(( فضائل الصلاة والسلام على خير الأنام ))
صلى الله عليه وآله وسلم
Segala puji dan puja dikhususkan kepadaMu ya Allah. Salawat dan Salam ke atas Junjungan agung Nabi Muhammad; Rasul, hamba dan kekasihMu, serta ke atas sekelian keluarga dan sahabatnya yang mulia.
Kali ini, al haqir akan mengeluarkan beberapa potong hadith dan kata-kata para ulama’ dalam konteks galakan memperbanyakkan salawat dan salam ke atas Rasulullah صلىّ الله عليه وآله وسلم .
Kesemua hadith yang saya pilih ini, adalah diambil terus dari kitab jawi lama; kitab Khulasah Al-Asrar fi Al-Solat Wa Al-Salam Ala Sayyid Al-Abrar صلىّ الله عليه وآله وسلم karangan Syeikh Abdul Qadir bin Syeikh Abdul Rahman Al-Fathani (رحمه الله) tanpa mengubah struktur dan gaya bahasanya.
Saya khususkan ambilan hadith dan kisah warid yang berkaitan dengan fadhilat selawat dalam mengkafarah dosa dan mendapat syafaat Rasulullah; untuk menyuntik roh taubat khasnya kepada kita-para belia agar kita bersama-sama kembali ke pintu rahmat dan kemaafan al Rahman yang maha luas, berpintukan hidayah dan belas ihsan Muhammadi, jalan Islam yang sebenarnya. Bukankah tidak akan sempurna iman seseorang, sehingga dia beriman dengan kerasulan Muhammad?
Ya! Islam is a life style
-alif iqbal-
Pendahuluan
Berkata Syeikh Abdul Qadir bin Syeikh Abdul Rahman Al-Fathani (رحمه الله) :
* Hakikat Makna Selawat
Bermula selawat itu lafaznya satu dan hakikat maknanya berlain-lainan. Maka selawat Allah تعالى atas Nabi dengan makna rahmat dan keredhaan. Dan selawat malaikat dengan makna istighfar. Dan selawat daripada manusia dan binatang dengan makna doa dan membesarkan baginya.
Maka jika engkau berkata apabila adalah Allah تعالى سبحانه dan malaikatNya meselawat sekeliannya atas Nabi صلىّ الله عليه وآله والسلام , maka apalah hajat lagi kepada selawat kita kepadanya?
Jawabnya : bahawasanya selawat kita atas Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم itu tiadalah dengan sebab berhajat Nabi itu kepadanya. Hanya dikehendaki dengan dia membesarkan bagi Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم, dan kembali manfaatnya kepada kita dengan pahala dan hampir kepada Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم. Dan menjunjung suruhan Tuhanmu عزّ وجلّ dengan firmanNya :
Maka apabila turun ayat ini bersabda Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم bagi beberapa sahabatnya :
“telah menyuka oleh Allah Taala akan daku daripada selawat kamu tetapinya Allah عزّ وجلّ menyuruh akan kamu dengan dia kerana memuliakan kamu.”
* Selawat dan Salam Pasti Sampai Kepada Rasulullah
Dan lagi sabdanya عليه الصلاة والسلام :
“bahawasanya adalah pada bumi beberapa malaikat yang berjalan pada muka bumi menyampaikan mereka itu akan daku daripada salam umatku.”
Pintu Taubat
* Sebaik-Baik Jalan Taubat
Dan bahawasanya jalan kepada Allah سبحانه وتعالى tiada ada melainkan dengan mengikut Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم . Maka tatkala itu, sangatlah dituntut akan bahawa kita mendatangkan dia kata Syeikh Syuaib Al-Harifish رحمه الله :
‘hai segala orang yang mempunyai banyak dosanya, betapalah lalai kamu daripada meselawatkan atas Sayyid Al-Kainat (Rasulullah) صلىّ الله عليه وآله وسلم!! Maka adalah ia :
1. Jalan bagi mengampuni akan segala dosa kamu,
2. Dan menghapuskan bagi segala kesalahan kamu kerjakan olehmu, akan (iaitu) barang yang telah disuruh oleh Tuhan kamu akan kamu dengan dia, maka meninggal kamu mengerjakan dia.
