Bacaan madih diberhentikan dan ditukar dengan bacaan madih ‘‘Ahlan wa Sahlan binnabiyy,’’  seolah-olah ada orang besar dan hebat hadir dalam majlis tersebut.

    Tiba-tiba saya melihat seorang yang begitu hebat dan bercahaya wajahnya, masuk ke dalam majlis tersebut. Beliau disambut dengan penuh penghormatan oleh semua hadirin. Kemudian Syeikh Abdul Ghani memperkenalkan bahawa beliau ialah Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki رضي الله عنه , seorang ulama’ dan imam besar dari Hijaz.

    Semenjak hari bersejarah dan besar maknanya itu, perasaan kasih kepadanya mula tertanam di dalam hati ini dan dari hari ke hari hati saya meruntun untuk bertemu dengannya lagi. Malah setiap kali saya pergi mengerjakan umrah, saya tidak sesekali melepaskan peluang menziarahi beliau di rumahnya di Rusaifah, Mekah."


    Setiap kali ke Mekah al Mukarramah majlis Sayyid Muhammad adalah tujuan yang utama selepas menunaikan umrah. Bagi pemuda ini, adalah menjadi suatu kenikmatan apabila dapat bersama para ulama, apatah lagi apabila mereka menuturkan mutiara hadith-hadith Nabawi serta menyulaminya dengan syarahan dengan gubahan makna yang indah dan mendalam.

    Diantara kitab yang dipelajari dari Muhaddith Tanah Haram ini ialah Sohih Bukhari, Sunan Abu Daud, Tafsir Ibnu Kathir, Zad al Maad, Fath al Mughith dan al Nasoih al Diniyah.

    Merasai dirinya terlalu kerdil apabila bersama dengan salah satu kebesaran Allah ini- ulama’ rabbani, dihati kecil beliau berdoa dengan yakin agar dapat dikumpulkan dengan Sayyid Muhammad lebih rapat lagi.

Sabda Rasulullah: صلى الله عليه وآله وسلم 
تهادوا وتحابوا

Ertinya: sentiasalah kamu bertukar-tukar hadiah, maka kamu akan saling kasih mengasihi.

    Atas dasar inilah akhirnya pada tarikh 15 Syawal 1423 Hijrah, dengan taufiq dan nikmat Allah, al Muhaddith Sayyid Muhammad  telah menjejakkan kakinya yang mulia di Madrasah al Taufiqiah al Husainiah, Rembau, Negeri Sembilan.

    Buat kali pertamanya, beliau tidak segan silu duduk bersama-sama kami orang kebanyakan a'jam, melupakan darjat dan ketinggiannya sebagai seorang alim  dari Mekah yang berketurunan Saidina Hasan, duduk memberikan seribu satu ilmu dan hikmah.

    Dalam majlis yang amat meriah dan barakah itu, dengan penuh kasih sayang beliau telah berkenan  menyambungkan sanad keilmuannya yang berantaian dengan penghulu-penghulu ahli ilmu, dengan  mengijazahkan semua hadirin ijazah beliau serta Hadith Musalsal  bi al Awwaliyat, Hadith Musalsal bil Mahabbah dan talqin zikir serta mengijazahkan Tariqat al Ahmadiah al Idrisiah.

    Alam makin disinari cahaya, walau siang dah lama menutup tirainya. Pada ketika itu juga Sayyid Muhammad telah menganugerahkan khirqah kepada pemuda ini. Dengan ini termeterinya ikatan antara dua kekasih , terutama selepas Abuya (ayahanda) Sayyid Muhammad telah menggelarkan Ustaz Muhammad Fuad dengan nisbah keluarganya ‘al Maliki.’  Sesungguhnya tiadalah keseronokan dan kenikmatan yang lebih tertinggi daripada dapat bersama para ulama’ dan solihin رضي الله عنهم . Berkata al Arif Billah Syeikh Abu Madyan al Gauthi :

ما لذة العيش ٳلا صحبة الفقراء ۞ هم السلاطين والسادت والأمراء
Ertinya; tiadalah kelazatan hidup di dunia ini melainkan dengan bertemu,bersahabat dan mengambil manfaat dari al fuqara' (iaitu ulama yang kenal Allah), merekalah (pada hakikatnya) sultan-sultan, penghulu-penghulu dan pemerintah-pemerintah.