3. Dapat kamu daripada limpah dan anugerahnya, syurga tempat bagi nai’man (nikmat)
4. Dan terpelihara kamu daripada kesakitan neraka jahiman.
* Mengkafarahkan Dosa
Dan sebut pada setengah daripada akhbar tersurat atas tiang Arasy :
“Barangsiapa rindu akan Daku; Aku cinta yang akan dia. Dan barang siapa memohon daripada Aku; Aku beri aku akan dia. Dan barangsiapa mendatang akan Daku dengan selawat atas Muhammad ; diampunkan dosanya dan jikalau ada ia seumpama buih dilaut.”
* Malaikat Memohon Istighfar Untuk Orang Yang Berselawat.
Dan disebut pada setengah daripada akhbar :
“Bahawasanya hamba laki-laki atau hamba daripada perempuan apabila memula ia dengan selawat atas Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم melainkan dibukakan baginya pintu langit hingga kepada atas Arasy. Maka tiada tinggal malaikat didalam tujuh petala langit melainkan selawat atas Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم, dan meistighfar mereka itu bagi demikian hamba laki-laki itu atau hamba yang perempuan hingga masa yang dikehendaki Allah تعالى .”
ِ
* Penghapus Dosa
Dan lagi sabdanya صلىّ الله عليه وآله وسلم:
“Barangsiapa selawat atasku pada tiap-tiap Jumaat 40 kali, dihapuskan daripada dosa empat puluh tahun.”
* Menulis Selawat
Dan dicerita daripada Abi Hurairah رضي الله عنه daripada Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم bahawasanya bersabda ia :
“barang siapa menyuratkan selawat atasku pada suatu kitab, sentiasalah malaikat tolong pinta ampun baginya selama-lama ada namaku di dalam demikian kitab itu.”
* Sebab Diampun Dosa
Dan riwayat daripada Hasan Al-Basri katanya : aku mimpi melihat akan Aba I’smah ibn Abi Maryam pada tidurku, maka aku berkata baginya : hai Aba Ismah apa diperbuat oleh Allah dengan dikau? Maka katanya: telah diampun bagiku. Maka aku berkata : dengan apa perkara? Katanya: tiada aku sebut akan hadis daripada Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم melainkan aku selawat atasnya. Maka diampun Allah تعالى akan daku dengan yang demikian itu .
* Sebab Maqbul Doa
Dan sabdanya صلىّ الله عليه وآله وسلم:
“tiap-tiap doa itu terdinding di antara langit dan dan bumi, maka apabila didatangkan selawat atasku naiklah doa itu.”
* Selawat Mengkafarahkan Dosa-Dosa
Dan disebut pada hadis, sabda Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم : bahawasanya datang kepadaku Jibril عليه السلام berkata ia bagiku : hai Muhammad, aku datangkan dikau dengan kesukaan, yang tiada pernah aku datangkan bagi seorang yang dahulu daripada engkau, dan tiada kemudian daripada engkau; dan iaitu bahawasanya Allah تعالى berfirman bagi kamu :
“Barang siapa selawat atas kamu daripada umat kamu 3 kali diampunkan baginya, jika ia berdiri, dahulu daripada bahawa ia duduk. Dan jika ia duduk, dahulu daripada bahawa ia berdiri.”
Maka pada ketika itu tunduk sujud Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم syukur bagi Allah عزّ وجلّ atas demikian itu.
* Muka hitam menjadi putih dengan selawat keatasnya صلىّ الله عليه وآله وسلم
Dan dihikayatkan bahawasanya adalah Sufyan Al-Thauri antara (sedang) ia tawaf, tiba-tiba melihat seorang laki-laki, tiada mengangkat satu kaki dan tiada menghantar satu kaki melainkan selawat (atas) Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم. Kataku baginya : hai laki-laki, ini senya telah engkau telah tinggalkan tasbih dan tahlil, dan engkau berhadap atas selawat akan Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم,tiadakah padamu suatu pada demikian itu?
Katanya : siapa kamu عفاك الله (moga Allah mengampunkan dosamu)? Kataku : aku Sufyan Al-Thauri. Katanya : jikalau tiada aku ketahui bahawasanya engkau itu orang dagang (soleh) pada zaman engkau, nescaya tiada aku khabarkan dikau daripada halku. Dan tiada aku bukakan bagi engkau atas rahsiaku. Kemudian katanya : aku keluar serta bapaku kerana haji kepada Baitullah Al-Haram. Hingga adalah aku pada setengah tempat, sakit bapaku. Maka berdiri aku supaya aku mengubatkan dia. Maka antara aku satu malam pada kepalanya, tiba-tiba mati ia dan hitam mukanya. Maka kataku :
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ
Mati bapaku dan hitam mukanya! Maka aku helakan selendangnya, aku tutup atas mukanya. Maka ghalib akan daku mataku (mengantuk) maka tidurku. Maka tiba-tiba aku (bersama) dengan seorang laki-laki, tiada aku lihat yang terlebih elok daripadanya mukanya, dan tiada yang terlebih bersih daripadanya kainnya dan yang terlebih harum baunya. Mengangkatkan satu kaki dan menghantarkan satu kaki yang lain hingga hampir daripada bapaku. Maka membuka ia akan selendang daripada mukanya, maka disapunya dengan tangannya atas mukanya maka kembali mukanya putih
Kemudian maka berpaling kembali. Maka bergantung aku dengan kainnya, maka kataku : hai Abdullah (hamba Allah), siapa engkau yang memberi Allah تعالى (pertolongan) dengan (disebabkan) dikau atas bapaku di dalam negeri dagang? Katanya :
“tiadakah engkau ketahui akan daku? Aku Muhammad bin Abdullah, yang mempunyai Al-Quran. Dan adapun bapa engkau adalah ia melebihkan atas dirinya pada pekerjaan yang sia-sia. Tetapi adalah ia membanyakkan selawat atasku. Maka tatkala turun ia barang yang turun (berlaku sesuatu hal padanya), minta tolong ia dengan daku. Dan aku tolongkan bagi orang yang membanyakkan selawat atasku.”
Maka jagaku, maka tiba-tiba aku lihat mukanya putih, dengan berkat selawat ia atas Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم.
* Mengangkatkan suara ketika berselawat keatasnya صلىّ الله عليه وآله وسلم
Dan kata daripada Sufiah (orang Sufi) :
Adalah bagiku jiran yang sangat banyak ia mensiakan dirinya. Maka tatkala mati ia, maka aku mimpi aku melihat akan dia, ia di dalam syurga Dar Al-Salam. Maka kataku : dengan apa amal engkau dapatkan ini martabat. Katanya : adalah aku hadir pada majlis zikir maka aku dengar akan syeikh yang duduk, menceritakan hadis, mencerita daripada Rasulullah صلىّ الله عليه وآله وسلم , sabdanya :
“Barang siapa meselawat atasku sekali selawat, dan diangkatkan dengan dia suaranya, wajib baginya syurga.”
Maka mengangkat oleh syeikh al-muhaddith akan suaranya dengan selawat atas Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم dan aku angkatkan pula dengan dia suaraku sertanya, dan serta segala mereka yang hadir padanya. Maka diampun bagi kami sekelian pada demikian hari itu.……………………………………………………………………………………………………………………………………………….
SALAWAT; Pintu Syafaat Rasulullah
Pada kali ini saya akan menyambung fadhilat selawat kedua iaitu Syafaat Rasulullah صلىّ الله عليه وآله وسلم . Moga kita akan dikurniakan taufiqNya…
* Dijanjikan Syafaat
Dan lagi sabdanya صلىّ الله عليه وآله وسلم :
“Barangsiapa selawat atasku, akulah yang mesyafaat akan dia. Dan barangsiapa yang tiada meselawat atasku maka aku daripadanya bari’, yakni lepas.”