    Begitulah kehidupan pemuda ini saban waktu dan hari hidup dengan azam dan suntikan yang baru, hasil rembesan lautan ilmu dan berkat guru-gurunya terutama Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki. Ketika ini ku terimbau kata-katanya tentang kesunggguhan menuntut ilmu:


    "Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah maklumat dan ilmu berguna baginya," katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi.

    Dalam menuntut ilmu beliau pernah mengkhabarkan bagaimana beliau mahu menjadikan Imam Nawawi sebagai idola dalam menuntut ilmu, dimana Imam Nawawi menggunakan seharian waktunya untuk belajar 12 subjek beserta syarah dan kupasan. Hasilnya beliau berjaya juga menuntut sebanyak 6 subjek sehari semalam dengan masyaikh-masyaikh  dengan mengunjungi rumah-rumah mereka, tiang-tiang masjid dan sebagainya. Maha suci Allah yang menciptakan insan-insan yang mengorbankan segalanya atas jalan makrifahNya!

    Beliau amat mementingkan izzah iaitu penampilan yang kemas. Baginya selaku penuntut ilmu tidak harus bagi mereka untuk menunjukkan rupa yang selekeh pada masyarakat umum, kerana ia bukan sahaja menunjukkan imej yang kurang sihat terhadap individu itu, malah mungkin menjatuhkan maruah agama yang dipegang oleh penuntut tersebut.

    Justeru permakaian anak-anak didiknya amat dijaga rapi, bersih, tidak berbau dan sentiasa melazimi kopiah walau dimana berada walaupun berada di tengah bandar. Hal ini tidak lebih tidak kurang sama seperti pentarbiyahan Abuya Sayyid Muhammad al Maliki kepada anak-anaknya.

    Sayyid Muhammad seperti mana yang diceritakan oleh Syeikh Fuad sendiri, pada suatu hari telah didatangi oleh anak muridnya di Masjid al Haram untuk belajar darinya, tetapi dengan pakaian yang koyak. Dengan serta merta Abuya mengoyakkan pakaian tersebut seraya berkata :
 "kamu berpakaian sebegini seolah-olah untuk meminta kepada orang ramai berilah aku duit."
Selepas itu beliau memberi pelajar tersebut pakaian yang baru.     

    Berkaitan dengan pakaian lagi, beliau pernah menceritakan perihal dirinya sendiri, antaranya sewaktu di Maahad al Ahmadi, Gemenceh, beliau akan membasuh dua helai pakaian sehari, supaya pakainnya sentiasa bersih dan beliau tak perlu memperuntukkan waktu yang panjang khusus untuk membasuh, kerana sibuk dengan mengulang kaji ilmu  .

    Mengingati tentang cara beliau menyusun waktu, sesungguhnya ilmu adalah waktunya! Kenapa tidak hatta di dalam tandas sekalipun beliau sanggup membuka kaset al Quran dari  luar bilik air, kerena baginya membiarkan watu tersebut tanpa melakukan perkara-perkara keilmuan adalah mensia-siakan satu nikmat Allah!  Natijahnya beliau telah menghafaz al Quran, ketika masih menuntut di Maahad al Ahmadi lagi.

    Beliau menegaskan tidak harus bagi anak-anak muridnya yang dianggap seperti anaknya sendiri, bersuka ria sewaktu orang lain bersuka ria, serta tidak sepatutnya anak muridnya leka ketika orang lain leka. Sesungguhnya bagi penuntut ilmu kerja-kerja dan homework yang banyak. Mereka perlu menghafaz al Quran, hadith-hadith Nabi, matan-matan ilmu serta permasalahan ulama dan lain-lain ilmu. Oleh itu beliau amat tidak bersetuju jika ada dikalangan anak muridnya yang  bercinta atau bekerja ketika menuntut ilmu kerana ia akan mengganggu perjalanan seorang penuntut, jika di benar-benar mahu menjadi alim yang sejati.