* Wajib Mendapat Syafaat
Dan lagi sabda Nabi عليه الصلاة والسلام :
Barang siapa berkata tatkala mendengar bang (azan) dan iqamat :
اَللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ النَّافِعَةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدٍ الْوَسِيْلَةَ وَاْلفَضِيْلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَاماً مَحْمُوْداً اَلَّذِيْ وَعَدْتَهُ
Nescaya wajib baginya syafaatku pada hari kiamat.* Segera Mendapat Syafaat
Dan lagi sabdanya صلىّ الله عليه وآله وسلم :
“Bermula yang terlebih aula (utama) manusia dengan daku pada hari kiamat ertinya yang terlebih segera padaku mesyafaatkan pada hari kiamat itu, mereka yang terlebih banyak selawatnya atasku.”
* Selawat Membantu Tuannya Pada Hari Kiamat.
Dan lagi riwayat daripada Abdul Rahman bin Sumrah katanya: keluar atas kami Rasulullah صلىّ الله عليه وآله وسلم pada satu hari, maka bersabda ia :
“Aku mimpi semalam akan a’jib (perkara yang mengajaibkan); aku lihat akan seorang laki-laki daripada daripada umatku, gementar ia di atas Sirat Al-Mustaqim satu ketika dan bergantung (pada) setengah ketika. Maka datang akan dia selawat di atasku maka mengambil dengan tangannya dan didirikan dia atas dua kakinya, maka lalu ia di atas Sirat.”
* Selawat Mengangkat Martabat
Dan riwayat oleh Abu Talhah رضي الله عنه ,katanya: masuk atasku Rasulullah صلىّ الله عليه وآله وسلم: maka aku lihat akan mukanya sangatlah cemerlangnya dan berkilat-kilat. Maka kataku : ya Rasulallah tiadalah pernah aku lihat akan dikau seperti hari ini, maka hari ini sangatlah nyata kesukaaan dan keluasan dan keelokan nafsu (diri). Maka sabdanya صلىّ الله عليه وآله وسلم:
“Betapa apa hal tiada kesukaan bagi hatiku, bahawasanya sekarang ini datang kepada aku Jibril عليه السلام ,maka berkata ia bagiku : ya Rasulullah, barang siapa meselawat atas kamu satu selawat daripada umat kamu, disuratkan Allah تعالى dengan selawat yang satu itu sepuluh kebajikan ,dan dihapus daripadanya sepuluh kejahatan, dan diangkatkan baginya sepuluh darjat. Dan meselawat oleh Tuhan, atasnya seperti barang yang ia meselawat.”
* Dinaungi Arasy Al-Rahman
Dan dicerita (cerita) bahawasanya Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم bersabda:
“Tiga bagi (bahagian) daripada manusia dibawah naung Al-Rahman عزّ وجلّ iaitu naung arasy Al-Rahman عزّ وجلّ, pada hari tiada naung melainkan naungNya. maka berkata sahabat : siapakah mereka itu ya Rasulallah ? Sabdanya :
1. iaitu mereka yang menolong membukakan akan kekeruhan daripada umatku,
2. dan mereka yang menghidupkan sunnahku,
3. dan mereka yang membanyakkan selawat atasku.”
* Selawat Sebagai Pengenalan Diri
Dan lagi sabda Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم :
“Sungguhnya telah datang atasku pada haudh ertinya pada kolamku pada hari kiamat beberapa kaum, tiada kuketahui akan mereka itu; ertinya tiada aku kenal akan mereka itu, melainkan dengan banyak selawat ia atasku.”