    Beliau ada menceritakan kaedahnya mengingati atau mengulang kaji ilmu. Katanya antara cara terbaik mengingati  dan mengukuhkannya dihati ialah dengan mengamalkan muhasabah. Caranya ialah dengan membayangkan sebelum tidur setiap lembaran-lembaran kitab atau al Quran, lalu dibaca dengan hati

Penutup
    Inilah secara ringkas yang amat sangat, tentang realiti kehidupan al Daie ila Allah Syeikh Muhammad Fuad al Maliki, berkaitan semangatnya dalam menuntut ilmu  pada kacamata hamba yang dhaif ini. Inilah yang mampu kusampaikan pada waktu yang singkat ini. hakikatnya, hanya yang Esa bisa mengibaratkan ketinggian kemuliaannya, moha Allah merahmatinya. Hakikatnya ada kata yang tak mampu disampaikan lantaran lemahlah diri serta kurangnya ilmu untuk menterjemahkannya ke bahasa lisan, dan janan tetapi memadailah aku katakan bahawa dialah contoh anak yang soleh, pelajar yang cemerlang, guru yang  alim, suami yang penyayang, alim yang beramal denagan ilmunya, insan termulia yang patut kau dampingi .

    Hari ini beliau ada dihadapan kita, berkata-kata memberikan petunjuk dan nasihat. Justeru rebutlah waktu yang ada perkemaskanlah langkah dan niatmu untuk mendatangi kuliah-kuliahnya, menyusuri denai lautan kitab-kitab tulisannya. Takut-takut, esok siapa tahu qadha Ilahi, jika esok adalah waktunya, tangismu tak berguna apa-apa lagi.

Ingatlah pesan al Arif Billah al Suhrawardi dalam suruhan mengikut ulama’
فتشبهوا ٳن لم تكونوا مثلهم ۞ ٳن التشبه بالكرام فلاح

Serupailah mereka (para ulama dan solihin) walaupun kamu bukanlah dari golongan mereka.
 ۞ Sesungguhnya dengan menyerupai mereka (dalam berakhlak, menuntut ilmu , berpakaian dan lain-lain) adalah suatu kejayaan dan kemuliaan yang besar disisi Allah!

Moga-moga Allah panjangkan umurmu dalam ketaatan! Cucurilah rahmat ke atasnya dengan seluas-luas rahmat. Kurniakanlah kami al taufiq dan hidayah untuk mengikutinya yang berjalan diatas manhaj salaf soleh, secara jaga dan bersendirian. Amin Amin!!

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله في كل لمحة ونفس عدد ما وسعه علم الله. 


16 ‎كانون الأول, ‎2009, ‏‎06:52:47 م



Ahlu al Haq


Biarlah apa yang orang katakan • tetapi engkau tetap disana menegak keadilan
tak takut menghadapi bencana• walau didalam sangkar singa
tak gentar hadapi taufan • walau kau disana berseorangan
demi Allah kau tak bersendiri (dalam menegakkan al haq) •
malah bersamamu penghulu2 dan sultan2 (solihin & para ulama)
benarlah dan telah terbuktilah sabda Baginda pada dirimu • kaulah sebaik-baik teman dan rakan

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرة على الحق حتى يأتي أمر الله، لا يضرهم من خذلهم
رواه البخاري ومسلم والترميذي

‘‘ Sentiasalah wujud sebuah kumpulan dari kalangan umatku yang menzahirkan hak kebenaran yang betul-betul sohih hinggalah datang perintah Allah, mereka tidak dapat dimudharatkan oleh musuh-musuh mereka. ’’



Kata Syeikh Abu Madyan al Ghausi رحمه الله 
ما لذة العيش ٳلا صحبة الفقرا ۞ هم السلاطين والسادات والأمراء
‘‘Tiadalah keseronokan dunia melainkan dengan berdamping dengan al fuqara’ ۞ merekalah (pada hakikatnya) sultan-sultan penghulu-penghulu dan raja-raja’

Hijrahkan nafsumu dari dirimu!

    Sesungguhnya peristiwa HIJRAH menyimpan terlalu banyak makna dan rahsia. Mengenali kisah hijrah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan sahabat menyingkap betapa besar dan pentingnya pengorbanannya yang telah mereka lakukan hingga hari ini kita dapat menikmati nikmat terbesar; Islam, Iman dan Ihsan.

    Sesungguhnya HIJRAH merupakan kebangkitan menumpaskan kesyirikan dan kaum musyrikin yang berusaha menghancurkan aqidah Islam.

    Sesungguhnya  HIJRAH bertalian rapat dengan soal keimanan, dan ia tidak boleh dihalang oleh apa-apa samada ibu bapa, anak, isteri mahupun keluarga. Allah Taala berfirman;



" Katakanlah (wahai Muhammad) : Jika bapa-bapa kamu , anak-anak kamu , saudara-saudara kamu , isteri-isteri (atau suami-suami) kamu , kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu  cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan Keputusan NYA (azabNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka.)"

    Kisah HIJRAH merupakan kisah keimanan yang sebati di dalam hati, kisah aqidah yang menjadi darah daging dalam diri para sahabat terdahulu hingga sanggup mempertahankan agama dengan segala yang mereka miliki hingga tertegaknya Islam sehingga dapat kita kecapi hari ini.   

    HIJRAH Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ke Madinah bukan melarikan diri atau pun takut, tetapi membuka gerbang kebaikan dan keberkatan kaum Muslimin.

    HIJRAH adalah kebangkitan melawan  & menumpaskan  kemusyrikan. Ketika itu Muslimin yang merupakan golongan minoriti di Mekah sering ditindas, maka perjalanan HIJRAH  ini adalah strategi Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menyelamatkan mereka dari disiksa.   

    HIJRAH adalah pelajaran yang penting untuk menguatkan aqidah membesarkan jiwa dan meneguhkan keimanan dijalan memperjuangkan agama Allah, meninggikan kalimahNya dan menyebarkan dakwah dan risalah Islam.  Hasilnya setelah HIJRAH, umat Islam semakin berkembang, tentera Islam semakin menyerlah dan bendera Islam semakin kencang berkibar.  

    Dakwah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ini, telah meniggalkan kesan kedalam hati para sahabat sehingga mereka sanggup meninggalkan kampung halaman yang mereka cintai (Mekah.) Padahal, perpisahan dengan kampung halaman adalah sesuatu yang amat memedihkan, lebih-lebih lagi peluang untuk kembali terlalu sukar hinggalah ajal menjemput mereka.

    Namun ternyata perpisahan itu lebih mereka sukai daripada dunia dan segala kenikmatannya. Mereka lebih mengutamakan agama daripada dunia dan tidak peduli dengan kehilangannya. Mereka tidak mengendahkan semuanya itu tetapi terus melarikan diri dari satu kota ke satu kota demi menjaga agama mereka daripada fitnah.

    Seolah-olah mereka diciptakan untuk akhirat, maka jadilah dunia berkhidmat untuk mereka. Orang-orang tua, kanak-kanak kecil, kaum lelaki dan wanita berhijrah dari Habsyah, lalu ke Madinah al Munawwarah.

    Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah meluaskan  pengertian HIJRAH, iaitu berhijrah daripada apa yang dilarang oleh Allah dengan meninggalkan maksiat.

    HIJRAH bukan barangan antik untuk tatapan semata-mata seperti hikayat-hikayat atau sejarah-sejarah biasa. Tetapi lebih dari itu, ia mesti dihayati dan diteladani semua umat Islam. HIJRAH yang sebenar ialah HIJRAH dari
  
- keilmuan kepada kejahilan
- cinta makhluk kepada cinta Khaliq (Allah Taala).
- rakus dunia kepada rakus akhirat.
- bakhil kepada dermawan

    Kerana HIJRAH  adalah kisah keimanan,penyatuan dan pengorban, marilah kita bersama-sama memperjuangkan agama yang benar ini hingga sampai ke matlamatnya. Syeikh Ibn Atoillah al Sakandari berkata
لا ترحل من كون ٳلى كون فتكون كحمار الرحى يسير، والمكان الذي ارتحل ٳليه هو الذي ارتحل منه، ولكن ارحل من الأكوان ٳلى المكوّن، وأن ٳلى ربك المنتهى.