* Diharamkan Jasad Dari Seksa Neraka
Dan lagi sabdanya صلىّ الله عليه وآله وسلم:
“barang siapa meselawat atasku daripada umatku, hal keadaaannya tulus ikhlas hatinya bagi Allah Taala satu selawat , nescaya meselawat Allah تعالى atasnya sepuluh selawat. Dan barangsiapa meselawat atasku sepuluh kali, nescaya meselawat Allah تعالى atasnya seratus selawat. Dan barangsiapa meselawat atasku seratus selawat nescaya meselawat Allah تعالى atasnya seribu selawat. Dan barangsiapa meselawat atasku seribu selawat nescaya diharamkan Allah تعالى jasadnya atas api neraka, dan ditetapkan dia dengan perkataan yang tetap pada hidupnya di dalam dunia dan di dalam akhirat, dan dimasukkan ke syurgaNya, dan jadilah selawatnya atasku cahaya baginya pada hari kiamat di atas Sirat Al-Mustaqim; perjalanan 500 tahun. Dan dikurnia oleh Allah تعالى baginya dengan tiap-tiap selawat yang ia selawatkan itu mahligai di dalam syurga, sedikit yang demikian itu atau banyaknya.”
- Maqam Rasulullah -
Penutup - ringkasan
* Kelebihan Selawat Mengikut Pandangan Syeikh Fasi.
Kata Syeikh Fasi رضي الله عنه pada syarah Dalail Al-Khairat : ketahui olehmu bahawasanya di dalam selawat atas Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم itu sepuluh kemuliaan dan kelebihan:
ﷲ Pertamanya :selawat atasnya oleh Tuhan Al-Malik Al-Jabbar (Yang Maha Menguasai dan Yang Maha Berkuasa).
ﷲ Keduanya : mensyafaat akan dia Nabi Al-Mukhtar (yang terpilih).
ﷲ Ketiga : mengikut dengan malaikat Al-Akhyar (yang terpilih).
ﷲ Keempat : menyalahi munafiqin (orang munafiq) dan kuffar (orang kafir).
ﷲ Kelima : menghapuskan bagi khotoya dan auzar(kesalahan, dosa dan maksiat)
ﷲ Keenam : menolong dengan dia sampai segala hajat dan autor(kehendak).
ﷲ Ketujuh : bercahaya dan terang zahirnya dan asrar (rahsia-rahsia).
ﷲ Kedelapan : kelepasan daripada huru hara al-bawar (hari kiamat).
ﷲ Kesembilan : masuk syurga dar al-qarar (yang kekal abadi ).
ﷲ Kesepuluh : salam daripada Rab Al-Rahim Al-Ghaffar (Tuhan Yang Maha Penyayang dan Maha Pengampun).
Kata Faqih Al-Samarqandi :
Maka jika tiada ada bagi selawat atas Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم pahala lain daripada diharapkan syafaatnya jua, nescaya wajib atas orang yang mempunyai akal akan bahawa tiada lalai ia daripadanya sekali-kali. Maka betapa hal (pula jika ia) dan padanya mengampuni akan segala dosa, dan kasih oleh Allah تعالى dan Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم. Dan selawat Allah تعالى atasnya sepuluh kali dengan satu selawat yang diselawat oleh hamba itu. Dan bahawasanya jika kita mengerjakan ibadat dan taat sepanjang umur kita, maka meselawat oleh Tuhan atas kita satu selawat adalah ia terlebih besar dan terlebih mulia daripada sekelian amal kebajikan yang kita kerjakan sepanjang umur kita. Kerana bahawasanya kita meselawat atas Nabi صلىّ الله عليه وآله وسلم atas sekira-kira kuasa kita yang kehambaan dan Tuhan جلّ جلاله meselawat atas kita sekira-kira keTuhananNya. Maka dimanalah ada ia bandingan antara dua selawat itu ini, jika adalah selawat itu satu jua daripada Tuhan. Betapa hal jika ada ia sepuluh atau seratus. Maka :
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ اْلعَلَمِيْنَ وَلَهُ الشُّكْرُ وَالثَّنَاءُ الْجَمِيْلُ
(Segala puji-pujian yang tertentu kepada Allah تعالى Tuhan sekelian alam. KepadaNya ditujukan segala syukur dan kepujian) atas limpah nikmatnya.
...
0 ulasan:
Post a Comment