 "Janganlah kamu bergerak dari satu alam hanya ke satu alam, maka jadilah kamu seperti keldai pengisar yang berjalan di sekitar pengisarnya sahaja; ia berjalan menuju ke tempat tujuannya dan tiba semula di tempat ia bermula. Tetapi berjalanlah dari semua alam kepada Pencipta alam. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah kemuncak segala tujuan".

(( Ringkasan dari- perutusan Maal HIJRAH Masjid Darul Ehsan. Muharram 1431/Desember 2009))

AHLAN WA SAHLAN YA MUHARRAM!!

   
   Alhamdulillah, kita diizinkan Allah SWT untuk memasuki tahun hijrah yang baru. Umat Islam menyambutnya dengan cara yang berbeza. Ada yang hanya menyedari ketibaannya kerana ia ditentukan sebagai cuti umum.

    Ramai juga yang menyambutnya dengan mengatur pelbagai majlis dan acara termasuk berkumpul di masjid dan surau dengan pengisian seperti bacaan doa akhir dan awal tahun, bacaan al-Quran, selawat dan tazkirah.

    Tanpa menafikan kepentingan dimensi luaran peristiwa ini, adalah perlu diinsafi bahawa hijrah luaran dan fizikal ini tidak akan berhasil dan bermakna tanpa disertai hijrah rohani dalam hati dan jiwa umat.

    Hakikat ini ditegaskan dalam sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dalam hadis yang masyhur mengenai niat dan amalan, "Sesungguhnya amalan itu ditentukan oleh niat, dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang ingin diperolehinya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya adalah kepada apa yang menjadi maksud hijrahnya".

    Sangat jelas dalam hadis ini yang merupakan antara induk segala hadis bahawa sebesar mana pun amalan agama seseorang itu, penentunya adalah niat dan maksud dalaman di sebalik amalan tersebut.

    Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari رضي الله عنه menegaskan perlunya berlaku hijrah dalam diri kita keluar daripada keterikatan dengan alam-alam (kawn/ akwan) menuju kepada Sang Pencipta alam (Al-Mukawwin).

Beliau berkata:
لا ترحل من كون ٳلى كون فتكون كحمار الرحى يسير، والمكان الذي ارتحل ٳليه هو الذي ارتحل منه، ولكن ارحل من الأكوان ٳلى المكوّن، وأن ٳلى ربك المنتهى.

 "Janganlah kamu bergerak dari satu alam hanya ke satu alam yang lain maka jadilah kamu seperti keldai pengisar yang berjalan di sekitar pengisarnya sahaja; tempat tujuan perjalanannya sama dengan tempat asal perjalanannya.

"Tetapi hendaklah kamu bergerak (berpindah) dari semua alam kepada Sang Pencipta alam. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah puncak segala tujuan".

Perhatikanlah sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , "Dan sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya …(hingga akhir hadis)"

Inti kepada peringatan Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari رضي الله عنه ini adalah

  1. - Agar kita membulatkan keikhlasan kita kepada Allah Taala dalam segala amalan kebaikan kita.
  2. - Tumpuan hati kita dalam beribadat adalah keredaan Allah Taala semata-mata.
  3. -  Hendaklah dielakkan ingatan kepada yang selain Dia hatta terhadap soal perhatian dan pandangan mulia oleh makhluk, karamah, ganjaran pahala, mahligai atau bidadari syurga walaupun ini adalah sunnah Ilahi bagi mereka yang bertakwa.

    Kesemua perkara ini hakikatnya masih merupakan alam dan makhluk. Kita masih belum berhijrah menuju Allah Taala dengan sebenar-benarnya jika masih terikat tumpuan kepada alam dan makhluk.

    Harus diingat bahawa sesungguhnya Allah Taala itu amat cemburu. Dia tidak suka dan reda jika seseorang yang menuntut-Nya turut mencari sesuatu yang selain Dia di samping-Nya.

    Oleh itu, tidak akan sampai kepada-Nya seseorang yang masih terdapat di hatinya keinginan hawa nafsunya.

    Hijrah dalam erti kata ini juga bolehlah dirumuskan sebagai berpindah dari tiga negeri kepada tiga negeri iaitu:

-    Dari negeri maksiat ke negeri taat.

-    Dari negeri kelalaian ke negeri kesedaran.

-    Dari alam asybah (jasad) ke alam arwah (roh).

    Sheikh Ibnu ‘Ajibah رضي الله عنه juga meriwayatkan pesanan gurunya رضي الله عنه bahawa jika kita hendak menilai sama ada kita sedang benar-benar berpindah dari alam dunia menuju alam malakut atau tidak, kita hendaklah membentangkan segala keinginan dan kecenderungan kita satu persatu.

    Jika kita mendapati bahawa kita telah meninggalkannya dan perasaan kasih terhadap kesemuanya telah keluar daripada hati kita maka barulah kita boleh bergembira.

    Mengeluarkan kecintaan dan keinginan terhadap selain Allah SWT bukanlah suatu yang mudah dan akan terjadi dengan sendiri. Ia menuntut keazaman, kesungguhan, perancangan, panduan dan bimbingan.

    Satu perkara yang tidak harus luput daripada perhatian kita dalam merenungi hijrah adalah bagaimana peristiwa tersebut menagih perancangan, keperitan dan pengorbanan yang tinggi daripada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan generasi awal Islam yang merupakan generasi para kekasih Allah رضي الله عنهم .

    Jika mereka yang paling dikasihi Allah ini pun terpaksa bersusah payah merancang dan berkorban demi mendaulatkan Islam, maka sudah tentu kita hari ini perlu bersedia untuk berkorban dan berjerit-payah jika kita benar-benar serius dengan agama kita.

(Rujukan utama: Kitab Cahaya yang Lurus: Syarah Hikam Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari oleh Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki رضي الله عنهم (Kuala Lumpur, Sofa Production, 2007)

Lambaian Zulhijjah

       Aku mencari-cari arah dalam detik-detik akhir bulanmu Zulhijjah… arah yang tepat untuk kubidikkan panah fikiran yang disulami amalan, dalam menterjemahkan pengorbanan yang hakiki kepadaMu ya Allah! Pada itu aku disedarkan. Ya disana ada pintu pengorbanan..

      Korban-melakukan sesuatu yang bersalahan kehendak hati malah  kadangkala waras akal insan yang sempurna, tetapi kerana mengikut arahan Kekasih, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan.

      Itulah yang berlaku pada imbauan sejarah Nabi Ibrahim dan putera kesayangannya. Bayangkan anak yang baik budi pekertinya, tampan lagi soleh; takkan tergamak seorang ayah untuk membunuhnya tanpa apa-apa sebab yang jelas.

       Tetapi orang-orang yang benar itu, Allah tetapkan hati mereka dijalan yang tepat dan tidak berganjak sesekali. Walaupun tidak diketahui hikmahnya, dan tidak berhajat untuk mengetahuinya; tetapi hati telah benar-benar jazam bahawa ada hikmah disebalik cerita dan Dia bukanlah penzalim terhadap hambaNya.

      Dalam keadaan redha Baginda mula memulakan penyembelihan, seperti itu juga tenang hati anaknya Nabi Ismail menyahut seruan Tuhannya menjadi korban untuk Yang Maha Esa.    

    Pasti ia adalah permainan minda, emosi diikuti amalan jasmani yang membuktikan pengabdian yang total kepadaNya. Bukanlah sekadar cakap-cakap lantang seseorang pemimpin di atas dewan atau tempikan-tempikan peniaga di tengah-tengah pekan.  

      Moga-moga Allah mentaufiqkan kita untuk memahami yang tersurat, menyelami lautan makna-makna yang tersirat dari kisah yang pendek ini, lalu dapat diadaptasi dalam amalan  seharian.

ٳن الذكر تنفع المؤمنين

‘Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman.’

‎05 ‎كانون الأول, ‎2009, ‏‎10:59:22 م

About Me

My photo
Aku hanya hamba kepada Tuhannya, Khadim yang berusaha untuk menyububurkan benih aqidah yang benar sejajar dengan perlembagaan Ahli Sunnah wal Jamaah. Guru bahasa Arab di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan